Tiupan angin senja amat mendamaikan perasaan. Aku berasa tenang dan
bahagia dengan ciptaan Allah. Aku mendakap erat sebuah buku yang
bertajuk "Di Mana Nilai Cintamu". Buku itu baru aku beli pada dua minggu
yang lepas.
"Nur Iman."
Satu suara menyapaku dari belakang. Aku amat mengenali suara itu.
Suara milik seorang gadis yang aku kenali semasa di tingkatan satu lagi.
Lantas aku membuka mataku. Alia tersengih memandangku dan terus
melabuhkan punggungnya di sebelahku.
"Assalamualaikum, kau nak apa ni? Tersengih-sengih je dari tadi," tanyaku dengan wajah yang masam.
"Waalaikumussalam, Iman. Erm, aku tak nak apa-apa lah. Aku sekadar
nak berborak dengan kau je. Kau baca buku apa tu?" tanya Alia sambil
memandang ke wajahku. Anak matanya merenung tajam buku yang aku dakap ke
dadaku itu.
"Aku baca buku yang berjudul "Di Mana Nilai Cintamu". Sesuai dengan
tajuknya, buku ini mengisahkan tentang di mana nilai cinta kita."
"Amboi, sahabat yang aku sanjung selama ini dah jadi pencinta
jejaka!" kata Alia memerliku sambil ketawa terbahak-bahak. Aku hanya
tersenyum mendengar gurauan Alia. Alia sentiasa membuat aku tersenyum
dan ketawa dengan gurauannya.
"Erm, buku yang aku baca ni bukan mengisahkan tentang cinta kita
kepada hamba Allah. Tetapi tentang nilai cinta kita kepada Allah.
Pernahkah kita terfikir? Sepanjang kita hidup di dunia ini, pernahkah
sekali kita melafazkan kata-kata cinta kepada Allah atau kata-kata cinta
itu hanya kita lafazkan kepada insan yang kita cintai? Cinta manusia
itu hanya bersifat sementara, tetapi cinta Allah adalah cinta yang
abadi. Jadi, di mana nilai cinta kita kepada Allah? Adakah nilainya sama
dengan cinta kita kepada manusia atau nilainya lebih tinggi lagi
daripada itu?"
"Wah, hebatlah kau! Aku tabik dengan kau."
"Alia, aku tidaklah sehebat mana. Aku pun manusia biasa juga, ada
kelemahan dan ada kekurangan. Tetapi, kita kenalah berusaha memperbaiki
diri dan mengatasi kelemahan yang ada pada diri kita. Manusia ni sama je
di mata Allah, tak ada bezanya."
A
lia terpaku mendengar jawapanku. Dia merenung seketika wajahku dan
mengalihkan pandangannya ke arah ombak yang memukul pantai. Aku terdiam
menanti bicara Alia yang seterusnya. Aku sedar, bukan hanya soalan itu
yang ingin Alia tanyakan padaku. Setahu aku, Alia lebih suka terperap di
dalam bilik pada waktu senja macam ini.
"Iman, apa itu Islam?"
Soalan Alia membuatkan anak mataku melirik ke arahnya. Alia tenang di
sebelahku. Aku menarik nafas dan menghembuskannya dengan perlahan.
"Islam itu adalah mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat
lima waktu sehari semalam, berpuasa pada bulan Ramadan, mengeluarkan
zakat dan menunaikan haji bagi yang berkemampuan."
"Adakah aku hanya Islam pada nama? Aku tidak pernah menunaikan solat.
Aku jarang berpuasa. Ibu bapa aku sendiri tak pernah ajar aku tentang
pentingnya bersolat. Bahkan mereka sendiri tak pernah bersolat dan
jarang berpuasa."
Aku membiarkan soalan Alia itu seketika. Aku memikirkan kata-kata
yang baik untuk disampaikan pada dia. Aku teringat dengan sesuatu,
'Pendakwah yang berhemah adalah pendakwah yang menyampaikan dakwahnya
dengan lemah-lembut dan tidak mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh
menyinggung perasaan orang yang mendengarnya.'
"Solat merupakan rukun Islam yang kedua dan merupakan tiang agama.
Setiap orang Muslim diwajibkan menunaikan solat lima waktu sehari
semalam. Solat boleh mencegah diri kita daripada melakukan perbuatan
keji dan kemungkaran. Solat itu juga merupakan ibadah yang lebih besar
keutamaannya daripada ibadah-ibadah yang lain kerana ketika kita sedang
bersolat, kita akan berhadapan dengan Allah SWT dan kita akan merasa
betapa kerdilnya diri kita ketika itu.
"Pada saat itu kita akan sedar dalam kehidupan kita, ada penciptaNya
dan kita mestilah mengingati pencipta kita dalam susah mahu pun senang.
Dalam sehari, Allah cuma minta lima kali sehari untuk kita mendekatkan
diri kepadaNya kerana Dia sayangkan kita. Kalau kita sayangkan Allah,
tentu kita tak sabar nak menunaikan solat setiap kali masuk waktu solat.
Tetapi ramai yang merasakan ia adalah satu beban bagi mereka. Allahu
alam."
Aku menelan air liur seketika. Alia hanya menjadi pendengar setia. Dia tidak mencelah sebarang kata-kataku.
"Alia, tujuan Allah menyuruh kita berpuasa adalah untuk mendidik jiwa
kita menjadi hambaNya yang bertakwa. Seorang hamba yang bertakwa ialah
yang taat kepada Allah dalam segala arahan dan perintahNya. Mungkin
sepanjang bulan lain kita lalai dengan hal duniawi. Oleh sebab itu, pada
bulan Ramadan, Allah nak kita ingat balik tujuan kita hidup di dunia
ini - iaitu untuk mengabdi kepadaNya dan sebagai khalifah di muka bumi.
Allah ingatkan kita sebab Dia sayang kita.
"Tentang ibu bapa Alia itu, Alia tak boleh salahkan mereka. Seburuk
mana pun mereka, mereka tetap ibu bapa kita. Kita kena memperbaiki diri
kita dulu baru kita boleh memperbaiki diri orang lain. Hadiah yang amat
bernilai buat ibu bapa adalah sepotong doa daripada anak yang soleh."
Aku membiarkan Alia merenungi kata-kata aku sebentar tadi. Aku tak
perlu mengulas dengan lebih lanjut lagi. Aku percaya Alia boleh memahami
kata-kataku. Aku melontarkan pandanganku jauh ke dasar laut. Aku
mengukir senyuman yang lebar sehingga menampakkan barisan gigiku yang
tersusun rapi.
"Aku terlalu jahil dalam mengenal ilmu Allah. Aku lalai dalam
menunaikan tanggungjawab aku sebagai hambaNya. Aku tak pernah tunjukkan
kepada Allah yang aku sayangkan Dia juga," suara Alia menusuk tangkai
hatiku. Perubahan dari segi suaranya membuatkan lidahku terkelu
seketika.
"Kau tak jahil, Lia. Cuma kau belum mendapat hidayah daripada Allah.
Percayalah, Lia. Allah akan ingat kepada hambaNya sekiranya hambaNya
ingat kepadaNya. Allah itu Maha Megetahui, Maha Penyayang dan Maha
Pengampun. Mintalah ampun kepada Allah sebelum terlambat," jelasku
panjang lebar sambil menyentuh bahu Alia. Alia terus memelukku dengan
erat. Aku membalas pelukan Alia.
"Terima kasih, Iman. Kau dah menyedarkan aku."
"Jangan berterima kasih kat aku, tetapi terima kasih kepada Allah
kerana dia telah membukakan pintu hati kau. Aku hanya menyampaikan yang
sepatutnya kat kau. Aku sendiri masih belajar tentang ilmu Allah. Ilmu
Allah terlalu luas, takkan habis diterokai walaupun seumur hidup."
Aku meleraikan pelukan Alia.
"Jom, kita balik asrama. Waktu maghrib dah nak masuk, kita solat
berjemaah. Solat berjemaah adalah lebih afdal daripada solat
bersendirian."
Aku berjalan beriringan bersama Alia. Satu kedamaian jelas terasa di
hatiku. Kedamaian kerana sahabatku, Alia sedang menemui nilai cintanya.
Nilai cinta kepada Allah, pencipta kita yang sangat menyayangi kita. "Ya
Allah! Kau permudahkanlah perjalanan sahabatku ini agar dia sentiasa
berada dalam landasanMu dan menjaga nilai cintanya kepadaMu. Kau
tunjukkanlah dia ke jalan yang benar iaitu jalan-jalan orang yang lurus.
Amin Ya Rabbal Alamin."
Aku mengenggam erat buku "Di Mana Nilai Cintamu". Buku itu amat bermakna bagiku dalam mencari hidayah Allah. Insya-Allah.
Credit: iluvislam
No comments:
Post a Comment