"Aku tak Mulia. Kau pun tak Mulia. KetidakMulianmu menjadi pelengkap ketidakMulianku , hingga kita akan Mulia , meskipun hanya bagi kita berdua. Biarlah Allah yang Maha Mulia , yang berhak menilai keMuliaan kita."


Monday, December 3, 2012

Belajar untuk menang ..


"Aku tengok kau tiap masa baca buku. Kau tak bosan ke?", tanya Amin melihatkan Syakir yang asyik menelaah sebuah buku.

"Apa nak bosan? Aku lagi bosan kalau tak buat apa-apa langsung" , jawab Syakir dengan tenang. Dia masih sibuk mengamati tulisan-tulisan yang memperihalkan sosiologi.

"Buku pasal apa tu? Menarik ke?", tanya Amin lagi.

" Man and Islam, memang menarik. Tulisan Syariati, sarjana Iran.. ", jawab Syakir sambil menunjukkan muka depan buku tersebut.

"Masuk exam ke semua tu?", tanya Amin lagi. 

"Tak.. " jawab Syakir ringkas,

"Buat penat je kau baca kalau tak masuk exam." balas Amin sambil mencebikkan mulutnya. Syakir cuma diam, buku dibelek lagi. Kata-kata Amin sedikitpun tidak mengalihkan perhatiannya. Malah dia semakin tekun mencari sesuatu yang dia tidak pernah tahu sebelumnya.

"Tapi kan. Baik kau baca buku-buku berkaitan subjek yang kau akan belajar Sem depan. Tak lah membazir masa sangat." ujar Amin, memberi cadangan kepada rakan baiknya itu.

 
"Kenapa kita cuma perlu baca buku untuk exam? Kalau aku berjaya dapat 4 flat sekalipun. Belum tentu aku akan dapat ubah nasib aku dan orang sekeliling aku sendiri.'' jawab Syakir, sambil tangannya mencapai kopi panas di sisinya. Itulah tabiat Syakir, ketika membaca pasti ditemani secawan minuman. 

" Kau tak hanya perlukan buku-buku teks untuk jadi pandai. Malah kau tak akan mampu faham hakikat dunia jika cuma bergantung kepada buku teks dan nota kuliah sahaja. Kerana ramai masyarakat kita malas membaca, kita masih lagi tak membangun .. " tambah Syakir lagi.

"Tapi kalau kita dapat 4 flat, mudah kita dapat kerja. Bila kita dapat menempatkan diri dalam profession yang bergaji tinggi, kita boleh jadi manusia yang membangun kawan. Cikgu aku pernah pesan dulu, kalau kita berjaya dalam peperiksaan, dapat masuk universiti ternama, graduate dan cari kerja.Bila kau dah dapat kerja sedap kau boleh beli macam-macam.Kau boleh beli rumah, kereta sport.. awek pun kau dapat brader.. " 

" Dan Islam masih ketinggalan di belakang?" Syakir memotong kata-kata Amin yang tampak bersemangat itu.

" Syria terus bermandi darah, Palestin perit membela Al-Aqsa dan masih ramai gelandangan di negara kita yang tidak cukup makan manakala kita hidup dalam bersenang-lenang? '' sambung Syakir lagi.

" Eh, bukan macam tu maksud aku. Ka..kalau kita dapat banyak duit, bolehlah kita derma banyak-banyak kat Palestin dan Syria tu.. gelandangan pun boleh dapat duit tu" Amin cuba mempertahankan kata-katanya dengan sedikit tergagap.Walaupun dia sedar, pertanyaan Syakir itu membuatkan dia sedikit terkedu.

" Cuba kau kira berapa ramai orang kaya dalam Malaysia. Berapa ramai antara mereka sanggup turun merasai nasib orang susah? Mereka seperti tak mahu langsung melihat.Mereka tak peduli. Kalau mereka peduli, kenapa masih ramai orang tidur merata-rata?" ucap Syakir lagi, suaranya mula berubah perlahan. Bukunya ditutup, lalu disimpan ke dalam beg. Syakir berdiri mendekati jendela, mengenangkan keadaan di ibu kota yang dilawatinya beberapa minggu yang lalu.

---------------



Bernafas di ibu kota sangat menyedihkan. Walaupun terdapat banyak bangunan yang mencakar langit lagi mengkagumkan. Bagi Syakir semua itu hanya berguna menutup moraliti di sebalik keindahan bangunan-bangunan

Banyak benar pecanda haram di kaki-kaki lima kedai. Malangnya, kebanyakan mereka Melayu.Syakir tertarik pada satu pasangan yang sedang berjalan seiringan. Si lelaki tampak bergaya berkaca mata, badannya sasa, sambil memimpin tangan pasangannya yang berambut perang.

Syakir mengatur langkah perlahan-lahan untuk bersahabat dengan kota ini. Bersesak-sesak dalam komuter. Akhirnya dia sampai di Time Square. Kali pertama Syakir menjejak Time Square, dia terpesona melihat kemegahan pusat beli-belah ini. Terdapat banyak pakaian yang cantik, semuanya berjenama dan mahal. Namun dia tidak pula membelinya.


Syakir melihat macam-macam ragam dan gaya manusia di sini. Tiada beza di kaki-kaki lima yang dilewatinya tadi, di sini juga ramai pasangan berpelukan. Bezanya pasangan  ini kelihatan lebih bergaya dan nampak macam orang kaya. Mestilah tempat ini dibina untuk memuaskan orang kaya.Ruang taman tema di Time Square ini turut diperhatikan.Walaupun Syakir tidak melawatinya dengan lebih dekat kerana bayaran masuk sangat mahal. Suasana bising dengan bunyi permainan membuat Syakir serabut dan merasa bosan.Lalu dia mengambil keputusan untuk keluar dari tempat tersebut.
 
Keadaan di luar juga tidak tenang. Jalan raya terlampau sesak dan orang ramai berpusu-pusuan. Namun, Syakir meneruskan saja langkahnya untuk bersahabat dengan kota ini. Tidak lama kemudian Syakir terserempak dengan seorang pengemis tua, tidak jauh dari Time Square. Membuatkan Syakir bermonolog sendirian.

"Kenapa manusia boleh membina bangunan itu dengan begitu megah untuk orang memuaskan sesetengah orang, tapi masih ada orang yang patut menerima bantuan? Ah, ini pembangunan atau bangunan?"

Keanehan itu menyelubungi diri Syakir. Tambahan pula perkara ini belum wujud di desa. Syakir menghulurkan not berwarna hijau kepada pengemis tua itu dan melangkah pergi tidak lama kemudian.

Syakir bergerak ke stesen komuter. Di sini juga sesak. Ramai pelancong dan pekerja-pekerja golongan proletar. Anak-anak muda yang sebaya dengannya juga terdapat di situ, melepak dan bersuka-ria. Semuanya berpakaian fancy dan warna-warni. Ada yang merokok dan ketawa berdekah-dekah.

"Adakah tempat ini setiap hari begini? Mereka nampak letih", getus hatinya lagi tatkala melihat ramai pekerja-pekerja menunggu komuter.

Akhirnya komuter tiba di stesen , orang ramai berebut-rebut untuk masuk. Kali ini Syakir terpaksa berhimpit-himpit dengan ramai orang. Dalam komuter ini juga Syakir melihat bermacam jenis orang yang beraneka gaya.Melihat wanita bertudung litup dan ada pula wanita berpakaian separuh telanjang. Lelaki pula ada yang bertatu dan ada juga berpakaian mengikut sunnah. Padahal kebanyakan mereka dari bangsa yang sama dan dari budaya yang sama.  
“Apakah sebenarnya budaya Melayu pada zaman sekarang?” pertanyaan demi pertanyaan bermain di dalam minda Syakir.
 
Syakir melihat ke luar tingkap, mengamati ciptaan-ciptaan manusia yang megah walaupun suasana kota ini dihiasi debu dan jerebu yang menyakitkan pandangan. Kota ini padat dengan manusia,bangunan dan kenderaan. Semuanya tertumpu di sini. Sempat juga Syakir berkalih ke suatu arah yang menempatkan banyak jentera bagi membina bangunan.
Waktu Asar, Syakir menumpang rehat dan solat di sebuah masjid. Rumah ibadat umat Islam yang dilewatinya ini sungguh besar dan cantik. Tapi kecantikan dan keindahan ukiran pada masjid tidak mampu menarik perhatian ramai orang. “Ya Allah, hanya Engkau sahaja mampu mendengar getus hatiku.Mengapakah manusia mampu membina segalanya tidak seiringan mereka membina kasih kepadaMu? Ya Allah, ampunilah aku seandainya aku ujub ..”

Setelah solat dan berehat, Syakir meneruskan perjalanan ke Chow kit dan kawasan sekitarnya. Di sini walaupun ramai orang, sepertinya terlalu asing untuk dibandingkan dengan tempat orang kaya dan berduit. Kelihatan begitu daif keadaan di sini. Pengemis bukanlah seorang, tetapi ramai. Bukanlah dari kalangan orang tua tetapi juga kanak-kanak dan ibu yang menggendong anak kecil.

Selain itu, banyak juga wanita-wanita berpakaian seksi melambai-lambai kepada manusia yang lalu-lalang di sekitar kawasan itu, tidak jauh dari tempat yang Syakir lewati.Syakir bersangka baik, barangkali keterdesakan hidup membuatkan wanita-wanita tersebut terpaksa memilih jalan kelam untuk hidup.Tambahan pula mereka tidak diberi pengetahuan rohani.

“Ah, kota apa sebenarnya ini?! Aku bukan berada di kota orang-orang miskin. Di sini kota orang yang berjaya! Bangsa yang merdeka! Tuhan mengamanahkan harta kepada penguasa untuk dimanfaatkan kepada rakyat.Di mana penguasa?! Aku melihat keruntuhan jiwa di sini. Di mana agamawan yang sibuk berfatwa fatawi! terdapat ramai wanita-wanita hilang pedoman. Di mana agamawan! ”, hati Syakir menjerit. Bibirnya diketap rapat, menandakan jiwanya juga turut bergolak.
-----------------------



“Kau tak akan faham keadaan dunia sekarang dengan menelan silibus sahaja, Amin. Andai aku berjaya dengan cemerlang sekalipun, aku terfikir bagaimana dengan nasib orang-orang yang tiada pelajaran tinggi? Mereka hanya mampu terkebil-kebil mencari sesuap nasi. ” , pandangan Syakir masih ke luar jendela, menikmati kehijauan. Suasana desa tidaklah sesedih kota.Walaupun kota menjadi impian ramai anak desa yang tidak faham akan keadaan dunia. 

"Tapi, orang-orang miskin tu jadi macam itu sebab mereka tak belajar bersungguh-sungguh.Maka mereka patut terima nasib mereka." 


"Mahu kau tunjukkan aku seorang yang berjaya kerana belajar bersungguh-sungguh? Di mana mereka menyorok? Tunjukkan aku seorang yang merasa cukup puas dan sombong dengan apa mereka miliki. Percayalah, saat ini mereka bersenang-senang dan duduk diam sahaja, aku akan tunjukkan kepada kau seorang manusia yang gagal."

"Kenapa pula gagal? Apa yang mereka usahakan, itulah mereka dapat. Bukankah begitu?" Amin berhujah.


"Ya, mereka akan dapat apa yang mereka usahakan. Barangsiapa yang mahukan kehidupan dan perhiasannya nescaya Allah berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia ini dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan.Ini direkod di dalam Al-Qur'an.. " Syakir menjawab hujah Amin dengan berhemah.


"Haa, kan aku dah kata.. " Amin mulai yakin dengan hujahnya. 

"Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan. Sambungan ayat tadi. Kau boleh buka surah Hud ayat 15 dan 16." balas Syakir sambil tersenyum. Syakir tidak berniat memperlekehkan rakannya itu. Cuma dia sedang berusaha memberi faham kepada Amin.

"Tak kan lah berdosa pula kalau kaya. Sahabat Rasulullah s.a.w dahulu juga ada yang kaya. Semua orang tak perlu bercita-cita tinggi? Berimpian memegang profesion dan menjadi pekerja mahir?" Amin kehairanan.

"Tidak pernah salah menjadi kaya dan bercita-cita memegang kerjaya. Bahkan ia fardu kifayah yang akan memberi manfaat sesama manusia. Suatu masa dahulu, cendekiawan pada era Khalifah yang berjaya membina empayar tidak pula menggunakan ilmu untuk kesenangan dirinya.Malahan untuk dikongsi manfaatnya dengan orang lain. Begitulah kita hari ini, tidak salah menjadi seorang cendekiawan dan pekerja yang cemerlang.Namun, ia cukup bangsat seandainya anugerah yang dikurniakan itu hanya digunakan untuk mencari kesenangan diri dan tidak mencubit sedikitpun kezaliman sesetengah manusia durjana."

"Manusia durjana?''
"Sejarah manusia, dari dahulu sehingga kini adalah pertarungan antara pembawa hak dan batil. Bagi aku,orang yang berusaha menebar kebatilan itulah manusia durjana. Begitu banyak peristiwa dihimpun sejarah.Hari ini,kafir harbi tidak pernah berhenti walaupun sehari dalam usahanya membantai umat Islam dari aspek politik,budaya,ekonomi dan ketamadunan. Mereka menguasai hampir semua perkara dan membentuk hegemoni yang menyukarkan lagi umat Islam hidup sebagai hamba Allah. Patutkah kita hanya sekadar berputih mata?"

"Em, tidak"

"Jadi untuk apa kau menyimpan impian menjadi seorang yang kaya, memiliki kereta mewah dan beristerikan seorang wanita gayanya artis tapi dalam masa yang sama umat Islam terus dianiaya?" Syakir memberi soalan yang bertubi-tubi. Amin hanya mampu diam dan mendengar sahaja apa yang diperkatakan oleh Syakir. Mungkin telah berputik kesedaran dalam diri Amin.

Syakir menyambung, "Kau tahu apa itu rat race?"

"Tak", jawab amin ringkas.

"Rat race ada istilah bagi keadaan yang tidak berkesudahan. Never ending. Misalnya seperti seekor tikus yang berlari gelung yang terdapat dalam sangkar.Ia tidak ke mana-mana melainkan gelung itu sahaja yang bergerak."

''Maksud engkau?"

"Analogi itu sebenarnya seperti kehidupan kita hari ini. Kau akan nampak lebih jelas ketika berdiri di tengah-tengah kota. Seseorang manusia itu ke sekolah semata-mata untuk peperiksaan. Dia menghafal konsep,fakta dan belajar mengira dengan harapan untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Kemudian setelah mendapat keputusan peperiksaan dia ke universiti, manakala rakannya yang tidak berjaya dalam pertarungan akademik mungkin berputus asa dan berhenti belajar untuk menjadi pekerja kelas proletar, iaitu pekerja separa mahir di kilang-kilang atau menjadi kuli. Mereka kemudian bekerja dan bekerja. Memenuhi stesen komuter untuk ke tempat kerja, bersesak-sesak di jalan raya dan berpusu-pusuan di kaki lima setiap hari. Pulang ke rumah untuk berehat untuk mengulangi perkara yang sama pada esok hari. Hari berganti hari dan akhirnya dia mati. Di mana peranannya dalam melawan musuh yang memegang hegemoni? Di mana tanggungjawabnya menjadi Khalifah Allah di muka bumi? Tidak ada! .. melainkan dia merasai hidup di dunia untuk menjaga harta benda sahaja. Apakah nilai manusia itu lebih rendah dari harta?'' Syakir memberi penjelasan dengan panjang lebar. Dahinya kelihatan berkeringat dan wajahnya menunjukkan keseriusan. Amin cuma diam seperti seorang murid yang menghormati guru.



"Tapi memang begitu sistem dunia ini sekarang. Kalau tak macam ni, mesti tergendala semua kerja.Tak begitu?" tanya Amin.

"Islam itu sempurna Amin, tapi manusia hari ini tidak mahu mengambil Islam. Mereka lebih suka menjadi borjuis. Aku tertarik dengan kata-kata Syariati dalam buku tadi,beliau menyebut spirit yang mendominasi kebudayaan dan beradaban dewasa ini adalah spirit borjuis.Ia adalah spirit murahan dari pasar para pemalsu, pasar saham, spirit cari untung jangka pendek, spirit kultur kekuasaan, moraliti rendah dan mencari kepuasan nafsu nista. Seni dan sastera borjuis gemerlapan dengan penyelemengan, propadangda dan sentimentalisme." 

"Ish, kau hafal semua tu? Borjuis tu apa?'' Amin seakan tertarik.

"Borjuis adalah sebuah kelas sosial dari orang-orang yang dicirikan oleh kepemilikan modal.Mereka memiliki kilang-kilang dan bangunan-bangunan di bandar.Dengan kata yang lebih mudah mereka adalah boss. Manakala proletar itulah yang bekerja untuk mereka, menjual tenaga dengan imbuhan gaji. Dalam sistem yang berfungsi sekarang, borjuis sentiasa menindas golongan proletar. Semuanya bermula sejak zaman Renaissance di Eropah lagi. Sebab itulah kita boleh tengok ada orang kaya yang terlampau kaya dan ada pula orang yang terlampau miskin." jawab Syakir.
 
“Tapi Allah dah atur rezeki kita.. Tak begitu?”, Amin teragak-agak.
“Benar Amin, Allah telah aturkan rezeki untuk kita. Tapi jika seorang perompak merampas hak seseorang mangsa, adakah perompak tersebut perlu dilepas bebas? Segalanya mempunyai simbiosis dan perkaitan.Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum seandainya kaum itu tidak berusaha mengubah sendiri ”, Syakir membuat analogi untuk membantu rakannya itu faham.

Amin mengangguk, mengakui kebenaran yang diperkatakan oleh Syakir.Kemudian Syakir mendekati Amin.

“Kekayaan sepatutnya menjadikan manusia bersyukur dan saling membina kecintaan. Bukanlah hidup mementingkan diri dan kerabat. Jauh sekali untuk menindas dan membiarkan kesusahan orang di sekeliling..Jadi, untuk apa kau mahu aku hidup seperti apa yang kau canangkan sekiranya semua itu boleh membunuh jiwa aku sendiri?” tambah Syakir dengan tegas.

“Ilmu itu adalah wajib mendekatkan diri kita dengan Tuhan. Jadi, untuk apa belajar jika kita semakin jauh dari Tuhan. Ilmu bukan sahaja membantu kita mencari kesenangan dunia dan kehendak material sahaja, Amin. Malah juga kekayaan spiritual. Kekayaan ini seharusnya bergerak seiringan.  " 

Syakir kelihatan sugul, akhirnya menumpahkan air mata. Amin cuma memerhatikan saja walaupun dirinya sedikit terkejut tatkala mengamati keadaan Syakir yang sedemikian.

"Aku melihat jazirah Arab meraikan Syahid, dan aku memandang ke arah bangsaku sendiri membersihkan orang yang membunuh diri, bayi dibuang ibunya sendiri dan pemuda maut di jalan raya kerana kedegilan sendiri.Ahli politik bertelagah mencari kuasa dan ramai agamawan sibuk mendampingi orang kaya. Apakah harus aku belajar cuma untuk mencari kesenangan diri? Walhal Allah berfirman bahawa tiap-tiap mukmin itu bersaudara."

"Benar kata kau Syakir, aku bangga ada kawan yang mempunyai kesedaran macam kau." Amin menepuk bahu Syakir seakan memujuk.

"Tapi kalau aku baca buku je setiap masa, nanti larilah awek aku" Amin berceloteh untuk menenangkan Syakir.

"Apalah sangat ditinggalkan seorang kekasih kalau kau sedang berusaha untuk berkasih dengan ramai manusia?'' jawab Syakir sambil menyapu air matanya. Amin cuma ketawa dan menepuk bahu temannya itu. 

"Belajar dan terus belajar. Kejayaan biar Allah yang tentukan. Belajar bukan untuk kesenangan, tetapi untuk menang." tambah Syakir lagi.

Akhirnya, mereka bersama-sama belajar,mengkaji dan membaca buku.Sentiasa mengunjung perpustakaan dan menyedarkan rakan yang lain.Tidak lupa berguru untuk bersahabat dengan ilmu dan mencari solusi masalah kehidupan.



 

Friday, November 30, 2012

Rezeki Kucing-Kucing Comel ..

Setiap hari aku akan ke sekolah sebelum 7.20 pagi. Pada satu pagi, entah kenapa rasa berat je nak pergi sekolah, ketika lagi tinggal satu minggu untuk exam. Pagi itu juga, adik aku mengadu yang basikal dia rosak. Dia suruh hantar, nak hantar dia jam dah 7.15 pagi. Aduh, kenapa tak cakap awal-awal.Sekolah dia dahla jauh. Sempat ke aku masuk sekolah hari ni. Kerana dia adik, ku turuti juga kerana itu tanggungjawab.

Dalam perjalanan, jalanraya yang menghubungkan sekolah adikku itu terlalu sibuk. Ambil masa juga untuk melintas. Sesampainya di sekolah adik aku, jam dah 7.25 pagi. Sah, aku kena ponteng hari ni. Tepat satu minggu lagi aku akan menduduki peperiksaan Sem pertama. Biasanya, kalau aku tak pergi sekolah aku akan ke library. Tapi tiba-tiba pula rindu nak lepak kat taman tasik belakang Uitm Dungun tu. Selamat sampai di taman tasik, sempat menghadamkan subjek ekonomi di sebuah warung terbiar.Di sini tenang, sejuk dan jarang orang datang masa waktu sekolah.Tambahan pula budak diploma Uitm dah cuti. Maka mudahlah aktiviti menghafal dan mengira. Kerana terlalu menggunakan tenaga untuk otak, lapar pula rasanya.

Aku cuba usha kedai makan berdekatan. Ada satu kedai nasi lemak boleh aku kata top 5 dalam Dungun ni.Sebab itu kedai ni ramai orang. Pekerja pula tak ramai, cuma tiga beranak. Pinggan mangkuk berterabur atas meja makan. Belum sempat aku minta bungkuskan nasi lemak, aku dapati duit RM5 dalam kocek aku hilang. Dalam keadaan hampa aku ambil keputusan untuk melangkah ke taman tasik semula, tiba-tiba je mak cik kat kedai tu panggil. Dia minta tolong angkat pinggan mangkuk kat atas meja tu ke dapur. Sebab muka dia pun macam mengharap, jadi aku tolonglah. Setelah itu dia bagi aku dua bungkus nasi lemak, walaupun pada awalnya aku tolak. Memikirkan aku pun lapar dan memang tujuan aku ke sini untuk dapatkan nasi lemak tu, jadi aku tidak menolak pemberiannya.

Kembali ke taman tasik dengan senang hati dan kesyukuran.Dua bungkus nasi lemak tadi aku letakkan atas meja makan warung terbiar ini. Aku dapati sebungkus berlaukkan bilis bersama telur dan sebungkus lagi cuma berlaukkan ikan. Masa inilah datang seekor kucing yang kelihatan macam sakit. Dengan rasa kemanusiaan, maka aku kongsikan lauk ikan itu kepada kucing tersebut. dua-tiga-minit kemudian. Kucing ni datang lagi, kali ini bawak geng. Kesian tengok kucing-kucing comel ni lapar.Semua kurus.Nasiblah ada dua bungkus nasi,memangdangkan aku rasa sebungkus sudah cukup jadi satu bungkus yang tersisa untuk mereka.

Kami makan bersama, walaupun tanpa air. Ya, mak cik tu cuma bagi nasi je.. hehe

Dalam peristiwa ini, aku belajar satu perkara. Tentang kekuasaan Allah dalam mengagihkan rezeki kepada makhlukNya. Semua bermula sebab basikal adikku yang rosak.Kemudian aku lewat ke sekolah.Terdetik hati pula untuk lepak kat taman tanjung. Rasa lapar dan duit RM5 aku hilang. Kemudian dapat nasi percuma dari seorang mak cik yang murah hati. Tak semena-mena dia bagi dua bungkus. Satu bungkus untuk aku dan satu bungkus untuk kucing-kucing comel tersebut. 


“Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempitkan (siapa yang dikehendakiNya)”. Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” Surah Saba’ : ayat 39

Lihatlah Allah membahagi-bahagikan nikmat. Tiada tangan yang mampu menghalangNya. Sedang rezeki kawanan kucing diatur dengan baik, Allah hantarkan aku untuk membawa rezeki kepada kucing-kucing comel. Lagikan pula kita yang diberi tugas sebagai Khalifah di bumiNya, semestinya rezeki kita diatur dengan baik. Jadi, nikmat mana yang kita mahu dustakan? Pengalaman yang bermakna, peristiwa poteng sekolah yang akan aku kenang sampai bila-bila.




 “Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang bertakwa.” 
Surah Thahaa : ayat 132




notakaki: cerita sedikit diolah dari cerita asal.

Friday, November 16, 2012

putar belit



Seorang A politikus parti 123 berkata "Aku mendapati patung barbie boleh digunakan untuk kanak-kanak". Orang B melaporkan "A berkata bahawa babi itu halal dan boleh dimakan oleh kanak-kanak". Orang dari parti C berkata "Jahatnya A, menghala
lkan yang haram".

A menjawab "Eh, saya kata PATUNG barbie, bukan babi!".

C dan rakan2nya D,E F berkata " Tak guna berdolak dalik..kamu memang menyokong liberal dan menghina Islam"

Z ditanya oleh media sedang dia tidak mendengar sendiri lalu memberi komen "Ish, ini sudah teruk, kalau dia menghalalkan babi, saya merasakan dia adalah agen Yahudi di negara kita"


Pengajaran Ringkas :

a) Apabila seseorang menafikan dia bercakap sesuatu, itulah yang patut dipakai, bukan intrepretasi orang ramai. Malah jika betul sekalipun dan ia kemudian menafikan, itu bermakna dia tersilap lidah dan tersasul & ingin membetulkan.

b) Namun kerana politik, TIADA ISTILAH tersasul atau tersalah, semuanya MESTI SENGAJA NAK SALAH, walau dah diperbetulkan.

c) Oleh kerana itu bentuk iklim politik kita, sebagai orang awam yang baik, kita MESTI menahan diri dari terus mempercayai, sebaliknya menapis dengan rujukan dan kajian sebelum percaya. Jika tidak sempat, tidak perlu percaya terus..

d) Contoh di atas TIADA ditujukan kepada mana-mana kes tertentu dan parti secara specifik, ia untuk umum dan pelbagai kes semasa dan melibatkan semua parti. Kerana ia seolah sudah jadi, fenomena negatif dalam masyarakat hari ini.
 
 
 
 
shared Zaharuddin.net's photo.

Wednesday, November 14, 2012

Dengarkan rintihan

Assalamu’alaikum,



Namaku Fathi, dan aku adalah anak palestina. Aku berumur 20 tahun. Sepanjang itu jugalah aku membesar di tanah berdarah ini, dan menjadi saksi kepada segala apa yang berlaku. Peperangan, pembunuhan, kematian, pengeboman, dan pelbagai lagi perkara seakan sudah menjadi panorama biasa untukku.


Kamu tahu, hatta dentuman bom dan muntahan peluru seakan-akan menjadi dodoian tidur bagiku.

Tetapi jangan kata aku bahagia, hakikatnya hatiku sering tercalar dengannya.


Aku membesar tanpa keluarga. Ayah dan ibuku telah terkorban apabila Israel merampas rumah kami. Masih jelas pada tubir mataku, bagaimana ayahku ditembak dengan kejam, dan ibuku dirogol tanpa belas kasihan. Bahkan, mereka dengan buas telah mengoyakkan perut ibuku yang ketika itu sedang mengandung, mengeluarkan adikku yang ada di dalam rahim itu, lalu menembak adikku yang tak berdosa itu berkali-kali. Mujur sahaja pejuang HAMAS tiba ketika itu, jika tidak, pasti aku tidak akan ada di sini, bercerita kepada kamu.


Aku masih ingat lagi yang ketika itu aku berumur 6 tahun. Pejuang Hamas yang menyelamatkan aku bernama Yahya. Sesuai dengan namanya yang bermaksud kehidupan, Allah telah mengizinkannya memberikan kehidupan baru kepadaku. Dia telah menjagaku, dan membesarkanku serta memberikan pendidikan kepadaku. Aku memanggilnya ‘bapa’.


Bagi aku yang melihat sendiri bagaimana Israel menamatkan riwayat seluruh ahli keluargaku, kasih sayang bapa membuatkan aku amat mengasihinya. Dia seakan-akan memberikanku cahaya. Ibarat matahari yang memberikan sinar buat dunia.


Namun bahagia tidak panjang. Kehangatan kasih sayang bapa terhenti apabila Israel melanggar perjanjian gencatan senjata. Bapa telah mati dalam satu pertempuran apabila Israel cuba menceroboh. Umurku ketika itu adalah 20 tahun. Memandangkan pada waktu itu madrasah tempat aku menuntut ilmu telah dirobohkan oleh Israel, maka aku mengangkat senjata dan berjuang bersama-sama pasukan Izzuddin Al-Qassam, yang merupakan sayap kanan HAMAS.


Perjuangan semakin sukar, kerana Israel telah berjaya membuatkan seluruh negara Islam yang lain berdiam diri dengan keadaan kami. Belasan tahun berlalu, peperangan terus berlaku, dan darah terus tertumpah. Nyawa saban hari melayang. Suasana sudah ada perubahan. Dari teruk menjadi semakin teruk.


Hari ini, buat kali yang entah ke berapa, Israel laknatullah telah melanggar perjanjian gencatan senjata. Malah, mereka telah berjanji untuk menyapu bersih segala penentang dalam serangan kali ini. Gaza, daerah bebas terakhir di Palestina, kini telah menjadi tumpuan serangan.


Israel tidak lagi menghiraukan pandangan dunia. Mereka sebenarnya langsung tidak takut dengan sebarang ancaman atau teguran yang dikeluarkan oleh negara-negara lain. Hal ini kerana, mereka tahu bahawa negara-negara lain tidak akan mampu berbuat apa-apa melainkan bersuara sahaja. Amerika telah menjadi boneka Israel lantas bertindak sebagai perisai buat negara zalim itu. Malah Amerika sendiri telah menghantar bantuan ketenteraan untuk Israel.


Kali ini, Israel menyerang dengan serangan yang amat dasyat. 200 buah jet pejuang telah dihantar ke ruang udara Gaza, dan melepaskan bom serta torpedo secara rambang ke arah bandar. Angka kematian pada hari pertama sahaja mencecah 3000 orang. Paling menyedihkan, yang terkorban dalam serangan buas ini bukan sahaja para pejuang, malah anak-anak kecil, perempuan dan orang-orang tua yang tak berdaya turut menjadi mangsa. Bangunan-bangunan banyak yang hancur dan roboh.


Gaza telah menjadi sungai darah. Suasana yang memang sedih kerana penjajahan sebelum ini, kini menjadi lebih menyayat hati. Mayat bergelimpangan di sana-sini. Mayat-mayat hancur juga banyak yang bersepah di atas jalan. Ada juga yang tertepek pada dinding-dinding bangunan. Kemusnahan peperangan kali ini memang di luar akal. Sepanjang aku mengharungi pertempuran di bumi Gaza, inilah peperangan yang terdasyat sekali.


Dalam kemusnahan dasyat disebabkan tangan Israel laknatullah ini, kami mendapat berita bahawa ada kerajaan dunia menegur tindakan zalim Israel. Namun, teguran itu membuatkan telingaku tambah berasap. Kamu tahu apa tegurannya?


“ Harap Israel boleh cuba mengelakkan serangan mereka dari rakyat biasa”


Pada aku yang berada di tengah-tengah Gaza ini, itu adalah teguran terbodoh. Mana mungkin hendak mengelak dari rakyat biasa? Adakah mereka mempunyai peluru berpandu yang boleh mengesan sama ada manusia itu askar atau tidak? Tahukah mereka bahawa Gaza ini penuh dengan rakyat yang tak berdosa? Malah torpedo dan bom yang dilepaskan oleh Israel mempunyai lilitan letupan yang besar. Mustahil tidak mencederakan rakyat biasa. Lihatlah apa yang terjadi di sini, kalau Israel boleh mengelak rakyat biasa, pasti tidak akan ada mayat-mayat anak kecil, perempuan lemah dan orang tua!


Hari ini, jet pejuang Israel telah mengosongkan ruang udara Palestin. Adakah mereka hendak berhenti? Tidak. Mengikut maklumat yang telah kami terima, mereka sudah bersedia di luar Gaza dengan 100 buah kereta kebal. Mereka hendak melunaskan kerja-kerja yang tidak mampu dilakukan oleh jet pejuang.

Aku di balik dinding ini, bersama-sama beberapa orang sahabatku, sedang menanti kehadiran mereka dengan hanya berbekalkan AK-47, senjata yang boleh dikatakan kuno jika hendak dibandingkan dengan senjata Israel. HAMAS telah menetapkan untuk bertempur hingga ke hujung nyawa. Maka beberapa kumpulan telah diarahkan untuk mensabotaj kereta kebal-kereta kebal yang memasuki Gaza. Kami juga diarahkan untuk merampas kereta kebal.

Ketika aku sedang menulis warkah ini, sebahagian anak-anak kecil sudah mula mengutip batu-batu. Aku terasa seperti hendak menangis. Aku jadi kagum. Mereka walaupun belum lagi berumur baligh, sudah matang untuk mengorbankan diri di jalan Allah SWT.


Aku berharap, Allah memberikan kekuatan kepada mereka sebagaimana kekuatan Rasul-Nya Dawud AS.


“Berapa banyak sudah pasukan yang kecil menewaskan pasukan yang besar dengan izin ALLAH,”


Aku merasakan bahawa apa yang berlaku pada saat ini adalah teguran Allah kepada ummat Islam seluruhnya. Yang aku tahu, ummat Islam pada hari ini sering bertelagah. Malah ramai dari kalangan mereka yang tidak ambil kisah akan keadaan saudara mereka yang lain.


Mereka hidup dalam suasana ananiah yang menebal. Hati mereka telah menjadi keras seperti batu untuk merasakan penderitaan saudara-saudara mereka.


Aku juga mendengar bahawa,negara-negara Islam di luar sana sudah tidak mengamalkan Islam di negara masing-masing. Pemimpin-pemimpin mereka leka dengan kesenangan yang ada. Semuanya tunduk dan sujud menyembah Amerika dan segala kuncu-kuncunya.


Aku tahu, ini bukan salah mereka. Mereka sebenarnya telah disuntik dengan jarum beracun semenjak akhir era Khilafah Uthmaniyyah lagi. Ummat Islam melemah, melemah, dan terus melemah sehinggalah jika ada saudara mereka yang dibunuh, dicincang, diinjak, terkorban, hati mereka langsung tidak merasa.

 


Apa yang berlaku kepada kami di sini, aku tidak melihatnya lebih dari teguran Allah kepada ummat Islam itu sendiri. Dengan keadaan Palestina seperti hari ini, Allah hendak menunjukkan betapa lemahnya ummat yang pada satu masa dahulu pernah menguasai 2/3 dunia. Allah hendak menunjukkan, betapa ummat ini telah meninggalkan ajaranNya dan melupakan deenNya. Dan sesiapa yag meninggalkan deenNya akan berada dalam keadaan hina.


Aku pernah mendengar peristiwa tsunami yang melanggar tenggara asia pada lima tahun lepas. Sehingga ada yang menyatakan bahawa itu kiamat kecil. Ketika itu, ramai yang menyatakan bahawa Allah telah marah, lalu menegur manusia dengan bala bencana. Aku hanya mampu tersengih.


Kamu tahu, di Gaza ini, kiamat kecil berlaku hari-hari. Tempat ini saban hari bergegar dengan dentuman bom dan bingit dengan muntahan peluru. Tetapi tiada manusia pun yang menyatakan bahawa apa yang terjadi pada kami ini adalah teguran Allah kepada mereka. Mungkin manusia tidak tahu yang ALLAH ada berfirman,


“Telah nampak kerosakan di darat dan di lautan disebabkan perbuatan tangan-tangan manusia. ALLAH mengkehendaki agar mereka merasakan sebahagian dari akibat perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”


Oleh kerana ketidak pedulian orang-orang Islam di luar sana, kami pasukan HAMAS telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankan bumi suci ini. Kami menentang segala keganasan yang berlaku di sini dengan tulang empat kerat kami, dengan segala kudrat kami. Kami korbankan bukan sahaja masa dan harta, bahkan nyawa juga kami korbankan. Tetapi yang aku amat sedih adalah apabila, tindakan kami untuk mempertahankan tanah kami dikatakan sebagai satu tindakan keganasan.


Aku hairan dan pelik dengan orang-orang Islam di luar sana. Kamu tidak punya akalkah? Kenapa kami digelar sebagai pengganas? Sedangkan rumah-rumah kami dirobohkan, sedangkan isteri-isteri kami dirogol dan dibunuh tanpa belas kasihan, sedangkan anak-anak kami ditembak, sedangkan ayah dan ibu kami terkorban, semuanya dek kerana penjajahan Israel atas tanah kami. Adakah membela diri digelar satu keganasan?


Aku hairan, setahu aku, semua negara ISLAM dahulu menentang penjajahan di bumi mereka. Mereka menyah penjajah dan membenci penjajah. Tetapi apabila tanah kami dijajah, kami pula yang diselar sebagai pengganas. Mereka menyatakan kami tidak reti bertolak ansur. Aku hairan. Kenapa kamu bersikap demikian? Tahukah kamu bahawa Rasulullah SAW ada bersabda,


“Barangsiapa yang berpagi-pagi tanpa mengambil kisah urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka”


Kemudian kamu menyatakan bahawa jihad itu adalah jalan keganasan. Kamu pesongkan jihad kepada jihad-jihad yang kamu reka sendiri. Jihad masyarakat, jihad menentang pencemaran, jihad menentang kemiskinan dan pelbagai lagi jihad yang kamu reka, yang tidak utama, berbanding jihad kami yang sedang mempertahankan deen Islam ini. Sedangkan Allah telah mengizinkan kami untuk memerangi mereka yang menzalimi kami,


“Telah diizinkan untuk kamu memerangi mereka yang menzalimi kamu…”


Kamu tahu, hal Palestin, bukanlah hal kecil. Ini juga bukanlah hal pembebasan sebuah tanah.


Hal Palestin adalah hal deen Islam itu sendiri. Yahudi bukan hendak merampas tanah semata-mata, bahkan mereka hendak melenyapkan Islam itu dari muka bumi kita. Mempertahankan Palestin hari ini, adalah mempertahankan Islam itu sendiri hakikatnya. Kami sanggup berkorban, kerana kami sedang mempertahankan Islam. Kami bukan nasionalis, kami adalah hamba Allah SWT. Hanya Allah SWt mampu membeli jiwa-jiwa kami. Bukannya dunia atau perkara lain. Sungguh kami melihat betapa Allah hanya redha pada Islam, bukan pada negara-negara yang kita duduki. Allah telah berfirman,

“Hari ini telah aku sempurnakan untuk kamu deen kamu(ISLAM), dan aku sempurnakan untu kamu nikmatKu(ISLAM), dan aku redha ISLAM itu menjadi deen kamu”

Kamu tahu yang Masjidil Aqsa itu adalah tempat suci ummat Islam. Ia sama sahaja seperti Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Tetapi kenapa dua masjid itu kamu tatang seperti minyak yang penuh, sedangkan masjid suci di Palestin ini kamu biarkan? Bukankah masjid ini tempat Rasulullah dimikrajkan ke langit? Adakah kamu tidak berasa apa-apa apabila tembok tempat Rasulullah SAW menambat buraq dijadikan tembok ratapan oleh kaum yahudi? Adakah kalian lupa firman Allah?


“Maha Suci kepada yang mengisra’kan hambaNya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Majidil Aqsa yang diberkati sekelilingnya dan ditumpahkan cahaya kepadanya dari ayat-ayat KAMI”



Hati kalian telah dibius. Kalian hanya mampu bersuara tetapi tidak mampu bergerak. Tidak cukup dengan itu, kalian menggelar kami yang berjuang ini sebagai pengganas. Kamu tahukah apa makna semua ini? Ini menunjukkan Islam itu telah pudar dari penghayatan kalian. Kalian yang tidak bergerak membantu kami itu, adalah tanda lemahnya hubungan kalian dengan Allah SWT. Kalian lebih takut segala halangan yang direka oleh musuh-musuh Allah dari Allah itu sendiri. Adakah kalian lupa sabda Rasulullah SAW?


“Muslim itu adalah saudara bagi muslim yang lain, jangan kamu menzaliminya, mengkhianatinya atau menyerahkannya kepada mereka yang hendak menzaliminya”


Bukankah ALLAH juga ada berfirman,


“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati ALLAH dan RasulNya, dan janganlah sesekali kalian mengkhianati amanah kalian sedankan kalian mengetahuinya”


Tapi pakah pengkhianatan yang berlaku hari ini? Apakah yang kalian akan katakan kepada Allah pada hari kelak akan pengkhianatan yang kalian lakukan kepada kami hari ini?



Adakah kalian sangka, Israel itu akan berhenti selepas menawan Palestin ini? Ketahuilah yang mereka itu akan bergerak menawan seluruh negara Islam yang lain selepas menyelesaikan kerja mereka menawa Palestin. Mungkin aku telah tiada ketika itu. Tetapi aku tahu apa yang akan berlaku. Kamu tahu apa yang akan berlaku? Apa yang akan berlaku pada kamu ketika itu adalah apa yang telah berlaku kepada kami ketika ini. Ketika itu kamu akan merasa sebagai mana yang telah kami rasai hari ini. Allah telah berpesan,


“Tidak akan sesekali redha yahudi dan tidak pula nasara sehingga kamu mengikuti jalan mereka”


Tidak cukupkah penderitaan kami? Sehingga bila kamu semua hendak tidur memekakkan diri? Hari kamu akan tiba nanti andai kamu tidak bergerak lagi. Ketika itu baru kamu merasai apakah seronok digelar pengganas di bumi sendiri.


Kamu tahu, kalaulah Masjidil Aqsa itu boleh bersuara, aku yakin yang dia akan menjerit memarahi kalian yang sedang duduk bergoyang kaki, membiarkan aku dan seluruh penduduk Palestina ini menderita. Kamu tahu,kalaulah dinding-dinding rumah yang ada di Palestin ini boleh bersuara, pasti mereka akan melaknat kalian yang tidak mengendahkan akan keadaan kami di sini. Kamu tahu, kalaulah batu-batu yang anak-anak kecil kami baling itu boleh bersuara, batu-batu itu pasti akan berteriak menghina kebaculan kalian hari ini.


Tidakkah kamu tahu bahawa,nanti bayi-bayi kami, anak-anak kami, isteri-isteri kami, ayah dan ibu kami, pejuang-pejuang kami yang telah gugur semuanya itu akan bangkit di hari akhirat? Hari yang Allah telah janjikan untuk kita berkumpul di Padang Mahsyar bersama-sama. Mereka akan mempersoalkan kalian di hadapan Allah atas apa yang telah kalian lakukan kepada kami hari ini. Aku tahu apakah yang akan mereka katakan nanti.


“ Ya Allah, mereka saudara kami, tetapi mereka telah membiarkan kami.”


Apakah kamu menyangka Allah akan melepaskan kalian?


Hari itu kami akan bangkit dengan darah-darah kami sebagai bukti perjuangan dan penderitaan kami. Darah kami akan berbau harum seperti kasturi. Kerna kami syahid dalam mempertahankan deen Allah yang Allah redhai.


Kalian tahu, mereka yang mati syahid tidak akan dihisab oleh pertimbangan Allah. Kami akan diberikan keistimewaan untuk terus masuk ke syurga. Tetapi apakah nasib kalian ketika hari itu? Kalian akan merangkak di Siratul Mustaqim kerana pemeriksaan yang sangat berat oleh Allah. Dosa kalian meninggalkan kami amat berat sebenarnya.


“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, tetap akan dihitung, dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, tetap akan dihitung”


Pasti kalian akan meminta dijadikan sebagai tanah ketika itu.


“ …alangkah baiknya jika dahulu aku hanyalah tanah”

Kamu tahu, aku dan semua sahabatku, juga semua mereka yang telah mati terkorban, terbunuh di sini, tidak memerlukan belasungkawa kalian. Yang kami perlukan adalah perubahan diri kalian. Kita saudara bukan? Kenapa kalian mesti membiarkan kami?

Berubahlah. Berubahlah dengan menjadi hamba Allah SWT. Ketahuilah bahawa Islam itu satu. Palestin juga adalah tanah kamu. Kenapa kalian membiarkan kami? Buangkanlah wahan dalam hati kalian. Dunia ini hanya sementara. Akhirat jualah yang benar dan kekal abadi selama-lamanya. Bukankah Allah telah berpesan kepada kalian,



“Setiap yang bernyawa akan merasai kematian, dan hanya pada hari kiamat sahajalah diberikan dengan sempurna balasan kamu. Barangsiapa yang dijauhkan dari neraka, dan dimasukkan pula ke dalam syurga, sungguh dia telah memperolehi kemenangan, kehidupan di dunia ini tiadalah lebih dari kesenangan yang memperdaya”


Kenapa kalian mesti takut dengan segala sekatan Israel dan kuncunya Amerika? Adakah kerana mereka memegang nyawa kalian? Adakah kerana mereka memegang harta kalian? Wahai saudaraku, hilangkanlah cinta dunia dan takut mati kalian. Allah jugalah yang memegang nyawa kalian. Allah jugalah yang menjaga kalian. Allah jugalah yang berkuasa atas kalian. Bukankah ALLAH sering mengulang di dalam Al-Quran,


“Sesungguhnya Allah itu berkuasa atas segala perkara”


Aku ulang, hidup kita hanya sementara. Hanya sementara. Kenapa kalian sia-siakan akhirat yang selama-lamanya untuk dunia yang sementara ini. Apa yang kalian takutkan?


Janganlah kalian hanya menjadi buih, dijentik terus pecah. Rasulullah telah mengetahui akan datangnya zaman ini. Sabdanya,


“kelak ummat-ummat lain akan menggerumuni kalian seperti orang-orang lapart menggerumuni hidangan”


Sahabat-sahabat bertanya, “Apakah ketika itu bilangan kamu sedikit ya Rasulullah?”


Rasulullah SAW menjawab, “Tidak, bahkan kamu ramai. Tetapi kamu seperti buih di lautan. Kamu telah diserang penyakit wahn”


Sahabat bertanya lagi, “Apakah wahn itu ya Rasulullah?”


“Cinta dunia dan takut mati”
 

Aku dengar kalian mempunyai banyak tentera dan senjata yang hebat-hebat. Kalau seluruh negara Islam bersatu, Amerika juga bukan tandingan. Hendak menentang Hizbullah pun mereka tidak mampu, apalagi menentang kesatuan kalian. Kenapa kalian takut? Sungguh ketakutan yang hadir dalam diri kalian adalah tanda keimanan kalian belum lagi benar kepada Allah SWT.


Marilah membantu kami. Bukankah di dalam Al-Quran yang kalian kita sama-sama membaca ada tertulis,


“Dan sekiranya mereka meminta pertolongan kalian(ketika mereka diserang) kerana ISLAM, kalian mestilah sudi menolong mereka”


Ah…


Kereta kebal mereka telah mampir. Aku mesti bersiap sekarang. Kalian tahu, walaupun kami mati, kami akan masuk syurga. Kalian yang terus hidup akan ke mana? Kalian akan dipersoalkan atas apa yang berlaku pada kami hari ini. Allah bersama kami dan tidak bersama-sama musuh kami. Mati kami mati mulia, menang mereka menang hina. Kami jugalah yang menang sebenarnya.


ALLAH itu matlamat kami,


Rasul itu contoh ikutan dan pemimpin kami,


Al-quran itu perlembagaan kami,


Jihad itu adalah jalan kami,


Dan mati di jalan ALLAH itu, adalah cita-cita tertinggi kami.


Aku tinggalkan pesanan ini, moga pesanan ini tidak hancur dimusnahkan oleh kemusnahan yang berlaku di sini. Pesanan ini untuk kalian. Ya, kalian. Saudaraku, seaqidah denganku.
 

Semoga Allah mencampakkan kesedaran dalam hati kalian, semoga Allah membangkitkan raksasa yang tertidur akibat bius yang disuntik oleh musuh, semoga Allah membangkitkan kekuatan kita. Semoga ISLAM itu kembali tinggi seperti dahulu kala, atau mungkin lebih baik lagi.


Janganlah kalian takut, sesungguhnya ALLAH telah berjanji,


“Sekiranya kamu membantu ALLAH, maka ALLAH akan membantu kamu dan menguatkan kaki-kaki kamu”


Ketahuilah, Allah tidak akan ubah nasib kita, melainkan kita berusaha.


Allah mengingatkan kita dalam firmanNya,


“Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu mengubah dahulu apa yang ada pada diri mereka”


Salam dari sahabat dan saudara kalian, anak Palestina bumi berdarah, bumi perjuangan, bumi pengorbanan.


Selamatkanlah diri kalian dari api neraka. Sesungguhnya api neraka itu azabnya tidak terkira.


Wassalam.

Bacalah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...