"Aku tak Mulia. Kau pun tak Mulia. KetidakMulianmu menjadi pelengkap ketidakMulianku , hingga kita akan Mulia , meskipun hanya bagi kita berdua. Biarlah Allah yang Maha Mulia , yang berhak menilai keMuliaan kita."


Wednesday, February 27, 2013

manfaatkan seni

 


seorang pengarang buku, walau bagaimana pun putus asa hidupnya, kalau pada suatu hari dilihatnya orang sedang membaca buku itu dengan asyiknya, dia akan lupa kepayahan dan keputus-asaannya itu.. dia tidak peduli lagi tentang wang. kerana dia telah kaya pada hati. dan kekayaan hati yang dianugerahkan padanya itu dapat pula dikongsi bersama orang lain tanpa rasa hilang sedikitpun kekayaannya.begitu juga seorang ahli seni yang setia, tidak peduli kepada wang. kerana kekayaan pada ahli seni yang setia itu bukanlah kekayaan wang, tetapi kekayaan hati dan kebahagiaan. lalu peminat seni itu mendapat tempias bahagianya pula.

adapun ahli seni di tangan borjuis itu yang memusatkan perhatiannya pada wang. percayalah, pentas-pentas mereka walau penuh dengan lampu tapi gemerlapan, tidak bertahan lama kualitinya dan akhirnya terus malap. maka peminat seni itu cuma akan mencebik, sambil menyumpah-nyumpah orang yang membela nafsu sang perut menggunakan seni. seni sepatutnya menjadi mekanisme untuk menyampaikan idea. ia adalah lebih mulia daripada dijadikan bahan untuk mendapatkan wang. ia digunakan untuk mengawal minda masyarakat dan sepatutnya menjadikan alat untuk menggerakkan masyarakat itu kepada perubahan. membawa perubahan itu bukanlah dari intelektual sahaja, tapi juga seorang seniman. lihatlah dunia, bukankah nama seorang seniman itu lebih dikenali oleh masyarakat berbanding kaum intelektual? kalau seorang kanak-kanak itu mempunyai dua orang guru untuk matapelajaran yang sama. tetapi salah seorangnya menggunakan alat muzik untuk mengajar anak muridnya, manakala seorang lagi hanya menggunakan gaya pengajaran yang biasa. pasti, kanak-kanak itu lebih selesa dengan gurunya yang menggunakan alat muzik itu.



mereka yang sering menjadi ternama, adalah orang yang terlibat dengan seni. bukan nama yang dicari, tapi setelah kita telah menjadi pusat perhatian manusia adalah keadaan terbaik untuk mempengaruhi manusia.


adakala seni yang membawa idea revolusi jangan setakat mengucapkan kata-kata lawan yang keras sahaja. tapi juga perlu dengan kelembutan, humor dan harmoni. sebab manusia sukakan hiburan. dan manusia itu juga jarang melihat sesebuah penulisan lantaran apa yang ingin diperkatakan penulis. tapi manusia lebih suka menilai bagaimana ia diperkatakan. jadi, fiksyenkan tulisan melawan adalah satu tindakan yang baik. dalam hiburan tapi terselit dengan idea. tidak akan disebut revolusi jika bukan revolusioner mahukan perubahan yang akan membentuk keadaan yang bahagia, aman dan tenang. dalam perlawanannya itu mestilah dogma kerosakan yang menjadi musuhnya. maka, tidak salah dia mengucapkan kata-kata lawannya dengan cara yang menghiburkan hati. benar, hati yang terhibur itulah yang disebut bahagia.

saya tertarik gaya Abuya HAMKA melontarkan ideanya dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, yang saya kira novel terbaik pernah saya temui. beliau seakan ingin memberitahu manusia supaya menjauhi ketaksuban pada harta, yang mendorong materialistik itu. kerana materialistik itulah yang menukarkan cinta menjadi nafsu. tapi ia disampaikan dalam penulisan yang membuatkan suasana yang indah dalam sanubari pembaca. sasteranya yang memperihalkan cinta menjadikan pembaca gembira sambil dapat mengelakkan pembaca itu bosan. malah ia meninggalkan bekas dalam hati pembaca itu dan menjadikan mereka menteladani kisah yang tertulis. saya mengakui bahwa sayalah salah seorang saksi penulisan itu. benarlah, satu titik dakwat boleh menjadikan ramai manusia itu berfikir. tapi titik apa dan bagaimana yang ingin dibawakan?


jarang sekali drama dan kisah-kisah cinta itu tidak dilampirkan dengan muzik, bukan? :D


selama saya aktif menjadi seorang penglipur bersama pena musafir hairan. ramai pengunjung bertanyakan saya, apakah nama lagu yang menghiasi pena musafir hairan ini. dan mereka sering mengakui bahawa hati mereka tersentuh saat membaca tulisan-tulisan saya. walaupun tulisan itu tiada disiplin dan banyak cacatnya. sangkaan saya, mereka itu sebenarnya tersentuh lantaran kombinasi muzik dan penulisan yang berbunga kata-kata. tidakkah sesebuah lagu itu kurang enak jika dinyanyikan tanpa iringan muzik? dan akan membosankan dengan setakat menyebut bait-bait lirik itu tanpa melodi sedikitpun. ya, kerana itulah saya menggunakan kaedah ini. pembaca penulisan musafir hairan akan jadi lebih terhibur dengan iringan muzik. pembacaannya itu seakan sebuah nyanyian yang menghiburkan hatinya. sebagaimana saya juga terhibur menulis dengan iringan muzik ini. ketiadaan bakat atau kemahiran bukan masalah. segalanya adalah kita melakukan satu titik permulaan, kemudian dilengkapi dengan latihan. insyaallah berjaya.



maka, kerana itulah saya percaya bahawa seni adalah alat untuk mengubah manusia. manfaatkan seni!


No comments:

Post a Comment

Bacalah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...