"Aku tak Mulia. Kau pun tak Mulia. KetidakMulianmu menjadi pelengkap ketidakMulianku , hingga kita akan Mulia , meskipun hanya bagi kita berdua. Biarlah Allah yang Maha Mulia , yang berhak menilai keMuliaan kita."


Friday, March 8, 2013

Biarkan Aku ke Neraka; Part 1

*****

IMAN duduk bersila di bawah pohon yang rendang itu. Sebuah buku berkaitan permasalahan umat kaku di tangan. Sambil memerhatikan gelagat-gelagat remaja yang sebaya dengannya. Lalu difikirkan apa yang dibaca olehnya sedari tadi.

Iman lebih tertarik pada permasalahan wanita. "Kecantikan adalah satu tarikan. Dan sememangnya fitrah manusia sukakan sesuatu yang menarik.Tapi malangnya ia dipergunakan oleh korporat-korporat tamak dan mereka yang lebih mementingkan nafsu sang perut. Lalu mereka ini menggantikan kualiti kepada kuantiti produk mereka."



 
Ayat itu cukup membuatkan Iman semakin percaya, perkara inilah yang membuatkan wanita-wanita terkongkong dalam pemikirannya sendiri. Hampir setahun Iman menjejak kaki di kolej ini. Matanya sendiri menjadi saksi kepada bermacam jenis fesyen dan kosmetik yang mengancam keperibadian wanita. Sehinggakan wanita yang sememangnya fitrah mempunyai sifat malu berbanding lelaki, kebanyakan telah hilang sifat malunya pada abad ini. Maka, hilang rasa malu pada seorang gadis itulah yang membuang sifat kewanitaannya. Malang sekali bagi Iman, perkara buruk itu turut terkena pada seorang gadis yang dihormatinya suatu masa dahulu.

 
Walaubagaimanapun, Iman tidak pernah berputus asa untuk mengubah gadis yang pernah dihormatinya itu, untuk kembali menjadi terhormat. Ainatul, itulah nama gadis yang dimaksudkan Iman. Sampaikan suatu hari, berlakulah pertengkaran antara dua insan itu.

"Tak, pemikiran awak sedang dihentam-hentam sebenarnya. Awak rasa cantik dengan berpakaian macam ni. Padahal awak tak sedar perlakuan itu cuma akan menarik minat lelaki berhidung belang! Awak tak bebas, awak terperangkap! Dan semua ini akan menempah neraka Ainatul!" bentak Iman.

 
"Habis! Kenapa kau nak sibuk? Kalau aku masuk neraka sekalipun. Itu bukan urusan kau!" Balas Ainatul dalam keadaan menjerit-jerit. Matanya mula berkaca-kaca menahan air mata amarah.

Kemudian suasana diam seketika. Mereka saling berpandangan. Rakan-rakan Ainatul menjadi saksi dalam pertengkaran mereka berdua. Kemudian Iman mula mencapai beg lalu berpaling dari Ainatul.  "baiklah, saya tak akan kacau awak lagi", ujar Iman sebelum melangkah pergi.

Ainatul cuma memerhatikan sahaja, sehingga Iman hilang dari pandangannya.Rakan-rakan Ainatul yang lain cuma mencebik, lalu salah seorangnya bersuara,

 " Alah, tak payah ambil hati dengan lelaki macam tu. Lelaki macam dialah yang menyekat kebebasan wanita. Dia akan buat isterinya nanti seperti burung dalam sangkar, macam adat orang Arab. Boleh keluar rumah sekali seminggu. Kunci rumah dia pegang, kau hanya di dapur sahaja. Usah pedulikan sangat kata-kata dia tu, kau kena bebas! Dia nak bercakap pasal Islam? Ah, Islam itulah kebebasan, Ainatul. Bukan kita bogel pun kat sini! Kadang-kadang, perempuan tudung labuh pun perangainya lebih teruk dari kita  "..

 
Bebas?

Falsafah tipikal yang sering digunakan oleh gadis-gadis kota, yang telah hilang adabnya pada erti sebenar kebebasan. Lantaran itulah yang menjadikan Ainatul berubah. Walaupun dia berasal dari desa yang penuh dengan sifat kemelayuan dan sopan-santun termasuk pakaiannya, telah berubah 'bebas' sedikit demi sedikit. Walaupun tudung yang membungkus mahkotanya itu sejak kecil lagi tidak ditolak tepi, namun tudungnya itu telah disingkatkan memperlihatkan dadanya. Malah mempunyai ragam yang pelik walaupun menarik. Bersanggul tinggi dan penuh dengan manik. Padahal tidak menepati syarat menutup aurat dan membawa dirinya bersama dosa tabarruj. Dia juga mula berani memakai jeans ketat. "Bukan kita bogel pun".

Itulah yang dirungsingkan oleh Iman. Ainatul yang pernah dilihatnya dahulu seorang gadis yang penuh dengan rona iman sebelumnya. 

 
Masih tersimpan pada memorinya. Pada minggu pertama melangkah kaki di universiti ini, sedang asyik dia menelaah sebuah buku ilmiah di perpustakaan. Dilihatnya seorang gadis sedang menelaah juga berhampirannya. Gadis itu mengambil tempat yang menjadikan tubuh mereka saling bertentangan. Gadis itu tidaklah terlalu cantik, tapi boleh membuatkan lelaki seperti Iman merasa pesona. Lalu Iman cuma menundukkan pandangannya setelah sedar dari lamunan, yang bila-bila masa sahaja akan menjadi panahan iblis. Tidak mahu dia terniat pada hati untuk merasa suka yang berlebihan terhadap gadis itu. Tapi apakah daya, darah muda itu tidak dapat membentengi untuk jatuh cinta. Dia cuba menyingkirkan rasa itu supaya tidak memberatkan jiwanya kelak, 

"Perwatakannya solehah. Moga ketemu insan yang baik menjadi jodohnya.".. Iman berdoa dalam hati. 




Daripada itulah, mereka menjadi sahabat. Gadis yang memperkenalkan diri sebagai Ainatul itu sering bertandang ke perpustakaan. Setiap kali mereka akan duduk di tempat yang sama, tidak berubah sebagaimana kali pertama Iman menyedari kehadiran gadis itu. Dalam period itu, cuma beberapa kali Iman berbicara dengan Ainatul. Cuma bertanyakan dan memperkenalkan nama. Sekadar menulis surat dan memo mencadangkan nama buku yang harus di baca. Setelah itu, Iman tidak lagi menegur gadis itu lantaran dia mahu Ainatul yang dilihatnya sopan itu kekal terhormat. Cuma bersahabat dalam diam. Kerana sukar sekali baginya melihat wanita yang hidup dalam kehormatan. Hatinya suka melihat gadis itu.

Semester pertama berlalu, Ainatul tidak lagi kelihatan pada semester kedua di perpustakaan. Iman juga hairan. Namun dia cuba bersangka baik. Mungkin pada semester kedua ini Ainatul tidak lagi perlukan buku-buku di perpustakaan sebagai rujukan. Lama sudah Ainatul tidak kelihatan, pada awalnya Iman juga teringat akan kerusi yang selalu dilihatnya diduduki oleh seorang gadis sopan dan dihormati. Tapi akhirnya, ia semakin dilupakan dan Iman cuma tekun menelaah seperti biasa.

 
Sampailah suatu hari, di tengah-tengah sebuah pasaraya besar, saat pemuda itu berjalan-jalan melihat masyarakat kota. Dilihatnya sekumpulan gadis asyik membeli-belah. Mereka juga kelihatan asyik ketawa berfoya-foya. Ah, sudah biasa dijumpai keadaan gadis abad ini sedemikian. Namun, ada sesuatu yang menariknya pada sekumpulan gadis itu. Seakan dia kenal salah seorangnya. "Ainatul?!", getus hati Iman, dalam keadaan dahinya yang berkerut-kerut melihat kelainan pada gadis yang dikenalinya itu.

"Assalamualaikum. Kamu Ainatul, bukan? Gadis yang selalu di perpustakaan itu", sapa Iman. 

Ainatul tertegun seketika kerana memang dia masih ingat pada Iman, sambil dia menjawab salam. "Ya, akulah. Kau yang selalu duduk depan aku tu eh?" 

Iman terkedu sekejap, nada percakapan gadis itu juga berlainan sebagaimana dia mula-mula memperkenalkan diri dahulu,"Ya, sayalah yang selalu ada dekat meja bertentangan dengan meja Cik Ainatul selalu duduk. Lama betul saya tak nampak Cik Ainatul. Cik Ainatul pun dah nampak lain sekarang "..  


Ainatul cuma terkebil-kebil. Rakannya ada yang ketawa kecil setelah melihatkan lelaki yang tampak alim menegur Ainatul. Alimnya kelihatan pada Iman kerana dia berkopiah, kaki seluarnya terlipat sedikit dan berjanggut sejemput."Wah, alim sungguh kawan Ainatul ni. Kenal di perpustakaan pula"..Ainatul tahu rakannya itu menyindir, lalu dia merengus kecil.

"Eh, aku nak chow dululah. Oh ya! Kalau jalan-jalan kat bandar, pakai smart sikit baru boleh tegur aku!", tempik Ainatul. Rakan-rakan Ainatul ketawa berdekah-dekah. Berderau darah Iman setelah kata-kata yang kejam itu terkeluar dari mulut seorang gadis yang dipandang tinggi sebelumnya. Walhal, dia cuma menegur sahaja. Tidak disangka kata-kata sindiran seakan marah itu ditembak terus ke jantungnya.

"Allah..", hanya nama Tuhan mampu disebut oleh Iman saat itu.

 
Selepas kejadian itu, Iman selalu merasa gusar. Begitu singkatnya masa boleh menjadikan seseorang manusia berubah. Iman mendapat buah fikiran untuk menasihati Ainatul, sebelum kelakuan gadis itu semakin membarah. Namun, dia perlu mencari Ainatul dahulu. Tibalah suatu hari, Iman ketemu juga Ainatul bersama kumpulan gadis yang ditemuinya di pasaraya tempoh hari. Maka, ketika inilah berlaku pertengkaran yang dasyat yang melukakan hati Iman.

Luka hati itu telah mengundang dendam dalam sanubari Iman. Bukanlah dendam terhadap Ainatul. Tetapi berdendam pada persekitaran yang telah membentuk gadis yang dicintainya dalam diam itu satu masa dahulu. Dia cukup percaya bahawa persekitaranlah yang membentuk amali manusia. Namun, sebenarnya manusia itu juga yang membentuk persekitaran. Siapa? Siapa yang membentuk persekitaran, menjadikan seorang gadis berona iman bertukar menjadi buruk perwatakannya? Memanglah kerja Allah memberi dan menarik balik hidayah. Akan tetapi telah diberi kepada kaum manusia itu untuk mengubah nasibnya. Maka, Iman giat mengkaji dan belajar mengenai permasalahan dunia ini.

" Materialisme itulah yang membunuh spiritual manusia." Kata-kata ini ditemui oleh Iman dalam sebuah buku sosiologi, catatan Ali Syariati membuatkan Iman sedar, bahawa kebendaan itu mampu menjadikan manusia lupa akan siapa dirinya. Sebagaimana terjadi kepada Ainatul. Memang, dikenalinya Ainatul dahulu berpakaian sopan dan lemah gemalai susun nada dan kata ketika memperkenalkan diri. Tapi, setelah Ainatul dilihat berubah pakaiannya itu, menjadi buruk pula perwatakannya. Semua itu tumbuh dari kebendaan.

 
Bukan setakat Ainatul sahaja yang dapat dia jadikan contoh, malah juga pemuda-pemudi yang lain.  Sekarang semuanya berubah ala-Barat. Kononnya itulah kemajuan manusia. Padahal tanpa sedar, kemajuan material yang dicapai itu diambil dari Barat secara membutatuli telah memberi kesan yang merosakkan. Memanglah menolak manfaat yang diciptakan oleh Barat adalah satu kesilapan, tapi adalah lebih silap setelah mengambil cara hidup Barat lalu melupakan amanah Tuhan dan Rasul-Nya. 

Dendam benar Iman terhadap hegemoni kaum korporat, kaum pemodal dan pemilik alat produksi swasta yang disatukan nama sebagai borjuis. Mereka akan menggunakan cara apa sahaja untuk mengaut keuntungan. Mereka inilah yang membina persekitaran itu. Mereka bersaing untuk mengeluarkan barangan setiap masa yang mereka mahu. Persekitaran yang terbentuk akibat kebanjiran material itulah yang menumbuhkan materialisme. Kebendaan itu juga termasuklah alat kosmetik dan perhiasan yang lain. Selain ia menggunakan wanita sebagai model dan iklan. Ia juga menggunakan wanita untuk diperniagakan dan menjadi pasaran. "Ini seakan zaman jahiliah, manusia kian merendahkan martabat wanita!", jerit Iman dalam hati.

****

Di universiti, Ainatul mula bergaul dengan ramai orang. Dalam ramai-ramai itu, cuma seorang sahaja yang paling rapat dengannya. Gadis kota yang bergaya bernama Amy. Kebetulan Amy tinggal satu bilik dengan Ainatul. Orangnya memang cantik, bergaya, seksi dan digilai ramai lelaki. Lantaran itulah, Ainatul kagum akan rakan karibnya itu. Amy bukan sahaja cantik dan menarik. Malah juga baik hati dan suka membantu saat Ainatul dalam kesulitan. 

Dengan Amylah dia mempelajari cara hidup masyarakat kota samaada dalam sedar ataupun tidak. Amy banyak mempengaruhi Ainatul dengan cara pemakaiannya, budaya  dan perwatakan. "Kalau kau pakai cantik-cantik, barulah ramai orang suka kat kau", kata Amy.

"Tapi aku tak nak buang tudung", Ainatul seakan membantah.

"Siapa kata kau kena buang tudung? Kau tak perlu buang pun tudung tu. Cuma kau mesti lebih up-to-date. Sampai bila kau nak hidup dengan fesyen lama ni? Dunia dah maju sayang. Tudung-tudung pun bermacam gaya zaman ni.. " Amy memancing.


Ainatul cuma diam seketika. Kata-kata Amy bahawa dengan kecantikan akan disukai ramai orang menarik hatinya. Kebetulan, Ainatul telah jatuh hati pada seorang lelaki yang tampan bernama Joe. Lelaki itu juga orang kota yang merupakan kenalan baik Amy. Apakah mengikut cadangan Amy itu akan membuat dirinya dapat memenangi hati Joe? Jika tidak, masakan gadis seperti Amy itu dapat diambil oleh Joe sebagai rakan. Ketika itulah sang iblis membuat belaian pada nafsu Ainatul hinggakan ia membatasi akalnya.

"Baiklah. Tapi elaun aku tu cukup-cukup makan je untuk bulan ini", Ainatul mencebik, dia mula rasa kecewa kerana kesulitannya untuk menerima cadangan Amy itu. Bukan kecewa bahawa dia bakal membuat pembaziran.

"Tak apalah. Esok kau ikut aku pergi shopping. Aku belanja! Asalkan kau tak pakai lagi pakaian kampung." jawab Amy. Ainatul terlalu gembira lalu memeluk rakan karibnya itu.

Setelah itu, mereka asyik ke pasaraya untuk membeli-belah. Kadang-kadang, berhabis ribuan ringgit wang yang diamanatkan kepadanya untuk membiayai yuran belajar. Maka, Ainatul itu sendiri terpaksa mengikat perut semata-mata untuk membeli pakaian, alat solek dan aksesori lainnya. Namun, bagi Ainatul berbaloi. Kerana perubahan yang drastik ke atas dirinya membuatkan dia didekati ramai orang. Malah, ramai mula jantan-jantan buaya mengurat, memberi hadiah dan mengajaknya keluar. Bertambah megahlah gadis itu

Seandainya dia berjalan seiringan bersama Amy, semua mata terpaksa bertumpu pada mereka. Berbeza dengan dirinya sebelum ini, seakan tidak disedari orang akan kewujudannya. Tapi tidak pada Iman yang amat menyedari kehadiran seorang gadis yang penuh kehormatan di perpustakaan.

*****  

Perubahan mendadak pada diri Ainatul mendapat perhatian Joe. Malah Joe juga turut mempelawa Ainatul untuk keluar makan malam bersama dan berjalan-jalan. Hinggakan Ainatul itu sendiri dicemburui oleh peminat Joe yang lain. Hubungan rapat antara Joe dan Ainatul telah diketahui oleh Iman. Lantaran mereka berdua itu sentiasa berada di mana-mana bersama dan berjalan seiringan. 

"Awak cantik sebenarnya Ainatul. Sorry sangat sebab saya tak sedar akan kecantikan awak selama ni. " Ucap Joe sambil jari jemarinya bergerak seinci demi seini mendekati tangan Ainatul yang akhirnya digenggam rapat juga. Tapi Ainatul tidak melepaskan tangan Joe walaupun dia sedikit terkejut.

Ternyata, Ainatul begitu bahagia sekali lantaran dia sering dipuji-puji oleh Joe. Kata orang cinta lelaki pada mata, cinta wanita pada telinga. Maka, Ainatul bertambah keinginannya kepada lelaki itu. Walaupun dia sendiri belum mengenali hati budi Joe dengan lebih dekat. Pada pandangan Ainatul, lelaki itu kelihatan budiman kerana memuji-mujinya, membelikan hadiah dan belanja makan. Tidak pernah Ainatul mendapat layanan sebegini rupa sebelumnya.

Perkara itu diketahui Iman, setelah ramai yang menjadi saksi bahawa Ainatul telah berteman dengan orang yang boleh dikatakan popular juga di kampus. Bahkan hubungan dua insan itu menjadi sebut-sebutan pelajar lain. Iman buntu dan merasa serabut. Entah mengapa hatinya begitu rasa sakit setelah mengetahui perhubungan dua insan itu. Padahal dia bukan kenal Ainatul dengan baik. Bukan juga Ainatul itu saudaranya. Cuma gadis yang pernah muncul dalam hidupnya beberapa kali.

Rasa kasihan muncul di hati Iman, saat melihatkan Ainatul disentuh-sentuh oleh lelaki bernama Joe itu. Padahal pada masa yang sama, dia juga mengalami cemburu. Cemburu dan kasihan, perasaan terasing. Namun membawa makna, sememangnya dia masih mempunyai harapan bahawa Ainatul akan berubah. Tapi, apa daya Iman? Dia sedar bahawa hidayah tidak berada di tangannya. Cuma mampu memberikan nasihat sahaja. Malangnya ditolak-tolak oleh Ainatul suatu masa dahulu.

Jam menunjukkan tepat 12 tengah malam. Malam itu, Iman sukar melelapkan matanya. Otaknya ligat berfikir untuk mengubah Ainatul kembali. Tetapi dia sudah memberitahu Ainatul bahawa dia tidak akan mengganggu Ainatul lagi dalam pertengkaran yang lalu. "Bagaimana? Bagaimana cara untuk aku selamatkan Ainatul ya Allah? Bagaimana harus aku lakukan untuk melihat kembali Ainatul sebagai wanita terhormat?" Iman merintih dalam monolognya itu. Meminta Allah memberi petunjuk kepada dirinya juga untuk menyelamatkan Ainatul dari kancah dosa.


bersambung


2 comments:

Bacalah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...