"Aku tak Mulia. Kau pun tak Mulia. KetidakMulianmu menjadi pelengkap ketidakMulianku , hingga kita akan Mulia , meskipun hanya bagi kita berdua. Biarlah Allah yang Maha Mulia , yang berhak menilai keMuliaan kita."


Monday, December 3, 2012

Belajar untuk menang ..


"Aku tengok kau tiap masa baca buku. Kau tak bosan ke?", tanya Amin melihatkan Syakir yang asyik menelaah sebuah buku.

"Apa nak bosan? Aku lagi bosan kalau tak buat apa-apa langsung" , jawab Syakir dengan tenang. Dia masih sibuk mengamati tulisan-tulisan yang memperihalkan sosiologi.

"Buku pasal apa tu? Menarik ke?", tanya Amin lagi.

" Man and Islam, memang menarik. Tulisan Syariati, sarjana Iran.. ", jawab Syakir sambil menunjukkan muka depan buku tersebut.

"Masuk exam ke semua tu?", tanya Amin lagi. 

"Tak.. " jawab Syakir ringkas,

"Buat penat je kau baca kalau tak masuk exam." balas Amin sambil mencebikkan mulutnya. Syakir cuma diam, buku dibelek lagi. Kata-kata Amin sedikitpun tidak mengalihkan perhatiannya. Malah dia semakin tekun mencari sesuatu yang dia tidak pernah tahu sebelumnya.

"Tapi kan. Baik kau baca buku-buku berkaitan subjek yang kau akan belajar Sem depan. Tak lah membazir masa sangat." ujar Amin, memberi cadangan kepada rakan baiknya itu.

 
"Kenapa kita cuma perlu baca buku untuk exam? Kalau aku berjaya dapat 4 flat sekalipun. Belum tentu aku akan dapat ubah nasib aku dan orang sekeliling aku sendiri.'' jawab Syakir, sambil tangannya mencapai kopi panas di sisinya. Itulah tabiat Syakir, ketika membaca pasti ditemani secawan minuman. 

" Kau tak hanya perlukan buku-buku teks untuk jadi pandai. Malah kau tak akan mampu faham hakikat dunia jika cuma bergantung kepada buku teks dan nota kuliah sahaja. Kerana ramai masyarakat kita malas membaca, kita masih lagi tak membangun .. " tambah Syakir lagi.

"Tapi kalau kita dapat 4 flat, mudah kita dapat kerja. Bila kita dapat menempatkan diri dalam profession yang bergaji tinggi, kita boleh jadi manusia yang membangun kawan. Cikgu aku pernah pesan dulu, kalau kita berjaya dalam peperiksaan, dapat masuk universiti ternama, graduate dan cari kerja.Bila kau dah dapat kerja sedap kau boleh beli macam-macam.Kau boleh beli rumah, kereta sport.. awek pun kau dapat brader.. " 

" Dan Islam masih ketinggalan di belakang?" Syakir memotong kata-kata Amin yang tampak bersemangat itu.

" Syria terus bermandi darah, Palestin perit membela Al-Aqsa dan masih ramai gelandangan di negara kita yang tidak cukup makan manakala kita hidup dalam bersenang-lenang? '' sambung Syakir lagi.

" Eh, bukan macam tu maksud aku. Ka..kalau kita dapat banyak duit, bolehlah kita derma banyak-banyak kat Palestin dan Syria tu.. gelandangan pun boleh dapat duit tu" Amin cuba mempertahankan kata-katanya dengan sedikit tergagap.Walaupun dia sedar, pertanyaan Syakir itu membuatkan dia sedikit terkedu.

" Cuba kau kira berapa ramai orang kaya dalam Malaysia. Berapa ramai antara mereka sanggup turun merasai nasib orang susah? Mereka seperti tak mahu langsung melihat.Mereka tak peduli. Kalau mereka peduli, kenapa masih ramai orang tidur merata-rata?" ucap Syakir lagi, suaranya mula berubah perlahan. Bukunya ditutup, lalu disimpan ke dalam beg. Syakir berdiri mendekati jendela, mengenangkan keadaan di ibu kota yang dilawatinya beberapa minggu yang lalu.

---------------



Bernafas di ibu kota sangat menyedihkan. Walaupun terdapat banyak bangunan yang mencakar langit lagi mengkagumkan. Bagi Syakir semua itu hanya berguna menutup moraliti di sebalik keindahan bangunan-bangunan

Banyak benar pecanda haram di kaki-kaki lima kedai. Malangnya, kebanyakan mereka Melayu.Syakir tertarik pada satu pasangan yang sedang berjalan seiringan. Si lelaki tampak bergaya berkaca mata, badannya sasa, sambil memimpin tangan pasangannya yang berambut perang.

Syakir mengatur langkah perlahan-lahan untuk bersahabat dengan kota ini. Bersesak-sesak dalam komuter. Akhirnya dia sampai di Time Square. Kali pertama Syakir menjejak Time Square, dia terpesona melihat kemegahan pusat beli-belah ini. Terdapat banyak pakaian yang cantik, semuanya berjenama dan mahal. Namun dia tidak pula membelinya.


Syakir melihat macam-macam ragam dan gaya manusia di sini. Tiada beza di kaki-kaki lima yang dilewatinya tadi, di sini juga ramai pasangan berpelukan. Bezanya pasangan  ini kelihatan lebih bergaya dan nampak macam orang kaya. Mestilah tempat ini dibina untuk memuaskan orang kaya.Ruang taman tema di Time Square ini turut diperhatikan.Walaupun Syakir tidak melawatinya dengan lebih dekat kerana bayaran masuk sangat mahal. Suasana bising dengan bunyi permainan membuat Syakir serabut dan merasa bosan.Lalu dia mengambil keputusan untuk keluar dari tempat tersebut.
 
Keadaan di luar juga tidak tenang. Jalan raya terlampau sesak dan orang ramai berpusu-pusuan. Namun, Syakir meneruskan saja langkahnya untuk bersahabat dengan kota ini. Tidak lama kemudian Syakir terserempak dengan seorang pengemis tua, tidak jauh dari Time Square. Membuatkan Syakir bermonolog sendirian.

"Kenapa manusia boleh membina bangunan itu dengan begitu megah untuk orang memuaskan sesetengah orang, tapi masih ada orang yang patut menerima bantuan? Ah, ini pembangunan atau bangunan?"

Keanehan itu menyelubungi diri Syakir. Tambahan pula perkara ini belum wujud di desa. Syakir menghulurkan not berwarna hijau kepada pengemis tua itu dan melangkah pergi tidak lama kemudian.

Syakir bergerak ke stesen komuter. Di sini juga sesak. Ramai pelancong dan pekerja-pekerja golongan proletar. Anak-anak muda yang sebaya dengannya juga terdapat di situ, melepak dan bersuka-ria. Semuanya berpakaian fancy dan warna-warni. Ada yang merokok dan ketawa berdekah-dekah.

"Adakah tempat ini setiap hari begini? Mereka nampak letih", getus hatinya lagi tatkala melihat ramai pekerja-pekerja menunggu komuter.

Akhirnya komuter tiba di stesen , orang ramai berebut-rebut untuk masuk. Kali ini Syakir terpaksa berhimpit-himpit dengan ramai orang. Dalam komuter ini juga Syakir melihat bermacam jenis orang yang beraneka gaya.Melihat wanita bertudung litup dan ada pula wanita berpakaian separuh telanjang. Lelaki pula ada yang bertatu dan ada juga berpakaian mengikut sunnah. Padahal kebanyakan mereka dari bangsa yang sama dan dari budaya yang sama.  
“Apakah sebenarnya budaya Melayu pada zaman sekarang?” pertanyaan demi pertanyaan bermain di dalam minda Syakir.
 
Syakir melihat ke luar tingkap, mengamati ciptaan-ciptaan manusia yang megah walaupun suasana kota ini dihiasi debu dan jerebu yang menyakitkan pandangan. Kota ini padat dengan manusia,bangunan dan kenderaan. Semuanya tertumpu di sini. Sempat juga Syakir berkalih ke suatu arah yang menempatkan banyak jentera bagi membina bangunan.
Waktu Asar, Syakir menumpang rehat dan solat di sebuah masjid. Rumah ibadat umat Islam yang dilewatinya ini sungguh besar dan cantik. Tapi kecantikan dan keindahan ukiran pada masjid tidak mampu menarik perhatian ramai orang. “Ya Allah, hanya Engkau sahaja mampu mendengar getus hatiku.Mengapakah manusia mampu membina segalanya tidak seiringan mereka membina kasih kepadaMu? Ya Allah, ampunilah aku seandainya aku ujub ..”

Setelah solat dan berehat, Syakir meneruskan perjalanan ke Chow kit dan kawasan sekitarnya. Di sini walaupun ramai orang, sepertinya terlalu asing untuk dibandingkan dengan tempat orang kaya dan berduit. Kelihatan begitu daif keadaan di sini. Pengemis bukanlah seorang, tetapi ramai. Bukanlah dari kalangan orang tua tetapi juga kanak-kanak dan ibu yang menggendong anak kecil.

Selain itu, banyak juga wanita-wanita berpakaian seksi melambai-lambai kepada manusia yang lalu-lalang di sekitar kawasan itu, tidak jauh dari tempat yang Syakir lewati.Syakir bersangka baik, barangkali keterdesakan hidup membuatkan wanita-wanita tersebut terpaksa memilih jalan kelam untuk hidup.Tambahan pula mereka tidak diberi pengetahuan rohani.

“Ah, kota apa sebenarnya ini?! Aku bukan berada di kota orang-orang miskin. Di sini kota orang yang berjaya! Bangsa yang merdeka! Tuhan mengamanahkan harta kepada penguasa untuk dimanfaatkan kepada rakyat.Di mana penguasa?! Aku melihat keruntuhan jiwa di sini. Di mana agamawan yang sibuk berfatwa fatawi! terdapat ramai wanita-wanita hilang pedoman. Di mana agamawan! ”, hati Syakir menjerit. Bibirnya diketap rapat, menandakan jiwanya juga turut bergolak.
-----------------------



“Kau tak akan faham keadaan dunia sekarang dengan menelan silibus sahaja, Amin. Andai aku berjaya dengan cemerlang sekalipun, aku terfikir bagaimana dengan nasib orang-orang yang tiada pelajaran tinggi? Mereka hanya mampu terkebil-kebil mencari sesuap nasi. ” , pandangan Syakir masih ke luar jendela, menikmati kehijauan. Suasana desa tidaklah sesedih kota.Walaupun kota menjadi impian ramai anak desa yang tidak faham akan keadaan dunia. 

"Tapi, orang-orang miskin tu jadi macam itu sebab mereka tak belajar bersungguh-sungguh.Maka mereka patut terima nasib mereka." 


"Mahu kau tunjukkan aku seorang yang berjaya kerana belajar bersungguh-sungguh? Di mana mereka menyorok? Tunjukkan aku seorang yang merasa cukup puas dan sombong dengan apa mereka miliki. Percayalah, saat ini mereka bersenang-senang dan duduk diam sahaja, aku akan tunjukkan kepada kau seorang manusia yang gagal."

"Kenapa pula gagal? Apa yang mereka usahakan, itulah mereka dapat. Bukankah begitu?" Amin berhujah.


"Ya, mereka akan dapat apa yang mereka usahakan. Barangsiapa yang mahukan kehidupan dan perhiasannya nescaya Allah berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia ini dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan.Ini direkod di dalam Al-Qur'an.. " Syakir menjawab hujah Amin dengan berhemah.


"Haa, kan aku dah kata.. " Amin mulai yakin dengan hujahnya. 

"Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan. Sambungan ayat tadi. Kau boleh buka surah Hud ayat 15 dan 16." balas Syakir sambil tersenyum. Syakir tidak berniat memperlekehkan rakannya itu. Cuma dia sedang berusaha memberi faham kepada Amin.

"Tak kan lah berdosa pula kalau kaya. Sahabat Rasulullah s.a.w dahulu juga ada yang kaya. Semua orang tak perlu bercita-cita tinggi? Berimpian memegang profesion dan menjadi pekerja mahir?" Amin kehairanan.

"Tidak pernah salah menjadi kaya dan bercita-cita memegang kerjaya. Bahkan ia fardu kifayah yang akan memberi manfaat sesama manusia. Suatu masa dahulu, cendekiawan pada era Khalifah yang berjaya membina empayar tidak pula menggunakan ilmu untuk kesenangan dirinya.Malahan untuk dikongsi manfaatnya dengan orang lain. Begitulah kita hari ini, tidak salah menjadi seorang cendekiawan dan pekerja yang cemerlang.Namun, ia cukup bangsat seandainya anugerah yang dikurniakan itu hanya digunakan untuk mencari kesenangan diri dan tidak mencubit sedikitpun kezaliman sesetengah manusia durjana."

"Manusia durjana?''
"Sejarah manusia, dari dahulu sehingga kini adalah pertarungan antara pembawa hak dan batil. Bagi aku,orang yang berusaha menebar kebatilan itulah manusia durjana. Begitu banyak peristiwa dihimpun sejarah.Hari ini,kafir harbi tidak pernah berhenti walaupun sehari dalam usahanya membantai umat Islam dari aspek politik,budaya,ekonomi dan ketamadunan. Mereka menguasai hampir semua perkara dan membentuk hegemoni yang menyukarkan lagi umat Islam hidup sebagai hamba Allah. Patutkah kita hanya sekadar berputih mata?"

"Em, tidak"

"Jadi untuk apa kau menyimpan impian menjadi seorang yang kaya, memiliki kereta mewah dan beristerikan seorang wanita gayanya artis tapi dalam masa yang sama umat Islam terus dianiaya?" Syakir memberi soalan yang bertubi-tubi. Amin hanya mampu diam dan mendengar sahaja apa yang diperkatakan oleh Syakir. Mungkin telah berputik kesedaran dalam diri Amin.

Syakir menyambung, "Kau tahu apa itu rat race?"

"Tak", jawab amin ringkas.

"Rat race ada istilah bagi keadaan yang tidak berkesudahan. Never ending. Misalnya seperti seekor tikus yang berlari gelung yang terdapat dalam sangkar.Ia tidak ke mana-mana melainkan gelung itu sahaja yang bergerak."

''Maksud engkau?"

"Analogi itu sebenarnya seperti kehidupan kita hari ini. Kau akan nampak lebih jelas ketika berdiri di tengah-tengah kota. Seseorang manusia itu ke sekolah semata-mata untuk peperiksaan. Dia menghafal konsep,fakta dan belajar mengira dengan harapan untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Kemudian setelah mendapat keputusan peperiksaan dia ke universiti, manakala rakannya yang tidak berjaya dalam pertarungan akademik mungkin berputus asa dan berhenti belajar untuk menjadi pekerja kelas proletar, iaitu pekerja separa mahir di kilang-kilang atau menjadi kuli. Mereka kemudian bekerja dan bekerja. Memenuhi stesen komuter untuk ke tempat kerja, bersesak-sesak di jalan raya dan berpusu-pusuan di kaki lima setiap hari. Pulang ke rumah untuk berehat untuk mengulangi perkara yang sama pada esok hari. Hari berganti hari dan akhirnya dia mati. Di mana peranannya dalam melawan musuh yang memegang hegemoni? Di mana tanggungjawabnya menjadi Khalifah Allah di muka bumi? Tidak ada! .. melainkan dia merasai hidup di dunia untuk menjaga harta benda sahaja. Apakah nilai manusia itu lebih rendah dari harta?'' Syakir memberi penjelasan dengan panjang lebar. Dahinya kelihatan berkeringat dan wajahnya menunjukkan keseriusan. Amin cuma diam seperti seorang murid yang menghormati guru.



"Tapi memang begitu sistem dunia ini sekarang. Kalau tak macam ni, mesti tergendala semua kerja.Tak begitu?" tanya Amin.

"Islam itu sempurna Amin, tapi manusia hari ini tidak mahu mengambil Islam. Mereka lebih suka menjadi borjuis. Aku tertarik dengan kata-kata Syariati dalam buku tadi,beliau menyebut spirit yang mendominasi kebudayaan dan beradaban dewasa ini adalah spirit borjuis.Ia adalah spirit murahan dari pasar para pemalsu, pasar saham, spirit cari untung jangka pendek, spirit kultur kekuasaan, moraliti rendah dan mencari kepuasan nafsu nista. Seni dan sastera borjuis gemerlapan dengan penyelemengan, propadangda dan sentimentalisme." 

"Ish, kau hafal semua tu? Borjuis tu apa?'' Amin seakan tertarik.

"Borjuis adalah sebuah kelas sosial dari orang-orang yang dicirikan oleh kepemilikan modal.Mereka memiliki kilang-kilang dan bangunan-bangunan di bandar.Dengan kata yang lebih mudah mereka adalah boss. Manakala proletar itulah yang bekerja untuk mereka, menjual tenaga dengan imbuhan gaji. Dalam sistem yang berfungsi sekarang, borjuis sentiasa menindas golongan proletar. Semuanya bermula sejak zaman Renaissance di Eropah lagi. Sebab itulah kita boleh tengok ada orang kaya yang terlampau kaya dan ada pula orang yang terlampau miskin." jawab Syakir.
 
“Tapi Allah dah atur rezeki kita.. Tak begitu?”, Amin teragak-agak.
“Benar Amin, Allah telah aturkan rezeki untuk kita. Tapi jika seorang perompak merampas hak seseorang mangsa, adakah perompak tersebut perlu dilepas bebas? Segalanya mempunyai simbiosis dan perkaitan.Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum seandainya kaum itu tidak berusaha mengubah sendiri ”, Syakir membuat analogi untuk membantu rakannya itu faham.

Amin mengangguk, mengakui kebenaran yang diperkatakan oleh Syakir.Kemudian Syakir mendekati Amin.

“Kekayaan sepatutnya menjadikan manusia bersyukur dan saling membina kecintaan. Bukanlah hidup mementingkan diri dan kerabat. Jauh sekali untuk menindas dan membiarkan kesusahan orang di sekeliling..Jadi, untuk apa kau mahu aku hidup seperti apa yang kau canangkan sekiranya semua itu boleh membunuh jiwa aku sendiri?” tambah Syakir dengan tegas.

“Ilmu itu adalah wajib mendekatkan diri kita dengan Tuhan. Jadi, untuk apa belajar jika kita semakin jauh dari Tuhan. Ilmu bukan sahaja membantu kita mencari kesenangan dunia dan kehendak material sahaja, Amin. Malah juga kekayaan spiritual. Kekayaan ini seharusnya bergerak seiringan.  " 

Syakir kelihatan sugul, akhirnya menumpahkan air mata. Amin cuma memerhatikan saja walaupun dirinya sedikit terkejut tatkala mengamati keadaan Syakir yang sedemikian.

"Aku melihat jazirah Arab meraikan Syahid, dan aku memandang ke arah bangsaku sendiri membersihkan orang yang membunuh diri, bayi dibuang ibunya sendiri dan pemuda maut di jalan raya kerana kedegilan sendiri.Ahli politik bertelagah mencari kuasa dan ramai agamawan sibuk mendampingi orang kaya. Apakah harus aku belajar cuma untuk mencari kesenangan diri? Walhal Allah berfirman bahawa tiap-tiap mukmin itu bersaudara."

"Benar kata kau Syakir, aku bangga ada kawan yang mempunyai kesedaran macam kau." Amin menepuk bahu Syakir seakan memujuk.

"Tapi kalau aku baca buku je setiap masa, nanti larilah awek aku" Amin berceloteh untuk menenangkan Syakir.

"Apalah sangat ditinggalkan seorang kekasih kalau kau sedang berusaha untuk berkasih dengan ramai manusia?'' jawab Syakir sambil menyapu air matanya. Amin cuma ketawa dan menepuk bahu temannya itu. 

"Belajar dan terus belajar. Kejayaan biar Allah yang tentukan. Belajar bukan untuk kesenangan, tetapi untuk menang." tambah Syakir lagi.

Akhirnya, mereka bersama-sama belajar,mengkaji dan membaca buku.Sentiasa mengunjung perpustakaan dan menyedarkan rakan yang lain.Tidak lupa berguru untuk bersahabat dengan ilmu dan mencari solusi masalah kehidupan.



 

Friday, November 30, 2012

Rezeki Kucing-Kucing Comel ..

Setiap hari aku akan ke sekolah sebelum 7.20 pagi. Pada satu pagi, entah kenapa rasa berat je nak pergi sekolah, ketika lagi tinggal satu minggu untuk exam. Pagi itu juga, adik aku mengadu yang basikal dia rosak. Dia suruh hantar, nak hantar dia jam dah 7.15 pagi. Aduh, kenapa tak cakap awal-awal.Sekolah dia dahla jauh. Sempat ke aku masuk sekolah hari ni. Kerana dia adik, ku turuti juga kerana itu tanggungjawab.

Dalam perjalanan, jalanraya yang menghubungkan sekolah adikku itu terlalu sibuk. Ambil masa juga untuk melintas. Sesampainya di sekolah adik aku, jam dah 7.25 pagi. Sah, aku kena ponteng hari ni. Tepat satu minggu lagi aku akan menduduki peperiksaan Sem pertama. Biasanya, kalau aku tak pergi sekolah aku akan ke library. Tapi tiba-tiba pula rindu nak lepak kat taman tasik belakang Uitm Dungun tu. Selamat sampai di taman tasik, sempat menghadamkan subjek ekonomi di sebuah warung terbiar.Di sini tenang, sejuk dan jarang orang datang masa waktu sekolah.Tambahan pula budak diploma Uitm dah cuti. Maka mudahlah aktiviti menghafal dan mengira. Kerana terlalu menggunakan tenaga untuk otak, lapar pula rasanya.

Aku cuba usha kedai makan berdekatan. Ada satu kedai nasi lemak boleh aku kata top 5 dalam Dungun ni.Sebab itu kedai ni ramai orang. Pekerja pula tak ramai, cuma tiga beranak. Pinggan mangkuk berterabur atas meja makan. Belum sempat aku minta bungkuskan nasi lemak, aku dapati duit RM5 dalam kocek aku hilang. Dalam keadaan hampa aku ambil keputusan untuk melangkah ke taman tasik semula, tiba-tiba je mak cik kat kedai tu panggil. Dia minta tolong angkat pinggan mangkuk kat atas meja tu ke dapur. Sebab muka dia pun macam mengharap, jadi aku tolonglah. Setelah itu dia bagi aku dua bungkus nasi lemak, walaupun pada awalnya aku tolak. Memikirkan aku pun lapar dan memang tujuan aku ke sini untuk dapatkan nasi lemak tu, jadi aku tidak menolak pemberiannya.

Kembali ke taman tasik dengan senang hati dan kesyukuran.Dua bungkus nasi lemak tadi aku letakkan atas meja makan warung terbiar ini. Aku dapati sebungkus berlaukkan bilis bersama telur dan sebungkus lagi cuma berlaukkan ikan. Masa inilah datang seekor kucing yang kelihatan macam sakit. Dengan rasa kemanusiaan, maka aku kongsikan lauk ikan itu kepada kucing tersebut. dua-tiga-minit kemudian. Kucing ni datang lagi, kali ini bawak geng. Kesian tengok kucing-kucing comel ni lapar.Semua kurus.Nasiblah ada dua bungkus nasi,memangdangkan aku rasa sebungkus sudah cukup jadi satu bungkus yang tersisa untuk mereka.

Kami makan bersama, walaupun tanpa air. Ya, mak cik tu cuma bagi nasi je.. hehe

Dalam peristiwa ini, aku belajar satu perkara. Tentang kekuasaan Allah dalam mengagihkan rezeki kepada makhlukNya. Semua bermula sebab basikal adikku yang rosak.Kemudian aku lewat ke sekolah.Terdetik hati pula untuk lepak kat taman tanjung. Rasa lapar dan duit RM5 aku hilang. Kemudian dapat nasi percuma dari seorang mak cik yang murah hati. Tak semena-mena dia bagi dua bungkus. Satu bungkus untuk aku dan satu bungkus untuk kucing-kucing comel tersebut. 


“Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempitkan (siapa yang dikehendakiNya)”. Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” Surah Saba’ : ayat 39

Lihatlah Allah membahagi-bahagikan nikmat. Tiada tangan yang mampu menghalangNya. Sedang rezeki kawanan kucing diatur dengan baik, Allah hantarkan aku untuk membawa rezeki kepada kucing-kucing comel. Lagikan pula kita yang diberi tugas sebagai Khalifah di bumiNya, semestinya rezeki kita diatur dengan baik. Jadi, nikmat mana yang kita mahu dustakan? Pengalaman yang bermakna, peristiwa poteng sekolah yang akan aku kenang sampai bila-bila.




 “Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang bertakwa.” 
Surah Thahaa : ayat 132




notakaki: cerita sedikit diolah dari cerita asal.

Friday, November 16, 2012

putar belit



Seorang A politikus parti 123 berkata "Aku mendapati patung barbie boleh digunakan untuk kanak-kanak". Orang B melaporkan "A berkata bahawa babi itu halal dan boleh dimakan oleh kanak-kanak". Orang dari parti C berkata "Jahatnya A, menghala
lkan yang haram".

A menjawab "Eh, saya kata PATUNG barbie, bukan babi!".

C dan rakan2nya D,E F berkata " Tak guna berdolak dalik..kamu memang menyokong liberal dan menghina Islam"

Z ditanya oleh media sedang dia tidak mendengar sendiri lalu memberi komen "Ish, ini sudah teruk, kalau dia menghalalkan babi, saya merasakan dia adalah agen Yahudi di negara kita"


Pengajaran Ringkas :

a) Apabila seseorang menafikan dia bercakap sesuatu, itulah yang patut dipakai, bukan intrepretasi orang ramai. Malah jika betul sekalipun dan ia kemudian menafikan, itu bermakna dia tersilap lidah dan tersasul & ingin membetulkan.

b) Namun kerana politik, TIADA ISTILAH tersasul atau tersalah, semuanya MESTI SENGAJA NAK SALAH, walau dah diperbetulkan.

c) Oleh kerana itu bentuk iklim politik kita, sebagai orang awam yang baik, kita MESTI menahan diri dari terus mempercayai, sebaliknya menapis dengan rujukan dan kajian sebelum percaya. Jika tidak sempat, tidak perlu percaya terus..

d) Contoh di atas TIADA ditujukan kepada mana-mana kes tertentu dan parti secara specifik, ia untuk umum dan pelbagai kes semasa dan melibatkan semua parti. Kerana ia seolah sudah jadi, fenomena negatif dalam masyarakat hari ini.
 
 
 
 
shared Zaharuddin.net's photo.

Bacalah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...