"Aku tak Mulia. Kau pun tak Mulia. KetidakMulianmu menjadi pelengkap ketidakMulianku , hingga kita akan Mulia , meskipun hanya bagi kita berdua. Biarlah Allah yang Maha Mulia , yang berhak menilai keMuliaan kita."


Friday, April 13, 2012

Liku kehidupan..


Kerana aku di sapa ujian. Aku belajar mengenal kehidupan. Bahawasanya hidup bukan sahaja berteman suka dan bahagia. Tetapi di corak hampa dan air mata. Maka, aku mengenal erti sabar dan belajar tersenyum walaupun perit terus menerus menagih hiba.

Ketika kehendakku tidak bisa di genggam. Aku belajar menjadi insan matang. Mensyukuri segala yang ditakdirkan. Bukan merungut mencipta sesalan. Kerana ku tahu bahawa segalanya tidak semudah apa yang ada dibayanganku. Dunia hanya persinggahan yang sering menagih pengorbanan.

Ku sedari aku bukanlah sempurna. Aku belajar menjadi diri aku apa adanya. Tidakku cemburu menatap kelebihannya dia. Kerana ku yakini bahawa. Allah itu menjadikan kita tidak sama. Dan kita sememangnya memiliki kelebihan dan kekurangan yang tidak serupa.

Kegagalan semalam telah menghancurkan impian. Namun kerana kegagalan itulah aku mengikat suatu kesimpulan. Bahawa tidak semua yang kita kehendakkan, akan berjaya berada di tangan. Kegagalan itulah yang menjadi guru memberi pengajaran.

Menyedarkan aku bahawa walaupun kita merancang, Jangan pernah lupa bahawa Allah juga merancang. Dan perancangan Allah sememangnya jauh lebih hebat dan penuh hikmah kebaikan di setiap kejadian.

Kehilangan yang terjadi sememangnya menebuk lubang terdalam dihatiku. Namun kerana kehilangan itu aku belajar sesuatu. Bahawa setiap yang datang akan berlalu. Tiada apa yang kekal di dunia ini kecuali Allah yang satu. Lalu ku isikan pecahan-pecahan yang telah terjadi di hatiku. Dengan cintanya Dia yang mengukuhkan kembali hatiku yang layu.Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji?''.



Dunia telah mengajarkan aku memilih untuk selalu berasa kecewa dan terluka, namun hanya dengan mengingati Allah sahajalah aku kembali menyedari dan redha. Bahawa segalanya adalah ketentuanNya dan akhirnya akan belajar dari segenap peristiwa.



Thursday, April 12, 2012

Jerat Cinta



“Saya tak boleh hidup tanpa awak. Saya boleh mati kalau awak pergi. Saya tak tahu untuk apa hidup di dunia kalau awak meninggalkan saya..”


Kita pasti akan terbang melayang-layang ke langit apabila seseorang pesanan text sms sebegitu kepada kita. Terasa diri begitu dipuja dan dihargai sehinggakan menjadi sebegitu penting dalam kehidupan seseorang. Kita pasti tersipu – sipu malu dan merah padam muka kerana sangat terharu, lalu mengatakan “Awak, janganla begitu..”


Kita memang tidak layak meletakkan cinta kepada manusia secara berlebihan. Apatah lagi mereka yang baru mengenal cinta seperti remaja dalam melabuhkan cinta. Sebenarnya orang yang kita cintai itu biasa – biasa sahaja, tetapi kita memandangnya luar biasa kerana selalu mendengar lirik – lirik lagu, syair pujangga dan filem cinta, yang membuatkan kita terikut – ikut. Itulah cinta monyet.


Ok, cuba kita tanya pada diri sendiri, adakah kita sanggup ikut mati jika kekasih kita mati? kita sanggup mati kerana cinta kepada yang belum pasti menjadi isteri atau suami kita? Harus kita ingat, sekarang adalah zaman serba pantas, cinta boleh didapatkan dalam hitungan minit. Hari ini kita putus, esok mungkin seseorang yang baru hadir dalam hidup kita.


Kita tidak perlu rasa terjerat oleh perasaan cinta. Apatah lagi orang yang kita sukai dan cintai itu masih belum lagi menjadi isteri atau suami kita. Justeru, kenapa kita menjadi sangat obses kepadanya? Adakah kita merasakan kita memiliki dia secara keseluruhannya? dan kita juga merasakan diri kita miliknya sehingga tiada sesiapun pun yang boleh mengambil kita, even ibubapa kita sendiri. Kau adalah milikku, dan aku adalah milikmu. Parah bukan?


Lepaskanlah diri dari jerat cinta. Kita bebas untuk menentukan apa sahaja dalam hidup kita dan apa yang ingin kita lakukan. Kenapa kita perlu rasa terkongkong? Adilkah jika kita tidak dapat mengadakan study group dengan rakan-rakan kerana tidak disukai oleh teman lelaki? Kita disayangi oleh kekasih, sehingga semua orang yang dekat harus kita jauhi? Sungguh menyakitkan.


Cinta tidak wajar menyekat hak – hak kita sebagai seorang yang bebas. Bebas dalam memberi pandangan, berperilaku positif dan bebas menentukan diri sendiri. Tapi kenapa apabila kita meluahkan perasaan cinta kepada seseorang dan kemudiannya orang itulah akan menentukan jalan hidup kita. Menentukan hala tuju kita, apa yang boleh kita buat dan tak boleh kita buat.



Lebih parah lagi apabila seseorang yang kita anggap kekasih hati itu dengan jayanya telah berjaya meyakinkan kita, dan menggantikan tempat ayah kita yang selama ini berhak mengatur hidup kita. Menggantikan tempat keluarga yang selama ini melindungi kita. Aneh bukan?


Kita ada ayah yang perlu diutamakan. Kita ada keluarga yang harus dijaga kehormatan. Kekasih kita bukanah sesiapa, tetapi hanya memberikan kita masalah dan membuatkan kita bermasalah.

Kita ingin putus, tetapi tak berani putus. Kita ingin sudahi cinta monyet ini tapi terdaya melakukannya. Kita ingin menjadi diri kita sendiri tetapi selalu merasa tidak sampai hati. Kita ingin menjadi hamba Allah yang soleh dan solehan, tetapi ingatan terhadap kekasih selalu menghambat fikiran kita.


Persoalannya, sampai bila kita akan begini?


Cinta menyapa tidak memberikan berkat bagi hidup kita. Sebaliknya, hidup kita akan menjadi serba tidak teratur, serba tidak kena. Begitu salah dan begini pun salah. Hidup bagaikan burung di dalam sangkar, nampak selesa dan nyaman, tetapi sedih dan menggelisahkan. Apakah kita boleh terlepas dari kongkongan itu?


Tidak. Kerana kita tidak sampai hati melakukannya.



Ketika cinta menyapamu, janganlah silau dengan indahnya dia, tetapi lihatlah apakah cinta itu akan membuatmu semakin dekat kepada Allah atau tidak..Comel lah pulak foto atas ni kan..:D



Saturday, April 7, 2012

Masuk Islam setelah mengkaji Mumia Firaun..


Pada pertengahan tahun 1975, Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal. Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam... dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.


Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian. Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka. Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille. Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi. Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat. Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.

Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet. Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut? Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya. Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.

KISAH FIRAUN DI DALAM AL QURAN ~ Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru. “Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!” Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan. Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya. Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu. “Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun. Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15) Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu. Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka. Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri: “Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).” Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.” Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran. Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge. Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya. “Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran. “Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya. Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.

Wallahua'lam

Thursday, April 5, 2012

Cinta Kopi Masin ..


Dia baru sahaja tamat belajar dan kini telah bergelar seorang doktor. Masih bujang dan tercari-cari seorang isteri sebagai teman hidup.

Pada suatu hari, ketika sedang minum di sebuah kedai kopi berdekatan dengan sebuah sekolah tahfiz di Lembah Beringin bersama seorang rakannya yang hafaz Quran, dia terpandang seorang gadis yang sungguh cantik.

Dengan wajahnya yang tenang dan penampilan solehah, gadis itu sungguh menawan.

Si doktor dan si gadis bertentangan mata, tetapi dengan segera kedua-duanya mengalihkan pandangan mereka.

"Astaghfirullah," bisik doktor itu perlahan. Dia sedar itu panahan syaitan. Si gadis sedang minum-minum bersama dua orang rakannya.

Subhanallah, indah sungguh ciptaan Allah ini! Secara tiba-tiba si doktor menjadi gugup, berdebar-debar dan serba tidak kena. Ingin sahaja dia menyunting gadis ini sebagai isterinya.

Doktor tersebut berbisik kepada rakannya yang hafaz Quran itu, "Kau kenal ke gadis itu?"

"Kenal. Dia sungguh berbudi bahasa. Dan masih belum berpunya lagi," jawab rakannya sambil tersenyum memahami. Aduh, bertambah guguplah doktor muda ini!

Tiba-tiba, datang pelayan meminta order, dan dia secara spontan berkata,

"Berikan saya kopi masin!"

Semua orang memandang dan melihat aneh kepadanya, termasuklah rakannya, pelayan dan gadis tersebut. Mukanya mendadak menjadi merah, tetapi dia tetap tidak mengubah pesanannya, dan setelah kopinya sampai, dia terus meminumnya.

Kehairanan, rakannya bertanya "Mengapa kopimu mesti masin, sahabatku?"

"Saat aku masih kecil, aku tinggal di tepi laut. Aku sangat suka bermain-main di laut, di situlah tempatnya aku dapat rasakan air laut... masin dan pahit. Sama seperti rasa kopi ini," jawab lelaki ini.

Tanpa disedari, gadis cantik yang duduk di meja bersebelahan mereka mendengar kata-kata si doktor tersebut. Gadis ini terharu. Itu adalah hal yang sungguh menyentuh hati. Perasaan yang begitu dalam dari seorang lelaki yang mengungkap kerinduan akan kampung halamannya.

Dia pasti lelaki itu adalah seorang yang menyintai dan mengambil berat akan rumah dan keluarganya. Dia pasti mempunyai rasa tanggungjawab akan tempat tinggal dan orang tuanya. Jika dia seorang abang, pastinya dia seorang yang sangat menyayangi adik-adiknya. Bertuahlah siapa yang menjadi isterinya.

Setelah peristiwa tersebur, si doktor ini meminta rakannya merisik gadis tersebut. Pucuk dicita, ulam mendatang. Setelah mengetahui rombongan merisik adalah mewakili lelaki yang ditemuinya di kedai kopi tempohari, si gadis yang pada ketika itu hampir tamat pengajian di sekolah tahfiz, menerima si doktor ini sebagai teman hidupnya dengan hati terbuka.

Seperti kisah cinta yang indah, Allah mengurniakan ketenangan di dalam rumah tangga mereka. Mereka hidup bahagia, saling menyanyangi antara satu sama lain, walaupun tidak mengenali antara satu sama lain sebelum ini. Cinta yang berputik setelah perkahwinan, terus kembang mekar seiring dengan ketaatan mereka kepada Yang Maha Pencipta. Dan setiap kali si isteri membuatkan secawan kopi buat suaminya, dia tidak lupa membubuh sedikit garam di dalamnya, kerana dia tahu, itulah kesukaan suaminya.

Setelah 40 tahun hidup bersama, si suami meninggal dunia. Dia meningalkan sepucuk surat buat isterinya.

"Sayangku, sepanjang tempoh kehidupan kita bersama, abang telah sentiasa jujur terhadapmu, tetapi maafkan abang untuk satu perkara. Maafkan kebohongan yang telah abang buat sepanjang hidup abang. Inilah satu-satunya kebohongan abang kepadamu - tentang kopi masin. Kamu ingatkah di saat kita pertama kali bertemu? Pada ketika abang sedang minum kopi dengan Ustaz Syakir, di maahad? Abang sangat gugup pada ketika itu. Sebenarnya abang inginkan kopi manis. Tetapi abang telah tersebut kopi masin. Waktu itu abang ingin batalkannya, tetapi abang terlalu gugup di hadapanmu ketika itu, maka abang biarkan sahaja. Abang tidak pernah menyangka itu akan menjadi awal perkenalan kita. Abang telah mencuba untuk mengatakan hal yang sebenarnya kepadamu..abang telah mencuba beberapa kali sepanjang hidup abang...tetapi abang tak sanggup melukakan hatimu..

Sekarang saat kamu membaca surat ini, abang sudah tiada. Tidak ada lagi yang perlu abang bimbangkan, maka abang akan menyatakan ini kepadamu: Abang tidak menyukai kopi masin. Tapi sejak mengenalimu, abang selalu minum kopi masin yang kamu buatkan sepanjang hidup abang. Dapat berada di sampingmu adalah kebahagiaan terbesar dalam hidup abang. Jika abang punya kesempatan untuk menjalani kehidupan sekali lagi, abang akan tetap berusaha mengenalimu dan menjadikanmu sebagai isteri abang walaupun abang harus minum kopi masin sekali lagi."

Sambil membaca, air matanya membasahi surat itu.

Suatu hari, seseorang telah bertanya kepadanya, "Bagaimana rasa kopi yang masin?"

Dia dengan pastinya menjawab, "Rasanya manis sekali."

Begitulah kisah bahtera cinta yang antara dua insan, dalam pelayaran menuju cinta Tuhan.

Sunday, April 1, 2012

Rasulullah s.a.w pun bergurau ..


Pada suatu hari, Nabi Muhammad berjalan-jalan bersama para sahabat dan mereka bertemu dengan sekumpulan nenek. Nabi memberitahu nenek-nenek itu, di syurga kelak tidak ada nenek-nenek seperti mereka. Oleh sebab nabi tidak pernah berbohong, nenek-nenek tadi mempercayai kata-katanya. Mereka pun menjadi takut lalu menangis. Para sahabat kehairanan dan bertanya kepada nabi apakah maksud kata-katanya itu.

Nabi Muhammad tersenyum dan berkata, di syurga kelak memang tidak ada nenek-nenek kerana semua orang muda dan kacak serta cantik rupawan. Mendengar kata-kata nabi itu, barulah mereka faham, nabi sebenarnya berjenaka. Nenek-nenek itu pun berhenti menangis. Malah mereka berasa gembira kerana nabi mendoakan mereka masuk syurga.

Pada suatu hari yang lain, Nabi Muhammad bersama para sahabat sedang duduk berehat sambil memakan buah kurma. Nabi makan dengan lahap dan kemudian meletakkan biji kurma yang dimakannya di hadapan Ali bin Abu talib yang duduk di sebelahnya. Dengan itu, walaupun nabi memakan banyak buah kurma, tidak ada biji kurma di hadapan beliau. Semua biji kurma terletak di hadapan Ali. Kemudian nabi berkata, "Wahai sahabat-sahabatku, orang yang rakus memakan buah kurma adalah orang yang dihadapannya terdapat banyak biji kurma."

Mendengar kata-kata nabi itu, para sahabat melihat di hadapan Ali terdapat banyak biji buah kurma namun Ali bukanlah orang sembarangan. Beliau adalah orang yang berilmu dan beliau membalas kata-kata nabi, "Tetapi orang yang lebih rakus adalah orang yang makan buah kurma dan sekali gus memakan bijinya hingga dihadapannya tidak ada sisa biji kurma sama sekali."

Kata-kata Ali itu jelas menunjukkan beliau adalah orang yang berilmu sehingga nabi merujuknya sebagai 'gerbang ilmu'. Nabi berkata, "Aku ibarat tanah di halaman sedangkan Ali bin Abu Talib adalah pintunya."

Pada suatu kesempatan Nabi Muhammad menjelaskan, umat Islam yang bertaubat menggembirakan Allah. Nabi menggambarkan kegembiraan Allah itu dengan kiasan atau tamsil yang lucu dan menyegarkan. Tujuan nabi adalah supaya para pendengar mampu memahami dengan mudah dan mengingati kata-katanya itu.

Nabi berkata, "Sesungguhnya Allah gembira melihat hamba-Nya yang bertaubat melebihi kegembiraan salah seorang antara kamu yang menemukan kembali untanya yang hilang di padang pasir. Unta itu membawa bekalan makanan dan minuman dan apabila ia hilang, tuannya berputus asa dan berbaring di bawah pohon. Tidak lama selepas itu, untanya muncul di hadapannya. Orang itu berasa gembira dan berkata, 'Ya Allah, engkau adalah hambaku dan aku adalah Tuhan kamu." Dia mengucapkan kata-kata itu kerana keliru akibat berasa terlalu gembira." (Direkodkan oleh Muslim)

Dalam hadis di atas, nabi menyatakan orang itu tersalah sebut kerana begitu gembira untanya yang hilang kembali kepadanya. Nabi menekankan, kegembiraan Allah melebihi kegembiraan orang itu apabila Allah melihat hambanya bertaubat. Bukankah kisah-kisah di atas menunjukkan Nabi Muhammad pandai bergurau? :D




Bacalah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...