Dalam perjalanan, jalanraya yang menghubungkan sekolah adikku itu terlalu sibuk. Ambil masa juga untuk melintas. Sesampainya di sekolah adik aku, jam dah 7.25 pagi. Sah, aku kena ponteng hari ni. Tepat satu minggu lagi aku akan menduduki peperiksaan Sem pertama. Biasanya, kalau aku tak pergi sekolah aku akan ke library. Tapi tiba-tiba pula rindu nak lepak kat taman tasik belakang Uitm Dungun tu. Selamat sampai di taman tasik, sempat menghadamkan subjek ekonomi di sebuah warung terbiar.Di sini tenang, sejuk dan jarang orang datang masa waktu sekolah.Tambahan pula budak diploma Uitm dah cuti. Maka mudahlah aktiviti menghafal dan mengira. Kerana terlalu menggunakan tenaga untuk otak, lapar pula rasanya.
Aku cuba usha kedai makan berdekatan. Ada satu kedai nasi lemak boleh aku kata top 5 dalam Dungun ni.Sebab itu kedai ni ramai orang. Pekerja pula tak ramai, cuma tiga beranak. Pinggan mangkuk berterabur atas meja makan. Belum sempat aku minta bungkuskan nasi lemak, aku dapati duit RM5 dalam kocek aku hilang. Dalam keadaan hampa aku ambil keputusan untuk melangkah ke taman tasik semula, tiba-tiba je mak cik kat kedai tu panggil. Dia minta tolong angkat pinggan mangkuk kat atas meja tu ke dapur. Sebab muka dia pun macam mengharap, jadi aku tolonglah. Setelah itu dia bagi aku dua bungkus nasi lemak, walaupun pada awalnya aku tolak. Memikirkan aku pun lapar dan memang tujuan aku ke sini untuk dapatkan nasi lemak tu, jadi aku tidak menolak pemberiannya.
Kembali ke taman tasik dengan senang hati dan kesyukuran.Dua bungkus nasi lemak tadi aku letakkan atas meja makan warung terbiar ini. Aku dapati sebungkus berlaukkan bilis bersama telur dan sebungkus lagi cuma berlaukkan ikan. Masa inilah datang seekor kucing yang kelihatan macam sakit. Dengan rasa kemanusiaan, maka aku kongsikan lauk ikan itu kepada kucing tersebut. dua-tiga-minit kemudian. Kucing ni datang lagi, kali ini bawak geng. Kesian tengok kucing-kucing comel ni lapar.Semua kurus.Nasiblah ada dua bungkus nasi,memangdangkan aku rasa sebungkus sudah cukup jadi satu bungkus yang tersisa untuk mereka.
Kami makan bersama, walaupun tanpa air. Ya, mak cik tu cuma bagi nasi je.. hehe
Dalam peristiwa ini, aku belajar satu perkara. Tentang kekuasaan Allah dalam mengagihkan rezeki kepada makhlukNya. Semua bermula sebab basikal adikku yang rosak.Kemudian aku lewat ke sekolah.Terdetik hati pula untuk lepak kat taman tanjung. Rasa lapar dan duit RM5 aku hilang. Kemudian dapat nasi percuma dari seorang mak cik yang murah hati. Tak semena-mena dia bagi dua bungkus. Satu bungkus untuk aku dan satu bungkus untuk kucing-kucing comel tersebut.
“Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempitkan (siapa yang dikehendakiNya)”. Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” Surah Saba’ : ayat 39
Lihatlah Allah membahagi-bahagikan nikmat. Tiada tangan yang mampu menghalangNya. Sedang rezeki kawanan kucing diatur dengan baik, Allah hantarkan aku untuk membawa rezeki kepada kucing-kucing comel. Lagikan pula kita yang diberi tugas sebagai Khalifah di bumiNya, semestinya rezeki kita diatur dengan baik. Jadi, nikmat mana yang kita mahu dustakan? Pengalaman yang bermakna, peristiwa poteng sekolah yang akan aku kenang sampai bila-bila.
“Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang bertakwa.”
Surah Thahaa : ayat 132
notakaki: cerita sedikit diolah dari cerita asal.
No comments:
Post a Comment