"Aku tak Mulia. Kau pun tak Mulia. KetidakMulianmu menjadi pelengkap ketidakMulianku , hingga kita akan Mulia , meskipun hanya bagi kita berdua. Biarlah Allah yang Maha Mulia , yang berhak menilai keMuliaan kita."


Friday, May 24, 2013

Mengenang Wanita-Wanita Solehah ..

Sejarah hidup para wanita solehah dalam Islam sudah tercatat dalam Al Quran dan Hadis, marilah kita sama-sama menghayati sejarah hidup mereka agar kita termasuk dalam golongan penyumbang perjuangan Islam.

Islam menukarkan kedudukan wanita secara revolusi. Kita sedia tahu bagaimana status seorang wanita pada zaman jahililah. Mereka dihina, menjadi alat pemuas serakah dan hamba abdi. Bahkan bayi-bayi perempuan ditanam hidup-hidup oleh masyarakat Arab Jahiliah pada suatu masa dahulu lantaran wanita itu akan menjatuhkan maruah. Marilah kita melihat bagaimana Islam menukarkan kedudukan wanita itu secara revolusi disamping revolusioner dan pejuangnya adalah wanita sendiri.

 

Siti Hajar duduk setahun dua tahun di padang pasir, di tinggalkan suami, suami datang sesekali, kemudian namanya dicipta untuk al-Quran sepanjang zaman.Tidak mungkin kita tidak mahu seperti cerita Siti Hajar ini. Tidak mahukah kita dengan apa yang dikatakan di dalam al Quran? Apakah kita masih mahukan suami kita ada bersama tiap-tiap hari dengan kita. Tidak sanggup kalau suami kita setahun sekali baru datang. Siti Hajar sanggup menciptakan keajaiban, menjadi wanita yang ditinggalkan oleh suami hanya berjumpa setahun sekali. Tetapi ditangannyalah keluar air zam-zam, dialah menghidupkan bandar Kaa’bah Makatulmukarromah. Mukjizat kepimpinan dan didikan dari suaminya iaitu Nabi Ibrahim.

Ramai manusia sudah melupakan Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid. Dialah yang digelar Afifah Solehah (wanita suci). Seorang wanita yang sanggup berkorban segala kekayaannya untuk membantu dakwah Rasulullah SAW. Dialah yang paling pertama beriman, tanpa meragukan seruan Rasulullah SAW. Dialah wanita, yang menenangkan suaminya yang ketakutan tanpa memperlekehkan. Dialah wanita, yang tegar bertahan susah senang bersama suaminya, sehingga nyawa ditarik Allah SWT. Bayangkan, dia adalah seorang yang kaya raya, hartawan, tetapi sanggup dipulau bersama Rasulullah SAW selama 3 tahun 3 bulan dan makan pucuk kayu sahaja hingga pecah-pecah mulut.

Ramai juga terlupa dengan Fatimah Az-Zahrah binti Rasulullah SAW. Dialah yang bertahan di sisi Rasulullah SAW ketika ayahandanya itu diseksa teruk. Tanpa kecewa, tanpa rasa hendak berputus asa, dia sentiasa membantu ayahandanya yang sering disakiti. Tangannya yang bersih dan suci itulah yang mencuci najis yang dibalingkan ke tubuh ayahandanya. Tangannya yang suci itulah yang membersihkan segala luka ayahandanya. Seorang wanita yang tabah, kuat menempuhi segala dugaan.


Ramai yang telah terlupa akan seorang wanita bernama Asiah. Dia adalah isteri kepada Firaun yang menentang Musa. Allah telah menjadikan bicara lembutnya menyelamatkan Musa AS dari dibunuh Firaun. Allah juga menjadikan dia antara yang beriman dengan seruan Musa AS. Malah, Allah telah merakamkan namanya di dalam Al-Quran, dan menjanjikan kepadanya syurga atas balasan ketabahannya dalam mengharungi hidup bersama Firaun dan menerima segala seksaannya dalam mengekalkan iman dan Islam dalam dirinya.

Ramai yang tidak mengetahui sejarah seorang wanita bernama Mutiah yang tinggi taatnya kepada suami tercinta. Acapkali menyediakan tongkat,air dan berhias diri demi untuk suami dan menunggu suaminya pulang dari berjihad tanpa sekelumit rasa bosan dan patah semangat.Menjaga kehormatan diri dan maruah keluarga dengan seteguhnya.Dialah wanita yang akan memimpin dan memegang tali kenderaan tunggangan Fatimah az-Zahra ketika masuk ke syurga.

Ramai pula yang tidak tahu berkenaan Masyitah. Dia adalah tukang penyisir rambut anak Firaun. Beriman kepada Allah SWT dan Nabi Musa, kemudian keimanannya diketahui oleh Firaun. Akhirnya dia bersama suami, serta anaknya yang masih bayi telah dicampakkan ke dalam kuali penuh minyak mendidih. Walaupun nyawa di hujung tanduk, imannya tidak tergadai, malah terjun dengan penuh keyakinan. Masyitah mati syahid mempertahankan imannya dari digadai.

Ramai juga yang telah terlupa kepada Si Suci Maryam, ibu kepada Isa AS. Sang Perawan itu menjaga dirinya, mengabdikan diri dalam bilik yang terkunci, Allah memuliakannya dengan memilih Zakaria as sebagai penjaga. Maryam yang suci inilah dipilih Allah untuk mengandungkan Isa AS. Apabila dia melahirkan Isa AS dan ditohmah dengan pelbagai dugaan, dia bergantung kepada Allah, dan bersangka baik atas segala apa yang berlaku ke atasnya. Akhirnya anaknya Isa AS boleh berbicara dan menyeru manusia semenjak buaian.

Siapakah yang hendak mencontohi Nusaibah r.a.h? Ketika Perang Uhud, Nusaibah keluar memberi minum kepada pasukan Muslimin yang kehausan dan merawat mereka yang mendapat luka. Apabila tentera Islam menjadi terdesak dan lari dari medan perang, cuma ada seratus orang sahaja yang tetap bertahan dan Nusaibah adalah salah seorang yang menghunuskan pedang serta memakai perisai bagi melindungi Rasulullah dari diserang musuh. Kesungguhan Nusaibah melindungi Rasulullah SAW begitu hebat, hinggakan Rasulullah SAW berkata, “Aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali melihat Ummu Imarah (Nusaibah) berperang dihadapanku.”


Ketika itu, anaknya Abdullah luka parah ditikam musuh. Dia mengikat luka anaknya lalu berkata, “Bangun wahai anakku.” Anaknya itu terus bangun dan melawan tentera musuh. Rasulullah SAW yang melihat peristiwa itu bersabda. “Wahai Ummu Imarah, siapakah yang mampu berbuat seperti mana yang engkau lakukan?” Ketika tentera musuh yang menikam anaknya itu menghampiri, Rasulullah SAW berkata kepadanya, “Ini dia orang yang telah melukakan anakmu.” Nusaibah menghampiri orang itu dan menikam betisnya dengan pedang. “Ya, Ummu Imarah! Engkau berjaya membalasnya,” kata Rasulullah SAW sambil tersenyum melihat kesungguhan Nusaibah hatta Rasulullah SAW pun bersorak untuknya. Siapakah yang mengingati Ummu Imarah ini?

Siapakah pula yang hendak menjadi seperti Ummu Sulaim? Dia berkahwin dengan Abu Talhah dengan mahar iman. Abu Talhah seorang kafir ketika itu, jatuh hati kepada Ummu Sulaim yang masih muslim. Ummu Sulaim berkata: “Jika hendak mengahwiniku, maka maharnya adalah iman”. Maka Islamlah Abu Talhah. Sehingga ada sahabat yang berkata, “Aku belum pernah melihat seorang wanita sama sekali yang lebih mulia maskawinnya dibandingkan dengan maskawin Ummu Sulaim.” Malah, dia mentarbiyyah suaminya, sehingga suaminya menjadi seorang sahabat yang komited. Siapa yang tidak kenal dengan Abu Talhah? Dialah yang menyambut semua panahan yang ditujukan kepada Rasulullah SAW, pada hari Uhud dengan belakang tubuhnya. Lihatlah bagaimana Ummu Sulaim mentarbiyyah suaminya? Adakah lagi isteri yang sebegitu hari ini?

Siapakah pula yang mengingati isteri kedua Rasulullah SAW, Ummu Salamah? Bagaimana cerdiknya dia, bijaknya dia sehinggakan dia menjadi penasihat yang baik kepada Rasulullah SAW. Ketika peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah, apabila Rasulullah mengarahkan semua sahabat-sahabatnya menyembelih haiwan dan bercukur rambut, tiada seorang pun yang bangkit menyahut arahannya. Rasulullah SAW hairan, lantas kembali ke khemah, lalu berkata di hadapan Ummu Salamah, “Kenapakah berlaku begitu?” Ummu Salamah berkata, “Jangan kau hiraukan mereka, cukurlah rambutmu, dan sembelihlah haiwanmu” Bila Rasulullah SAW melakukan, semua sahabat mengikuti.

Siapakah pula yang hendak mencontohi isteri Rasulullah SAW, Aisyah RA? Ketika peristiwa Hadith Ifki (kisah rekaan) berlaku, menumpahkan fitnah ke atasnya, mengotorkan namanya, dia tetap teguh, yakin kepada Allah SWT. Tiada sebentar pun dia bersangka buruk kepada Allah SWT bila ditimpa dugaan.

Siapakah pula yang mengingati Asma’ binti Abu Bakr? Dia digelar Zat An-Nitaqain kerana mengoyakkan tali pinggangnya kepada dua untuk membawa makanan kepada Rasulullah SAW dan bapanya Sayidina Abu Bakar RA ketika persembunyian di Gua Thur. Dialah juga yang dilempang oleh Abu Jahal sehingga tercabut subang di telinganya, kerana tidak mahu memberitahu posisi Rasulullah SAW dan bapanya ketika hijrah. Dialah juga yang mentarbiyyah anaknya, Abdullah Ibn Zubair RA, sehingga menjadi seorang sahabat Rasulullah SAW yang berani.

Siapakah pula yang ingat kepada Khansa? Dia mempunyai empat orang anak. Dia mentarbiyyah empat orang anaknya dengan baik. Apabila mendapat seruan jihad, dihantarnya anaknya yang sulung. Anak sulungnya syahid. Dihantar pula yang kedua. Yang kedua juga syahid. Dihantar pula yang ketiga. Yang ketiga juga syahid. Begitu jugalah juga dia menghantar anaknya yang keempat, dan yang keempat itu pun syahid. Akhirnya dia menangis. Orang berkata, “Khansa kesedihan kerana kehilangan semua anaknya” Tetapi tahukah kalian apakah jawapannya? “Diamlah kalian, sesungguhnya aku bersedih kerana aku tidak punya anak lagi untuk dihantar berjihad di jalan Allah”
  



Wahai perempuan hari ini, siapakah antara kamu yang mengingati mereka? Wahai lelaki hari ini, siapakah antara kamu yang mengenang mereka? Wahai ummah, hari ini perempuan mana yang kamu puja dan puji? Oh masyarakat, hari ini perempuan bagaimana yang kamu sanjungi?

 Oh perempuan, hari ini perempuan mana yang kamu ikuti dan contohi? Oh lelaki, hari ini perempuan yang bagaimana kamu gilakan untuk jadikan isteri? Siapa? Sesungguhnya perempuan-perempuan dalam lipatan sejarah ini telah dilupakan. Mereka sememangnya perempuan-perempuan yang telah dilupakan. Sedangkan pada diri mereka, terdapat kemuliaan yang tiada tandingan.


  disunting daripada: http://kisahteladan.info/kisah-mukminah/mengenang-wanita-solehah.html

Saturday, March 9, 2013

Biarkan Aku ke Neraka; Part 2

*****



Berderau darah Ainatul ketika terbaca satu mesej daripada orang yang tidak diketahui di facebook. Rasa menyesal pun ada setelah tujuannya untuk membuka facebook malam ini semata untuk merehatkan minda. Entah siapalah yang cuba untuk menjaga tepi kainnya.

"CIK AINATUL! 


Maafkan saya jika bicara terus terang. Supaya diri saya tidak menaruh dosa sebesar zarah terhadapmu. Biarpun cik tidak tahu gerangan yang menulis pesanan ini. Tidak mengapalah.

Ainatul,
Perkenalan kita terlalu terbatas. Terlalu singkat. Akan tetapi pada mulanya, saya mengenali Cik segala penuh terhormat. Cik adalah gadis desa yang penuh rona keimanan. Perwatakan dan pakaian Cik Ainatul memperlihatkan sopan dan santun sebagaimana gadis desa sejati.

Tapi..
Apa yang saya lihat kelmarin? Telah hilang rona iman itu. Mengapa telah berubah pakaianmu? Mana baju kurung dan tudung litupmu? Saya bukan mencela pakaian orang kini, cuma saya mencela sifat berlebih-lebihan. Saya percaya segalanya bukan atas kehendak Cik sendiri. Tetapi kerana terpengaruh dengan persekitaran. Sedarlah Ainatul! Sedarlah..

Ainatul, kamu cantik bukan kerana pakaian. Tetapi ciptaan sejak kamu dilahirkan. Pakaian apapun yang kamu pakai, kamu tetap kamu.. Jadi pilihlah pakaian yang diredhai Tuhan. Moga kamu mudah dikenali sebagai seorang muslimah. Maka, tiadalah manusia akan mengganggumu! "

Itulah bait-bait yang dibaca oleh Ainatul sebentar tadi. Ainatul mengetap gerahamnya menandakan geram. Dia menutup komputer ribanya dan terus menelantangkan diri di atas katil. Malam itu berlalu begitu sahaja dengan fikiran Ainatul yang tertanya-tanya siapakah gerangan yang berani mempersoal peribadinya itu. Namun, jauh dari sudut hatinya, berputik kesedaran akan kehidupannya yang dahulu.


Keesokannya, ketika Ainatul duduk semeja dengan Amy. Itulah rutin biasa Ainatul setelah tamat kelas sesi pagi. 

"Malam tadi ada orang ganggu akulah, Amy" Ainatul membuka bicara.

"Siapa?" Amy seakan terkejut. 

"Aku tak tahu. Orang gila mana entah hantar mesej kat facebook. Sibuk-sibuk je nasihat aku macam-macam .."

"Nasihat? Nasihat apa pulak ni? "

"Macam-macamlah. Pakaian aku. Mana pergi tudung aku yang dulu. Baju kurung aku. Mak aku pun tak pernah tanya tau bila aku cuti balik kampung.." 

"Biasalah tu. Manusia nak tunjuk lagak lebih baik. Sekarang ni, dah macam-macam perangai aku jumpa manusia ekstrim agama. Pakai purdahlah, sibuk-sibuk sebar flyers dekat pasaraya. Siap ceramah panjang lagi. Entah-entah nak lariskan produk tudung dan purdah mereka. Kau cuma dapat mesej dalam Facebook je pun. Buat-buat tak tahu sajalah.'' bebel Amy. Ainatul tak menjawab. Cuma menerima sahaja nasihat rakannya itu. Mungkin benar kata Amy. Dalam keadaan ekonomi yang tidak berapa baik dekad ini, mungkin manusia akan melakukan aneka cara untuk mencari keuntungan. Padahal dia lupa, perkakas dan bedak-bedak yang mahal harganya menghiasi jasadnya itu adalah keberjayaan manusia yang mahu mengaut keuntungan.

Tatkala itulah Joe datang. Memperlawa Ainatul jalan-jalan. Katanya ada berita baik untuk diberitahu. Maka, petang itu beronda-rondalah mereka berdua ke sana ke mari dengan kereta mewah milik Joe. 

" Ainatul, you berminat tak nak jadi model?"


"Model? Model apa?"


"Bapa I perlukan seorang gadis cantik macam you ni untuk iklan produk dia .. Syarikat bapa I nak jual produk kecantikan pula .. Ada imbuhan lumayan untuk you. You pun boleh jadi terkenal nanti.. ", Joe memancing Ainatul, sambil tangannya mengemudi stereng kereta. Tatkala Joe menyebut 'terkenal', Ainatul terus berpaling kepada Joe.


"betul ni? " tanya Ainatul untuk mendapat kepastian.   

"Ya. Sumpah I tak tipu. Kalau you free esok. Kita pergi sign kontrak!" ucap Joe sambil tersenyum lebar. Ainatul juga begitu.


*****





Kontrak dipersetujui oleh syarikat bapa Joe dengan Ainatul. Sejak itu Ainatul sentiasa sibuk. Sentiasa terkelihatan di tempat-tempat pergambaran. Tidak lama kemudian, terpampanglah wajah Ainatul di papan-papan iklan dan iklan-iklan di internet. Lalu, dia mula terkenal di universiti dan laman facebook. Bukan setakat itu, dia juga mendapat imbuhan yang lumayan seperti yang dijanjikan oleh Joe. Disamping syarikat bapa Joe akan mendapat manfaat yang lebih lagi



Setelah terkenal dan ternama. Dia mula diundang dalam banyak majlis. Dapat berdiri sama tinggi dengan dengan artis-artis dan peragawati ternama. Sedangkan sahabatnya Amy tidak mampu berada di tempatnya. Kini, Ainatul juga telah mengenakan pakaian yang mahal lantaran kemampuannya dari hasil menjadi seorang model produk kecantikan.

Perkara itu akhirnya sampai pada pengetahuan Iman. Berat sekali hatinya untuk menerima hakikat itu. Semakin hari, semakin bertambah kekangan untuk menyelamatkan Ainatul. Namun, hatinya bersangka baik. Itulah ujian yang diberikan kepada Allah buatnya. Sangkaan baik itu menambahkan semangatnya untuk menyelamatkan insan yang pernah membuat hatinya suka itu.


Jam menunjukkan 3 pagi. Setelah tahajjud, tangannya mula galak menaip pesanan lagi untuk dihantar ke facebook Ainatul. Iman nekad, untuk menulis nasihat terakhir buat Ainatul. Kerana dia akur, bukanlah dia yang mempunyai kuasa.Hidayah itu milik-Nya. Berbekalkan tawakal dan kesabaran, dia terus menaip,


''Assalamua'laikum Cik Ainatul.


Maafkan saya sekali lagi, kerana terlalu degil untuk terus menasihatimu. Tapi percayalah, ikhlas hati ini mengatakan cuma saya mahu Cik Ainatul sentiasa berada dalam kesejahteraan.


Namun, Cik Ainatul seakan tidak mengambil sedikitpun pesanan saya yang lalu untuk membuat kesedaran.Hinggakan saya dapati Cik Ainatul telah terperangkap dalam permainan orang. Dirimu telah dipergunakan orang orang tamak! Mereka telah menipumu dengan harta benda dan hawa nafsu. Mereka masukkan ke dalam fikiranmu kecintaan terhadap perhiasan. Padahal mereka mahu mengeksploitasi dirimu. Merekalah korporatokrasi yang membina persekitaran beracun, yang membunuh peribadimu yang dahulu! Sambil mereka mengaut keuntungan.


 Benar, Cik Ainatul itu cantik. Memang Cik akan bertemu ramai manusia di dunia ini menyukai kecantikanmu. Tapi, asal Cik Ainatul tahu bahawa cantik luaran tak akan pernah abadi. Saat ini kita boleh berbangga dengan kemolekan wajah ataupun bentuk tubuh. Namun beberapa waktu nanti, jika Allah menarik nikmat itu. Cik Ainatul akan kecewa setelah manusia yang lain menjauhimu.


Alangkah indah jika kecantikan luaran itu dipadu dengan kecantikan hatimu. Apalah erti cantik rupawan bila tak memiliki keimanan? Sesungguhnya hati yang bertakwa itu lebih baik buatmu .. Ingatlah Cik Ainatul, inilah pesan terakhir dari seorang yang pernah menjadi sahabatmu walau sementara..


- IMAN "


Setelah habis menulis, tangan Iman menggigil. Tanpa dia sendiri sedar, butir-butir jernih telah membasahi pipinya itu. Bukan tangisan biasa, tapi itulah tangisan cinta daripada seorang lelaki yang benar-benar mahu mempertahankan seorang muslimah. Malam itu juga, dia nekad untuk tidak mengganggu Ainatul lagi. Dan berharap tulisan ringkas tadi dapat membuat Ainatul sedar. 


"Ya Allah, Kau selamatkanlah hamba-Mu yang dizalimi itu. Sesungguhnya gadis itu amat lemah. Berikanlah petunjuk-MU kepadanya. ''


*****





"Hei jantan!" jerit Ainatul di tengah-tengah kafe itu.


Iman terkejut. Begitu juga pelajar-pelajar lain yang sedang melepak di kafe universiti. Dalam keramaian itu, Iman juga malu kerana dia dipanggil Ainatul sedemikian.


"Ada apa Ainatul? " tanya Iman, teragak-agak.


"Ada apa kau tanya? Apa masalah kau ya? Kenapa kau tak habis-habis ganggu aku?" 


"Saya tak ganggu Cik Ainatul", Jawab Iman,  serta merta muka Iman ditampar. Berdesing telinganya setelah tamparan gadis itu hinggap di pipi. Ia meninggalkan bekas. Tapi lebih berbekas dalam hati Iman. Lalu, ada suara-suara kecil kedengaran ketawa.


"Sekali lagi kau ganggu aku. Kau akan dapat balasan lebih teruk daripada ini", sambil Ainatul mengambil gelas yang masih berisi air, lalu dicurahkan di kepala Iman. Membasahkan kopiah putih, muka dan baju Iman. Dalam pada itulah bunyi sorakan ketawa bergema di kafe tersebut.


".. dan aku tak akan teragak-agak untuk laporkan pada polis! Faham?" 



Iman tidak berganjak sedikitpun. Matanya tepat menatap mata Ainatul. Marah bercampur kecewa kerana dimalukan sedemikian. Tapi dia masih lagi bersabar. Terkebil-kebil memerhatikan amukan Ainatul. Cuma dia mampu menyebut,"Maaf".. Sehinggalah Ainatul berpaling darinya.



Sejak dari peristiwa itu, Iman nekad untuk melupakan Ainatul. Baginya sia-sia sahaja menasihati orang yang keras kepala. Tapi dia rasa bersalah juga. Kalaulah dia tidak mulakan. Mungkin dia tidak dimalukan sedemikian rupa.

   
Bagaimana di tempat Ainatul, dia selesa dalam kehidupannya seperti biasa. Tanpa diganggu oleh sesiapapun. Hatta, dia sangat gembira setelah Joe melamarnya. Cuma menunggu keputusan Joe untuk bertemu dengan kedua ibu-bapanya sahaja.

Pada suatu hari, ketika dalam perjalanan pulang ke kampung dengan menaiki kereta Joe. Joe berjanji akan bersama Ainatul selamanya. Ujar Joe kepada Ainatul, dia sungguh berbangga kerana mempunyai teman wanita yang cantik. Tersipu-sipu malu Ainatul dibuatnya.


Saat kereta Joe memasuki persimpangan lebuhraya. Dam! Dam!


Dentuman kuat menyelubungi mereka. Kereta berpusing beberapa kali. Akhirnya kereta mewah milik Joe itu tersadai di tepi lebuhraya tersebut. Lalu, satu negara mendapat berita tergempar bahawa seorang model terkenal terlibat dalam satu kemalangan. Ainatul dikejarkan ambulan ke hospital dalam keadaan separa sedar. Kepalanya berlumuran darah. Bersimbahan di mukanya yang selama ini anggun. Seperti dituang cat merah. Joe juga digegaskan ke hospital, tapi nasib Joe lebih baik kerana menghadapi kecederaan ringan sahaja. 


Di hospital, kepala Ainatul terpaksa dijahit dari belakang kepala hingga ke kening kanan. Panjang sekali luka di kepalanya itu. Tapi syukur, kerana Allah masih memberi dia peluang untuk hidup. Joe melihat keadaan Ainatul setelah rawatan selesai, sesudah Ainatul di tempatkan dalam wad. Alangkah terkejutnya dia. Seperti tidak percaya, dia tidak dapat menerima hakikat Ainatul sedemikian. Memegang kepalanya sambil terpunduk di bucu dinding.
 

Ketika itu, Ainatul baru sahaja sedar dari komanya itu. Kepalanya terasa berat. Dia masih mamai. Terkejut setelah mendapati hampir semua ahli keluarga berada di sisi.. 

"Mana Joe? Joe tak apa-apa?" seraya dia bingkas bangun.


Joe kemudian bingkas bangun setelah namanya disebut. Wajahnya tegang ketika melihat raut wajah Ainatul yang dirasakan asing itu. 


"Joe!" tempik Ainatul setelah mendapati Joe tercegak tidak jauh darinya, seraya seluruh keluarga Ainatul yang berada di situ berpaling ke arah Joe. Joe tercengang, bisu dan buntu..


"Eh, siapa Joe? Maaf.. saya silap masuk bilik" kata Joe, sambil dia meluru ke pintu dan melarikan diri. 


''Hoi, ini perempuan yang kemalangan bersama kau tadilah, budak!" jerit salah seorang ahli keluarga Ainatul. Joe tidak mengendahkan, langkahnnya tergesa-gesa untuk  keluar dari hospital.


Tersentap hati Ainatul menyaksikan perlakukan kekasihnya yang menjanjikan sehidup semati itu. Benar, dia yang hidup. Ainatul yang mati!

  

****


Setelah kejadian yang memeranjatkan itu. Ainatul hidup dalam kebingungan. Apa yang dimiliki olehnya selama ini telah musnah sekelip mata. Tiada lagi nikmat yang mahu dibangga-banggakan. Kecantikan tiada lagi. Terdapat lurah yang panjang pada kepalanya itu, memberi maksud rambut-rambut yang tidak akan tumbuh lagi lantaran bahana menimpanya itu memaksakan kepalanya dijahit. 


Hatinya lebih sakit setelah Joe tidak mahu lagi mendekatinya. Malah Joe tergamak mengatakan tidak pernah mengenalinya. Padahal Joe sendiri yang pernah mengajaknya berkahwin. Teringatkan kata-kata itu, Ainatul menangis semahu-mahunya. Kontrak antara dia dan syarikat bapa Joe telah dibatalkan. Syarikat itu tidak lagi memerlukan khidmat Ainatul sebagai model. Begitulah habis madu sepah dibuang. Sememangnya itu sikap korporatokrasi tamak! Mengingatkan hakikat, tangisannya itu semakin menghibakan.


Benar apa yang diperkatakan oleh Iman. Benar semua nasihat-nasihat Iman selama ini. Sememangnya dia sedar bahawa telah dipermainkan. Menjadi teman sementara kepada manusia berhidung belang.
Ainatul menyesal kerana tidak menerima nasihat lelaki budiman itu. Bukan sahaja tidak menerima malah pernah menghina Iman. Dia malu terhadap lelaki itu.

Di universiti, Ainatul juga disisih. Malahan Amy sendiri seperti tidak mahu menegurnya. Bahkan Amy telah berpindah ke bilik lain, meninggalkan Ainatul. Padahal Amylah yang banyak mengajarnya falsafah kebebasan.Akan tetapi dirinya itulah yang memerangkap Ainatul. Juga rakan-rakannya yang lain, yang pernah menjadi rakan foya-foya kepada Ainatul. Kali ini, Ainatul hidup dalam keadaan yang amat tertekan. Pembelajarannya juga kucar-kacir kerana kerapkali meninggalkan kelas untuk menghadiri pergambaran. Begitu juga dengan kewangannya yang semakin sempit. Maka, tinggallah gadis itu hidup dalam keadaan yang amat sakit sekali jiwanya.  Dia merasakan seperti tiada lagi manusia yang mahu menerimanya.



 ****

Petang itu, Iman berjalan-jalan di sekitar kawasan universiti. Mengambil angin segar untuk merehatkan mindanya. Sesekali dia teringatkan keadaan Ainatul yang terlibat dalam kemalangan beberapa minggu yang lalu. Kadang-kadang rasa menyesal. Dia terfikir mungkin dia tersalah doa, sampaikan bala itu besar sekali menimpa Ainatul. Tapi segera dia matikan rasa itu dengan beristighfar, menyingkirkan hasutan iblis yang berlegar-legar di telinganya. Lalu dia bersangka baik, apa yang terjadi pada Ainatul itu barang tentu ada hikmahnya.




Tiba-tiba


"Iman! Cepat ke mari. Ada sesuatu berlaku di asrama puteri! " jerit Adam, rakan sebiliknya.


"Ada apa Adam?" jawab Iman dalam keadaan terkejut, melihatkan Adam yang tampak cemas.


"Ah, tak ada masa untuk cerita panjang. Lekas!" jerit Adam lagi, lalu berpaling dan berlari. Melihatkan keanehan itu, Iman terus mengekori Adam dari belakang. Di samping dia tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.    



Sesampainya di asrama puteri, dilihatnya ramai orang yang sedang berkumpul. Terdapat kereta peronda dan beberapa orang polis. Terdapat juga anggota penyelamat bersama jenteranya di situ. Suasana kacau-bilau dan bising kerana ramai orang memusatkan diri diperkarangan asrama puteri. Lalu Iman mencelah-celah orang ramai untuk melihat apa yang sedang terjadi.


Alangkah terkejut dia, dilihatnya seorang gadis berdiri di atas bumbung asrama, sambil menangis dan menunjukkan wajah sayu. Lagi dia terkejut, bahawasanya gadis itu memang dia kenal,


"Ainatul! Apa kamu buat ni? Kamu dah gila?" jerit Iman.


Ainatul kenal suara itu, lalu dia memincingkan matanya ke arah lelaki yang pernah dihinanya itu.


"Ya, memang aku dah gila! " bentak Ainatul.


"Tapi kenapa Ainatul? Bersabar, kita boleh bincang!"


"Ah, bincang? Untuk apa? Semua orang dah tak suka aku. Semua orang dah benci aku. Aku banyak dosa, Tuhan pun benci aku! Dan aku benci pada diri aku sendiri! 


 "Jangan Ainatul! Awak masih ada masa untuk bertaubat. Tolonglah, bukan semua orang yang bencikan awak.." kali ini suara Iman mengendur, menghibakan keadaan. Tatkala itulah Iman menangis lalu merebahkan lututnya ke tanah.


"Tolonglah Ainatul. Saya tidak mahu menjadi saksi awak ke neraka. Saya merayu, turunlah Ainatul.. " tambah Iman dalam keadaan tersesak-esak. Melihatkan keadaan Iman yang sedemikian, orang ramai tertegun lantaran keanehan pada lelaki itu.


Ainatul juga merasa sayu melihat Iman bersungguh-sungguh menyuruh dirinya turun. Tumbuh kasihan pada lelaki itu. Walaupun rasa malunya terhadap Iman melebihi rasa kasihan. 


 "Untuk apa Iman? Aku sendiri pernah menghina kau! Biarlah aku menebusnya. Biarkan aku ke neraka!" jawab Ainatul, tika air matanya mencurah-curah.


"Bagaimana boleh aku biarkan kau ke neraka sedang kau berada dalam hatiku, Ainatul!?" jerit Iman sekuat-kuatnya. 


Kata-kata itu membuatkan suasana menjadi diam. Termasuk anggota penyelamat yang berada di situ merasa terkejut. Apatah lagi Ainatul yang masih tidak berganjak dari bumbung asrama itu sedari tadi. Pada ketika itulah, dia teringatkan kali pertama berkenalan dengan Iman di perpustakaan. Masih dia ingat roman yang manis dari wajah Iman ketika menulis memo untuk mencadangkan buku yang harus dibaca kepadanya.


Ainatul terdiam kaku. Lalu Iman berdiri. Memuntah hasrat hatinya yang dipendam lama. "Tahukah Ainatul, sejak kali pertama saya melihat awak di perpustakaan. Bagi saya awak intan di tengah-tengah ribuan kaca. Tapi saya tidak mahu katakan kepada awak, kerana saya mahu awak kekal terhormat. "



"Tapi kenapa.. " bisik Ainatul, mukanya sugul. Kakinya kebas dan dirasakan dirinya terapung-apung sahaja.


"Ainatul, saya janji saya akan nikahi awak. Berjanjilah kepada saya dan diri awak sendiri, untuk awak kembali menjadi terhormat seperti dulu .. Saya tidak perlukan kecantikan awak untuk hidup. Cukuplah dengan kembali kepada diri awak yang dulu, itu cukup membuat hidup saya cantik.. Percayalah Ainatul!
"
 
Kata-kata Iman itu dirasakan seperti peluru yang menembus jiwanya. Dia mahu senyum, tapi tidak mampu. Ainatul merasa pening, pernafasannya seperti tersekat. Mata terasa disembur kabus-kabus hitam. Dirasakan kakinya tidak berpijak pada apa-apa lapangan langsung. Terhuyung-hayang sambil tangan kanannya memegang dahi. Seraya untuk rebah, ketika itulah anggota penyelamat yang sedari tadi menunggu waktu untuk menangkap Ainatul meluru menariknya. Bersorak-sorailah orang ramai yang menjadi saksi kepada insiden yang cemas itu.

Apa yang bermain di sanubari Iman adalah syukur sahaja. Lalu dia kembali menjatuhkan lututnya dan melakukan sujud syukur. 


"Aku bersyukur pada-Mu Ya Rabb.. Kau makbulkan doa hamba-Mu ini. Terima kasih Ya Allah! Terima kasih!


*****





Peristiwa itu menjadi sejarah yang paling diingati oleh Iman. Hatinya gembira, gadis yang dihormatinya suatu masa dahulu kini kembali terhormat. Beberapa lama Ainatul mendapat rawatan kaunseling dan psikologi. Setelah itu, dinikahi oleh Iman ..


Sejak itulah, Iman dikenali ramai oleh pelajar-pelajar di universitinya. Seterusnya, dia memanfaatkan kejadian itu sebagai alasan untuk menubuhkan gerakan bagi membela nasib wanita. Ke mana Iman pergi untuk berucap dan menceritakan pengalaman kepada junior-junior dan rakan-rakan. Isterinya itulah akan sentiasa di sisi.


" Musuh tak perlu menghantar peluru untuk menghabiskan riwayat seorang muslimah semuanya. Tidak perlu menghantar lelaki-lelaki bengis dari kurungan untuk merosakkannya. Tidak dengan virus dan vaksin untuk merosakkan sistem biologi tubuhnya. Tapi musuh cuma menggunakan sifat kewanitaan yang ada pada muslimah itu sendiri sambil menggabungkan elemen yang muflis nilai ukhrawi. Sebagaimana ia cuba membunuh saya sendiri suatu masa dahulu. Materialisme, itulah yang membunuh spiritual manusia. Materialistik, ia membunuh cinta manusia. " tegas Ainatul dalam satu ucapannya.


"Tahniah Ainatul .. " ucap Iman sambil menguis hidung isterinya itu. 






Friday, March 8, 2013

Biarkan Aku ke Neraka; Part 1

*****

IMAN duduk bersila di bawah pohon yang rendang itu. Sebuah buku berkaitan permasalahan umat kaku di tangan. Sambil memerhatikan gelagat-gelagat remaja yang sebaya dengannya. Lalu difikirkan apa yang dibaca olehnya sedari tadi.


Iman lebih tertarik pada permasalahan wanita. "Kecantikan adalah satu tarikan. Dan sememangnya fitrah manusia sukakan sesuatu yang menarik.Tapi malangnya ia dipergunakan oleh korporat-korporat tamak dan mereka yang lebih mementingkan nafsu sang perut. Lalu mereka ini menggantikan kualiti kepada kuantiti produk mereka."




 

Ayat itu cukup membuatkan Iman semakin percaya, perkara inilah yang membuatkan wanita-wanita terkongkong dalam pemikirannya sendiri. Hampir setahun Iman menjejak kaki di kolej ini. Matanya sendiri menjadi saksi kepada bermacam jenis fesyen dan kosmetik yang mengancam keperibadian wanita. Sehinggakan wanita yang sememangnya fitrah mempunyai sifat malu berbanding lelaki, kebanyakan telah hilang sifat malunya pada abad ini. Maka, hilang rasa malu pada seorang gadis itulah yang membuang sifat kewanitaannya. Malang sekali bagi Iman, perkara buruk itu turut terkena pada seorang gadis yang dihormatinya suatu masa dahulu.

 

Walaubagaimanapun, Iman tidak pernah berputus asa untuk mengubah gadis yang pernah dihormatinya itu, untuk kembali menjadi terhormat. Ainatul, itulah nama gadis yang dimaksudkan Iman. Sampaikan suatu hari, berlakulah pertengkaran antara dua insan itu.

"Tak, pemikiran awak sedang dihentam-hentam sebenarnya. Awak rasa cantik dengan berpakaian macam ni. Padahal awak tak sedar perlakuan itu cuma akan menarik minat lelaki berhidung belang! Awak tak bebas, awak terperangkap! Dan semua ini akan menempah neraka Ainatul!" bentak Iman.

 

"Habis! Kenapa kau nak sibuk? Kalau aku masuk neraka sekalipun. Itu bukan urusan kau!" Balas Ainatul dalam keadaan menjerit-jerit. Matanya mula berkaca-kaca menahan air mata amarah.

Kemudian suasana diam seketika. Mereka saling berpandangan. Rakan-rakan Ainatul menjadi saksi dalam pertengkaran mereka berdua. Kemudian Iman mula mencapai beg lalu berpaling dari Ainatul.  "baiklah, saya tak akan kacau awak lagi", ujar Iman sebelum melangkah pergi.

Ainatul cuma memerhatikan sahaja, sehingga Iman hilang dari pandangannya.Rakan-rakan Ainatul yang lain cuma mencebik, lalu salah seorangnya bersuara,

 " Alah, tak payah ambil hati dengan lelaki macam tu. Lelaki macam dialah yang menyekat kebebasan wanita. Dia akan buat isterinya nanti seperti burung dalam sangkar, macam adat orang Arab. Boleh keluar rumah sekali seminggu. Kunci rumah dia pegang, kau hanya di dapur sahaja. Usah pedulikan sangat kata-kata dia tu, kau kena bebas! Dia nak bercakap pasal Islam? Ah, Islam itulah kebebasan, Ainatul. Bukan kita bogel pun kat sini! Kadang-kadang, perempuan tudung labuh pun perangainya lebih teruk dari kita  "..


 

Bebas?

Falsafah tipikal yang sering digunakan oleh gadis-gadis kota, yang telah hilang adabnya pada erti sebenar kebebasan. Lantaran itulah yang menjadikan Ainatul berubah. Walaupun dia berasal dari desa yang penuh dengan sifat kemelayuan dan sopan-santun termasuk pakaiannya, telah berubah 'bebas' sedikit demi sedikit. Walaupun tudung yang membungkus mahkotanya itu sejak kecil lagi tidak ditolak tepi, namun tudungnya itu telah disingkatkan memperlihatkan dadanya. Malah mempunyai ragam yang pelik walaupun menarik. Bersanggul tinggi dan penuh dengan manik. Padahal tidak menepati syarat menutup aurat dan membawa dirinya bersama dosa tabarruj. Dia juga mula berani memakai jeans ketat. "Bukan kita bogel pun".

Itulah yang dirungsingkan oleh Iman. Ainatul yang pernah dilihatnya dahulu seorang gadis yang penuh dengan rona iman sebelumnya. 

 

Masih tersimpan pada memorinya. Pada minggu pertama melangkah kaki di universiti ini, sedang asyik dia menelaah sebuah buku ilmiah di perpustakaan. Dilihatnya seorang gadis sedang menelaah juga berhampirannya. Gadis itu mengambil tempat yang menjadikan tubuh mereka saling bertentangan. Gadis itu tidaklah terlalu cantik, tapi boleh membuatkan lelaki seperti Iman merasa pesona. Lalu Iman cuma menundukkan pandangannya setelah sedar dari lamunan, yang bila-bila masa sahaja akan menjadi panahan iblis. Tidak mahu dia terniat pada hati untuk merasa suka yang berlebihan terhadap gadis itu. Tapi apakah daya, darah muda itu tidak dapat membentengi untuk jatuh cinta. Dia cuba menyingkirkan rasa itu supaya tidak memberatkan jiwanya kelak, 

"Perwatakannya solehah. Moga ketemu insan yang baik menjadi jodohnya.".. Iman berdoa dalam hati. 





Daripada itulah, mereka menjadi sahabat. Gadis yang memperkenalkan diri sebagai Ainatul itu sering bertandang ke perpustakaan. Setiap kali mereka akan duduk di tempat yang sama, tidak berubah sebagaimana kali pertama Iman menyedari kehadiran gadis itu. Dalam period itu, cuma beberapa kali Iman berbicara dengan Ainatul. Cuma bertanyakan dan memperkenalkan nama. Sekadar menulis surat dan memo mencadangkan nama buku yang harus di baca. Setelah itu, Iman tidak lagi menegur gadis itu lantaran dia mahu Ainatul yang dilihatnya sopan itu kekal terhormat. Cuma bersahabat dalam diam. Kerana sukar sekali baginya melihat wanita yang hidup dalam kehormatan. Hatinya suka melihat gadis itu.

Semester pertama berlalu, Ainatul tidak lagi kelihatan pada semester kedua di perpustakaan. Iman juga hairan. Namun dia cuba bersangka baik. Mungkin pada semester kedua ini Ainatul tidak lagi perlukan buku-buku di perpustakaan sebagai rujukan. Lama sudah Ainatul tidak kelihatan, pada awalnya Iman juga teringat akan kerusi yang selalu dilihatnya diduduki oleh seorang gadis sopan dan dihormati. Tapi akhirnya, ia semakin dilupakan dan Iman cuma tekun menelaah seperti biasa.

 

Sampailah suatu hari, di tengah-tengah sebuah pasaraya besar, saat pemuda itu berjalan-jalan melihat masyarakat kota. Dilihatnya sekumpulan gadis asyik membeli-belah. Mereka juga kelihatan asyik ketawa berfoya-foya. Ah, sudah biasa dijumpai keadaan gadis abad ini sedemikian. Namun, ada sesuatu yang menariknya pada sekumpulan gadis itu. Seakan dia kenal salah seorangnya. "Ainatul?!", getus hati Iman, dalam keadaan dahinya yang berkerut-kerut melihat kelainan pada gadis yang dikenalinya itu.

"Assalamualaikum. Kamu Ainatul, bukan? Gadis yang selalu di perpustakaan itu", sapa Iman. 

Ainatul tertegun seketika kerana memang dia masih ingat pada Iman, sambil dia menjawab salam. "Ya, akulah. Kau yang selalu duduk depan aku tu eh?" 

Iman terkedu sekejap, nada percakapan gadis itu juga berlainan sebagaimana dia mula-mula memperkenalkan diri dahulu,"Ya, sayalah yang selalu ada dekat meja bertentangan dengan meja Cik Ainatul selalu duduk. Lama betul saya tak nampak Cik Ainatul. Cik Ainatul pun dah nampak lain sekarang "..  


Ainatul cuma terkebil-kebil. Rakannya ada yang ketawa kecil setelah melihatkan lelaki yang tampak alim menegur Ainatul. Alimnya kelihatan pada Iman kerana dia berkopiah, kaki seluarnya terlipat sedikit dan berjanggut sejemput."Wah, alim sungguh kawan Ainatul ni. Kenal di perpustakaan pula"..Ainatul tahu rakannya itu menyindir, lalu dia merengus kecil.

"Eh, aku nak chow dululah. Oh ya! Kalau jalan-jalan kat bandar, pakai smart sikit baru boleh tegur aku!", tempik Ainatul. Rakan-rakan Ainatul ketawa berdekah-dekah. Berderau darah Iman setelah kata-kata yang kejam itu terkeluar dari mulut seorang gadis yang dipandang tinggi sebelumnya. Walhal, dia cuma menegur sahaja. Tidak disangka kata-kata sindiran seakan marah itu ditembak terus ke jantungnya.

"Allah..", hanya nama Tuhan mampu disebut oleh Iman saat itu.

 

Selepas kejadian itu, Iman selalu merasa gusar. Begitu singkatnya masa boleh menjadikan seseorang manusia berubah. Iman mendapat buah fikiran untuk menasihati Ainatul, sebelum kelakuan gadis itu semakin membarah. Namun, dia perlu mencari Ainatul dahulu. Tibalah suatu hari, Iman ketemu juga Ainatul bersama kumpulan gadis yang ditemuinya di pasaraya tempoh hari. Maka, ketika inilah berlaku pertengkaran yang dasyat yang melukakan hati Iman.

Luka hati itu telah mengundang dendam dalam sanubari Iman. Bukanlah dendam terhadap Ainatul. Tetapi berdendam pada persekitaran yang telah membentuk gadis yang dicintainya dalam diam itu satu masa dahulu. Dia cukup percaya bahawa persekitaranlah yang membentuk amali manusia. Namun, sebenarnya manusia itu juga yang membentuk persekitaran. Siapa? Siapa yang membentuk persekitaran, menjadikan seorang gadis berona iman bertukar menjadi buruk perwatakannya? Memanglah kerja Allah memberi dan menarik balik hidayah. Akan tetapi telah diberi kepada kaum manusia itu untuk mengubah nasibnya. Maka, Iman giat mengkaji dan belajar mengenai permasalahan dunia ini.

" Materialisme itulah yang membunuh spiritual manusia." Kata-kata ini ditemui oleh Iman dalam sebuah buku sosiologi, catatan Ali Syariati membuatkan Iman sedar, bahawa kebendaan itu mampu menjadikan manusia lupa akan siapa dirinya. Sebagaimana terjadi kepada Ainatul. Memang, dikenalinya Ainatul dahulu berpakaian sopan dan lemah gemalai susun nada dan kata ketika memperkenalkan diri. Tapi, setelah Ainatul dilihat berubah pakaiannya itu, menjadi buruk pula perwatakannya. Semua itu tumbuh dari kebendaan.

 

Bukan setakat Ainatul sahaja yang dapat dia jadikan contoh, malah juga pemuda-pemudi yang lain.  Sekarang semuanya berubah ala-Barat. Kononnya itulah kemajuan manusia. Padahal tanpa sedar, kemajuan material yang dicapai itu diambil dari Barat secara membutatuli telah memberi kesan yang merosakkan. Memanglah menolak manfaat yang diciptakan oleh Barat adalah satu kesilapan, tapi adalah lebih silap setelah mengambil cara hidup Barat lalu melupakan amanah Tuhan dan Rasul-Nya. 

Dendam benar Iman terhadap hegemoni kaum korporat, kaum pemodal dan pemilik alat produksi swasta yang disatukan nama sebagai borjuis. Mereka akan menggunakan cara apa sahaja untuk mengaut keuntungan. Mereka inilah yang membina persekitaran itu. Mereka bersaing untuk mengeluarkan barangan setiap masa yang mereka mahu. Persekitaran yang terbentuk akibat kebanjiran material itulah yang menumbuhkan materialisme. Kebendaan itu juga termasuklah alat kosmetik dan perhiasan yang lain. Selain ia menggunakan wanita sebagai model dan iklan. Ia juga menggunakan wanita untuk diperniagakan dan menjadi pasaran. "Ini seakan zaman jahiliah, manusia kian merendahkan martabat wanita!", jerit Iman dalam hati.

****


Di universiti, Ainatul mula bergaul dengan ramai orang. Dalam ramai-ramai itu, cuma seorang sahaja yang paling rapat dengannya. Gadis kota yang bergaya bernama Amy. Kebetulan Amy tinggal satu bilik dengan Ainatul. Orangnya memang cantik, bergaya, seksi dan digilai ramai lelaki. Lantaran itulah, Ainatul kagum akan rakan karibnya itu. Amy bukan sahaja cantik dan menarik. Malah juga baik hati dan suka membantu saat Ainatul dalam kesulitan. 

Dengan Amylah dia mempelajari cara hidup masyarakat kota samaada dalam sedar ataupun tidak. Amy banyak mempengaruhi Ainatul dengan cara pemakaiannya, budaya  dan perwatakan. "Kalau kau pakai cantik-cantik, barulah ramai orang suka kat kau", kata Amy.

"Tapi aku tak nak buang tudung", Ainatul seakan membantah.

"Siapa kata kau kena buang tudung? Kau tak perlu buang pun tudung tu. Cuma kau mesti lebih up-to-date. Sampai bila kau nak hidup dengan fesyen lama ni? Dunia dah maju sayang. Tudung-tudung pun bermacam gaya zaman ni.. " Amy memancing.


Ainatul cuma diam seketika. Kata-kata Amy bahawa dengan kecantikan akan disukai ramai orang menarik hatinya. Kebetulan, Ainatul telah jatuh hati pada seorang lelaki yang tampan bernama Joe. Lelaki itu juga orang kota yang merupakan kenalan baik Amy. Apakah mengikut cadangan Amy itu akan membuat dirinya dapat memenangi hati Joe? Jika tidak, masakan gadis seperti Amy itu dapat diambil oleh Joe sebagai rakan. Ketika itulah sang iblis membuat belaian pada nafsu Ainatul hinggakan ia membatasi akalnya.

"Baiklah. Tapi elaun aku tu cukup-cukup makan je untuk bulan ini", Ainatul mencebik, dia mula rasa kecewa kerana kesulitannya untuk menerima cadangan Amy itu. Bukan kecewa bahawa dia bakal membuat pembaziran.

"Tak apalah. Esok kau ikut aku pergi shopping. Aku belanja! Asalkan kau tak pakai lagi pakaian kampung." jawab Amy. Ainatul terlalu gembira lalu memeluk rakan karibnya itu.

Setelah itu, mereka asyik ke pasaraya untuk membeli-belah. Kadang-kadang, berhabis ribuan ringgit wang yang diamanatkan kepadanya untuk membiayai yuran belajar. Maka, Ainatul itu sendiri terpaksa mengikat perut semata-mata untuk membeli pakaian, alat solek dan aksesori lainnya. Namun, bagi Ainatul berbaloi. Kerana perubahan yang drastik ke atas dirinya membuatkan dia didekati ramai orang. Malah, ramai mula jantan-jantan buaya mengurat, memberi hadiah dan mengajaknya keluar. Bertambah megahlah gadis itu

Seandainya dia berjalan seiringan bersama Amy, semua mata terpaksa bertumpu pada mereka. Berbeza dengan dirinya sebelum ini, seakan tidak disedari orang akan kewujudannya. Tapi tidak pada Iman yang amat menyedari kehadiran seorang gadis yang penuh kehormatan di perpustakaan.

*****  

Perubahan mendadak pada diri Ainatul mendapat perhatian Joe. Malah Joe juga turut mempelawa Ainatul untuk keluar makan malam bersama dan berjalan-jalan. Hinggakan Ainatul itu sendiri dicemburui oleh peminat Joe yang lain. Hubungan rapat antara Joe dan Ainatul telah diketahui oleh Iman. Lantaran mereka berdua itu sentiasa berada di mana-mana bersama dan berjalan seiringan. 

"Awak cantik sebenarnya Ainatul. Sorry sangat sebab saya tak sedar akan kecantikan awak selama ni. " Ucap Joe sambil jari jemarinya bergerak seinci demi seini mendekati tangan Ainatul yang akhirnya digenggam rapat juga. Tapi Ainatul tidak melepaskan tangan Joe walaupun dia sedikit terkejut.

Ternyata, Ainatul begitu bahagia sekali lantaran dia sering dipuji-puji oleh Joe. Kata orang cinta lelaki pada mata, cinta wanita pada telinga. Maka, Ainatul bertambah keinginannya kepada lelaki itu. Walaupun dia sendiri belum mengenali hati budi Joe dengan lebih dekat. Pada pandangan Ainatul, lelaki itu kelihatan budiman kerana memuji-mujinya, membelikan hadiah dan belanja makan. Tidak pernah Ainatul mendapat layanan sebegini rupa sebelumnya.

Perkara itu diketahui Iman, setelah ramai yang menjadi saksi bahawa Ainatul telah berteman dengan orang yang boleh dikatakan popular juga di kampus. Bahkan hubungan dua insan itu menjadi sebut-sebutan pelajar lain. Iman buntu dan merasa serabut. Entah mengapa hatinya begitu rasa sakit setelah mengetahui perhubungan dua insan itu. Padahal dia bukan kenal Ainatul dengan baik. Bukan juga Ainatul itu saudaranya. Cuma gadis yang pernah muncul dalam hidupnya beberapa kali.

Rasa kasihan muncul di hati Iman, saat melihatkan Ainatul disentuh-sentuh oleh lelaki bernama Joe itu. Padahal pada masa yang sama, dia juga mengalami cemburu. Cemburu dan kasihan, perasaan terasing. Namun membawa makna, sememangnya dia masih mempunyai harapan bahawa Ainatul akan berubah. Tapi, apa daya Iman? Dia sedar bahawa hidayah tidak berada di tangannya. Cuma mampu memberikan nasihat sahaja. Malangnya ditolak-tolak oleh Ainatul suatu masa dahulu.


Jam menunjukkan tepat 12 tengah malam. Malam itu, Iman sukar melelapkan matanya. Otaknya ligat berfikir untuk mengubah Ainatul kembali. Tetapi dia sudah memberitahu Ainatul bahawa dia tidak akan mengganggu Ainatul lagi dalam pertengkaran yang lalu. "Bagaimana? Bagaimana cara untuk aku selamatkan Ainatul ya Allah? Bagaimana harus aku lakukan untuk melihat kembali Ainatul sebagai wanita terhormat?" Iman merintih dalam monolognya itu. Meminta Allah memberi petunjuk kepada dirinya juga untuk menyelamatkan Ainatul dari kancah dosa.


bersambung


Wednesday, March 6, 2013

Buku Merah Jambu

di library
setiap sabtuku di kelilingi buku
tapi cuma satu buku buat aku kaku
seperti rak buku, dinding sunyi.
kerana buku comel
bewarna merah jambu..

di library
kau menjadi ilham
menjadi peneman walau diam bicara
jemariku ketar ligat melakar namamu
pada cerpen tidak siap-siap itu..

di library
aku-lah library itu
kau-lah buku.
tidak namanya library tanpa buku
bukan?

cuma buku merah jambu
kau jantung library ini ..


Wednesday, February 27, 2013

manfaatkan seni

 


seorang pengarang buku, walau bagaimana pun putus asa hidupnya, kalau pada suatu hari dilihatnya orang sedang membaca buku itu dengan asyiknya, dia akan lupa kepayahan dan keputus-asaannya itu.. dia tidak peduli lagi tentang wang. kerana dia telah kaya pada hati. dan kekayaan hati yang dianugerahkan padanya itu dapat pula dikongsi bersama orang lain tanpa rasa hilang sedikitpun kekayaannya.begitu juga seorang ahli seni yang setia, tidak peduli kepada wang. kerana kekayaan pada ahli seni yang setia itu bukanlah kekayaan wang, tetapi kekayaan hati dan kebahagiaan. lalu peminat seni itu mendapat tempias bahagianya pula.

adapun ahli seni di tangan borjuis itu yang memusatkan perhatiannya pada wang. percayalah, pentas-pentas mereka walau penuh dengan lampu tapi gemerlapan, tidak bertahan lama kualitinya dan akhirnya terus malap. maka peminat seni itu cuma akan mencebik, sambil menyumpah-nyumpah orang yang membela nafsu sang perut menggunakan seni. seni sepatutnya menjadi mekanisme untuk menyampaikan idea. ia adalah lebih mulia daripada dijadikan bahan untuk mendapatkan wang. ia digunakan untuk mengawal minda masyarakat dan sepatutnya menjadikan alat untuk menggerakkan masyarakat itu kepada perubahan. membawa perubahan itu bukanlah dari intelektual sahaja, tapi juga seorang seniman. lihatlah dunia, bukankah nama seorang seniman itu lebih dikenali oleh masyarakat berbanding kaum intelektual? kalau seorang kanak-kanak itu mempunyai dua orang guru untuk matapelajaran yang sama. tetapi salah seorangnya menggunakan alat muzik untuk mengajar anak muridnya, manakala seorang lagi hanya menggunakan gaya pengajaran yang biasa. pasti, kanak-kanak itu lebih selesa dengan gurunya yang menggunakan alat muzik itu.



mereka yang sering menjadi ternama, adalah orang yang terlibat dengan seni. bukan nama yang dicari, tapi setelah kita telah menjadi pusat perhatian manusia adalah keadaan terbaik untuk mempengaruhi manusia.


adakala seni yang membawa idea revolusi jangan setakat mengucapkan kata-kata lawan yang keras sahaja. tapi juga perlu dengan kelembutan, humor dan harmoni. sebab manusia sukakan hiburan. dan manusia itu juga jarang melihat sesebuah penulisan lantaran apa yang ingin diperkatakan penulis. tapi manusia lebih suka menilai bagaimana ia diperkatakan. jadi, fiksyenkan tulisan melawan adalah satu tindakan yang baik. dalam hiburan tapi terselit dengan idea. tidak akan disebut revolusi jika bukan revolusioner mahukan perubahan yang akan membentuk keadaan yang bahagia, aman dan tenang. dalam perlawanannya itu mestilah dogma kerosakan yang menjadi musuhnya. maka, tidak salah dia mengucapkan kata-kata lawannya dengan cara yang menghiburkan hati. benar, hati yang terhibur itulah yang disebut bahagia.

saya tertarik gaya Abuya HAMKA melontarkan ideanya dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, yang saya kira novel terbaik pernah saya temui. beliau seakan ingin memberitahu manusia supaya menjauhi ketaksuban pada harta, yang mendorong materialistik itu. kerana materialistik itulah yang menukarkan cinta menjadi nafsu. tapi ia disampaikan dalam penulisan yang membuatkan suasana yang indah dalam sanubari pembaca. sasteranya yang memperihalkan cinta menjadikan pembaca gembira sambil dapat mengelakkan pembaca itu bosan. malah ia meninggalkan bekas dalam hati pembaca itu dan menjadikan mereka menteladani kisah yang tertulis. saya mengakui bahwa sayalah salah seorang saksi penulisan itu. benarlah, satu titik dakwat boleh menjadikan ramai manusia itu berfikir. tapi titik apa dan bagaimana yang ingin dibawakan?


jarang sekali drama dan kisah-kisah cinta itu tidak dilampirkan dengan muzik, bukan? :D


selama saya aktif menjadi seorang penglipur bersama pena musafir hairan. ramai pengunjung bertanyakan saya, apakah nama lagu yang menghiasi pena musafir hairan ini. dan mereka sering mengakui bahawa hati mereka tersentuh saat membaca tulisan-tulisan saya. walaupun tulisan itu tiada disiplin dan banyak cacatnya. sangkaan saya, mereka itu sebenarnya tersentuh lantaran kombinasi muzik dan penulisan yang berbunga kata-kata. tidakkah sesebuah lagu itu kurang enak jika dinyanyikan tanpa iringan muzik? dan akan membosankan dengan setakat menyebut bait-bait lirik itu tanpa melodi sedikitpun. ya, kerana itulah saya menggunakan kaedah ini. pembaca penulisan musafir hairan akan jadi lebih terhibur dengan iringan muzik. pembacaannya itu seakan sebuah nyanyian yang menghiburkan hatinya. sebagaimana saya juga terhibur menulis dengan iringan muzik ini. ketiadaan bakat atau kemahiran bukan masalah. segalanya adalah kita melakukan satu titik permulaan, kemudian dilengkapi dengan latihan. insyaallah berjaya.



maka, kerana itulah saya percaya bahawa seni adalah alat untuk mengubah manusia. manfaatkan seni!


Bacalah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...