*****
Berderau darah Ainatul ketika terbaca satu mesej daripada orang yang tidak diketahui di facebook. Rasa menyesal pun ada setelah tujuannya untuk membuka facebook malam ini semata untuk merehatkan minda. Entah siapalah yang cuba untuk menjaga tepi kainnya.
"CIK AINATUL!
Maafkan saya jika bicara terus terang. Supaya diri saya tidak menaruh dosa sebesar zarah terhadapmu. Biarpun cik tidak tahu gerangan yang menulis pesanan ini. Tidak mengapalah.
Ainatul,
Perkenalan kita terlalu terbatas. Terlalu singkat. Akan tetapi pada mulanya, saya mengenali Cik segala penuh terhormat. Cik adalah gadis desa yang penuh rona keimanan. Perwatakan dan pakaian Cik Ainatul memperlihatkan sopan dan santun sebagaimana gadis desa sejati.
Tapi..
Apa yang saya lihat kelmarin? Telah hilang rona iman itu. Mengapa telah berubah pakaianmu? Mana baju kurung dan tudung litupmu? Saya bukan mencela pakaian orang kini, cuma saya mencela sifat berlebih-lebihan. Saya percaya segalanya bukan atas kehendak Cik sendiri. Tetapi kerana terpengaruh dengan persekitaran. Sedarlah Ainatul! Sedarlah..
Ainatul, kamu cantik bukan kerana pakaian. Tetapi ciptaan sejak kamu dilahirkan. Pakaian apapun yang kamu pakai, kamu tetap kamu.. Jadi pilihlah pakaian yang diredhai Tuhan. Moga kamu mudah dikenali sebagai seorang muslimah. Maka, tiadalah manusia akan mengganggumu! "
Itulah bait-bait yang dibaca oleh Ainatul sebentar tadi. Ainatul mengetap gerahamnya menandakan geram. Dia menutup komputer ribanya dan terus menelantangkan diri di atas katil. Malam itu berlalu begitu sahaja dengan fikiran Ainatul yang tertanya-tanya siapakah gerangan yang berani mempersoal peribadinya itu. Namun, jauh dari sudut hatinya, berputik kesedaran akan kehidupannya yang dahulu.
Keesokannya, ketika Ainatul duduk semeja dengan Amy. Itulah rutin biasa Ainatul setelah tamat kelas sesi pagi.
"Malam tadi ada orang ganggu akulah, Amy" Ainatul membuka bicara.
"Siapa?" Amy seakan terkejut.
"Aku tak tahu. Orang gila mana entah hantar mesej kat facebook. Sibuk-sibuk je nasihat aku macam-macam .."
"Nasihat? Nasihat apa pulak ni? "
"Macam-macamlah. Pakaian aku. Mana pergi tudung aku yang dulu. Baju kurung aku. Mak aku pun tak pernah tanya tau bila aku cuti balik kampung.."
"Biasalah tu. Manusia nak tunjuk lagak lebih baik. Sekarang ni, dah macam-macam perangai aku jumpa manusia ekstrim agama. Pakai purdahlah, sibuk-sibuk sebar flyers dekat pasaraya. Siap ceramah panjang lagi. Entah-entah nak lariskan produk tudung dan purdah mereka. Kau cuma dapat mesej dalam Facebook je pun. Buat-buat tak tahu sajalah.'' bebel Amy. Ainatul tak menjawab. Cuma menerima sahaja nasihat rakannya itu. Mungkin benar kata Amy. Dalam keadaan ekonomi yang tidak berapa baik dekad ini, mungkin manusia akan melakukan aneka cara untuk mencari keuntungan. Padahal dia lupa, perkakas dan bedak-bedak yang mahal harganya menghiasi jasadnya itu adalah keberjayaan manusia yang mahu mengaut keuntungan.
Tatkala itulah Joe datang. Memperlawa Ainatul jalan-jalan. Katanya ada berita baik untuk diberitahu. Maka, petang itu beronda-rondalah mereka berdua ke sana ke mari dengan kereta mewah milik Joe.
" Ainatul, you berminat tak nak jadi model?"
"Model? Model apa?"
"Bapa I perlukan seorang gadis cantik macam you ni untuk iklan produk dia .. Syarikat bapa I nak jual produk kecantikan pula .. Ada imbuhan lumayan untuk you. You pun boleh jadi terkenal nanti.. ", Joe memancing Ainatul, sambil tangannya mengemudi stereng kereta. Tatkala Joe menyebut 'terkenal', Ainatul terus berpaling kepada Joe.
"betul ni? " tanya Ainatul untuk mendapat kepastian.
"Ya. Sumpah I tak tipu. Kalau you free esok. Kita pergi sign kontrak!" ucap Joe sambil tersenyum lebar. Ainatul juga begitu.
*****
Kontrak dipersetujui oleh syarikat bapa Joe dengan Ainatul. Sejak itu Ainatul sentiasa sibuk. Sentiasa terkelihatan di tempat-tempat pergambaran. Tidak lama kemudian, terpampanglah wajah Ainatul di papan-papan iklan dan iklan-iklan di internet. Lalu, dia mula terkenal di universiti dan laman facebook. Bukan setakat itu, dia juga mendapat imbuhan yang lumayan seperti yang dijanjikan oleh Joe. Disamping syarikat bapa Joe akan mendapat manfaat yang lebih lagi
Setelah terkenal dan ternama. Dia mula diundang dalam banyak majlis. Dapat berdiri sama tinggi dengan dengan artis-artis dan peragawati ternama. Sedangkan sahabatnya Amy tidak mampu berada di tempatnya. Kini, Ainatul juga telah mengenakan pakaian yang mahal lantaran kemampuannya dari hasil menjadi seorang model produk kecantikan.
Perkara itu akhirnya sampai pada pengetahuan Iman. Berat sekali hatinya untuk menerima hakikat itu. Semakin hari, semakin bertambah kekangan untuk menyelamatkan Ainatul. Namun, hatinya bersangka baik. Itulah ujian yang diberikan kepada Allah buatnya. Sangkaan baik itu menambahkan semangatnya untuk menyelamatkan insan yang pernah membuat hatinya suka itu.
Jam menunjukkan 3 pagi. Setelah tahajjud, tangannya mula galak menaip pesanan lagi untuk dihantar ke facebook Ainatul. Iman nekad, untuk menulis nasihat terakhir buat Ainatul. Kerana dia akur, bukanlah dia yang mempunyai kuasa.Hidayah itu milik-Nya. Berbekalkan tawakal dan kesabaran, dia terus menaip,
''Assalamua'laikum Cik Ainatul.
Maafkan saya sekali lagi, kerana terlalu degil untuk terus menasihatimu. Tapi percayalah, ikhlas hati ini mengatakan cuma saya mahu Cik Ainatul sentiasa berada dalam kesejahteraan.
Namun, Cik Ainatul seakan tidak mengambil sedikitpun pesanan saya yang lalu untuk membuat kesedaran.Hinggakan saya dapati Cik Ainatul telah terperangkap dalam permainan orang. Dirimu telah dipergunakan orang orang tamak! Mereka telah menipumu dengan harta benda dan hawa nafsu. Mereka masukkan ke dalam fikiranmu kecintaan terhadap perhiasan. Padahal mereka mahu mengeksploitasi dirimu. Merekalah korporatokrasi yang membina persekitaran beracun, yang membunuh peribadimu yang dahulu! Sambil mereka mengaut keuntungan.
Benar, Cik Ainatul itu cantik. Memang Cik akan bertemu ramai manusia di dunia ini menyukai kecantikanmu. Tapi, asal Cik Ainatul tahu bahawa cantik luaran tak akan pernah abadi. Saat ini kita boleh berbangga dengan kemolekan wajah ataupun bentuk tubuh. Namun beberapa waktu nanti, jika Allah menarik nikmat itu. Cik Ainatul akan kecewa setelah manusia yang lain menjauhimu.
Alangkah indah jika kecantikan luaran itu dipadu dengan kecantikan
hatimu. Apalah erti cantik rupawan bila tak memiliki keimanan? Sesungguhnya hati yang bertakwa itu lebih baik buatmu .. Ingatlah Cik Ainatul, inilah pesan terakhir dari seorang yang pernah menjadi sahabatmu walau sementara..
- IMAN "
Setelah habis menulis, tangan Iman menggigil. Tanpa dia sendiri sedar, butir-butir jernih telah membasahi pipinya itu. Bukan tangisan biasa, tapi itulah tangisan cinta daripada seorang lelaki yang benar-benar mahu mempertahankan seorang muslimah. Malam itu juga, dia nekad untuk tidak mengganggu Ainatul lagi. Dan berharap tulisan ringkas tadi dapat membuat Ainatul sedar.
"Ya Allah, Kau selamatkanlah hamba-Mu yang dizalimi itu. Sesungguhnya gadis itu amat lemah. Berikanlah petunjuk-MU kepadanya. ''
*****
"Hei jantan!" jerit Ainatul di tengah-tengah kafe itu.
Iman terkejut. Begitu juga pelajar-pelajar lain yang sedang melepak di kafe universiti. Dalam keramaian itu, Iman juga malu kerana dia dipanggil Ainatul sedemikian.
"Ada apa Ainatul? " tanya Iman, teragak-agak.
"Ada apa kau tanya? Apa masalah kau ya? Kenapa kau tak habis-habis ganggu aku?"
"Saya tak ganggu Cik Ainatul", Jawab Iman, serta merta muka Iman ditampar. Berdesing telinganya setelah tamparan gadis itu hinggap di pipi. Ia meninggalkan bekas. Tapi lebih berbekas dalam hati Iman. Lalu, ada suara-suara kecil kedengaran ketawa.
"Sekali lagi kau ganggu aku. Kau akan dapat balasan lebih teruk daripada ini", sambil Ainatul mengambil gelas yang masih berisi air, lalu dicurahkan di kepala Iman. Membasahkan kopiah putih, muka dan baju Iman. Dalam pada itulah bunyi sorakan ketawa bergema di kafe tersebut.
".. dan aku tak akan teragak-agak untuk laporkan pada polis! Faham?"
Iman tidak berganjak sedikitpun. Matanya tepat menatap mata Ainatul. Marah bercampur kecewa kerana dimalukan sedemikian. Tapi dia masih lagi bersabar. Terkebil-kebil memerhatikan amukan Ainatul. Cuma dia mampu menyebut,"Maaf".. Sehinggalah Ainatul berpaling darinya.
Sejak dari peristiwa itu, Iman nekad untuk melupakan Ainatul. Baginya sia-sia sahaja menasihati orang yang keras kepala. Tapi dia rasa bersalah juga. Kalaulah dia tidak mulakan. Mungkin dia tidak dimalukan sedemikian rupa.
Bagaimana di tempat Ainatul, dia selesa dalam kehidupannya seperti biasa. Tanpa diganggu oleh sesiapapun. Hatta, dia sangat gembira setelah Joe melamarnya. Cuma menunggu keputusan Joe untuk bertemu dengan kedua ibu-bapanya sahaja.
Pada suatu hari, ketika dalam perjalanan pulang ke kampung dengan menaiki kereta Joe. Joe berjanji akan bersama Ainatul selamanya. Ujar Joe kepada Ainatul, dia sungguh berbangga kerana mempunyai teman wanita yang cantik. Tersipu-sipu malu Ainatul dibuatnya.
Saat kereta Joe memasuki persimpangan lebuhraya. Dam! Dam!
Dentuman kuat menyelubungi mereka. Kereta berpusing beberapa kali. Akhirnya kereta mewah milik Joe itu tersadai di tepi lebuhraya tersebut. Lalu, satu negara mendapat berita tergempar bahawa seorang model terkenal terlibat dalam satu kemalangan. Ainatul dikejarkan ambulan ke hospital dalam keadaan separa sedar. Kepalanya berlumuran darah. Bersimbahan di mukanya yang selama ini anggun. Seperti dituang cat merah. Joe juga digegaskan ke hospital, tapi nasib Joe lebih baik kerana menghadapi kecederaan ringan sahaja.
Di hospital, kepala Ainatul terpaksa dijahit dari belakang kepala hingga ke kening kanan. Panjang sekali luka di kepalanya itu. Tapi syukur, kerana Allah masih memberi dia peluang untuk hidup. Joe melihat keadaan Ainatul setelah rawatan selesai, sesudah Ainatul di tempatkan dalam wad. Alangkah terkejutnya dia. Seperti tidak percaya, dia tidak dapat menerima hakikat Ainatul sedemikian. Memegang kepalanya sambil terpunduk di bucu dinding.
Ketika itu, Ainatul baru sahaja sedar dari komanya itu. Kepalanya terasa berat. Dia masih mamai. Terkejut setelah mendapati hampir semua ahli keluarga berada di sisi..
"Mana Joe? Joe tak apa-apa?" seraya dia bingkas bangun.
Joe kemudian bingkas bangun setelah namanya disebut. Wajahnya tegang ketika melihat raut wajah Ainatul yang dirasakan asing itu.
"Joe!" tempik Ainatul setelah mendapati Joe tercegak tidak jauh darinya, seraya seluruh keluarga Ainatul yang berada di situ berpaling ke arah Joe. Joe tercengang, bisu dan buntu..
"Eh, siapa Joe? Maaf.. saya silap masuk bilik" kata Joe, sambil dia meluru ke pintu dan melarikan diri.
''Hoi, ini perempuan yang kemalangan bersama kau tadilah, budak!" jerit salah seorang ahli keluarga Ainatul. Joe tidak mengendahkan, langkahnnya tergesa-gesa untuk keluar dari hospital.
Tersentap hati Ainatul menyaksikan perlakukan kekasihnya yang menjanjikan sehidup semati itu. Benar, dia yang hidup. Ainatul yang mati!
****
Setelah kejadian yang memeranjatkan itu. Ainatul hidup dalam kebingungan. Apa yang dimiliki olehnya selama ini telah musnah sekelip mata. Tiada lagi nikmat yang mahu dibangga-banggakan. Kecantikan tiada lagi. Terdapat lurah yang panjang pada kepalanya itu, memberi maksud rambut-rambut yang tidak akan tumbuh lagi lantaran bahana menimpanya itu memaksakan kepalanya dijahit.
Hatinya lebih sakit setelah Joe tidak mahu lagi mendekatinya. Malah Joe tergamak mengatakan tidak pernah mengenalinya. Padahal Joe sendiri yang pernah mengajaknya berkahwin. Teringatkan kata-kata itu, Ainatul menangis semahu-mahunya. Kontrak antara dia dan syarikat bapa Joe telah dibatalkan. Syarikat itu tidak lagi memerlukan khidmat Ainatul sebagai model. Begitulah habis madu sepah dibuang. Sememangnya itu sikap korporatokrasi tamak! Mengingatkan hakikat, tangisannya itu semakin menghibakan.
Benar apa yang diperkatakan oleh Iman. Benar semua nasihat-nasihat Iman selama ini. Sememangnya dia sedar bahawa telah dipermainkan. Menjadi teman sementara kepada manusia berhidung belang. Ainatul menyesal kerana tidak menerima nasihat lelaki budiman itu. Bukan sahaja tidak menerima malah pernah menghina Iman. Dia malu terhadap lelaki itu.
Di universiti, Ainatul juga disisih. Malahan Amy sendiri seperti tidak mahu menegurnya. Bahkan Amy telah berpindah ke bilik lain, meninggalkan Ainatul. Padahal Amylah yang banyak mengajarnya falsafah kebebasan.Akan tetapi dirinya itulah yang memerangkap Ainatul. Juga rakan-rakannya yang lain, yang pernah menjadi rakan foya-foya kepada Ainatul. Kali ini, Ainatul hidup dalam keadaan yang amat tertekan. Pembelajarannya juga kucar-kacir kerana kerapkali meninggalkan kelas untuk menghadiri pergambaran. Begitu juga dengan kewangannya yang semakin sempit. Maka, tinggallah gadis itu hidup dalam keadaan yang amat sakit sekali jiwanya. Dia merasakan seperti tiada lagi manusia yang mahu menerimanya.
****
Petang itu, Iman berjalan-jalan di sekitar kawasan universiti. Mengambil angin segar untuk merehatkan mindanya. Sesekali dia teringatkan keadaan Ainatul yang terlibat dalam kemalangan beberapa minggu yang lalu. Kadang-kadang rasa menyesal. Dia terfikir mungkin dia tersalah doa, sampaikan bala itu besar sekali menimpa Ainatul. Tapi segera dia matikan rasa itu dengan beristighfar, menyingkirkan hasutan iblis yang berlegar-legar di telinganya. Lalu dia bersangka baik, apa yang terjadi pada Ainatul itu barang tentu ada hikmahnya.
Tiba-tiba
"Iman! Cepat ke mari. Ada sesuatu berlaku di asrama puteri! " jerit Adam, rakan sebiliknya.
"Ada apa Adam?" jawab Iman dalam keadaan terkejut, melihatkan Adam yang tampak cemas.
"Ah, tak ada masa untuk cerita panjang. Lekas!" jerit Adam lagi, lalu berpaling dan berlari. Melihatkan keanehan itu, Iman terus mengekori Adam dari belakang. Di samping dia tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.
Sesampainya di asrama puteri, dilihatnya ramai orang yang sedang berkumpul. Terdapat kereta peronda dan beberapa orang polis. Terdapat juga anggota penyelamat bersama jenteranya di situ. Suasana kacau-bilau dan bising kerana ramai orang memusatkan diri diperkarangan asrama puteri. Lalu Iman mencelah-celah orang ramai untuk melihat apa yang sedang terjadi.
Alangkah terkejut dia, dilihatnya seorang gadis berdiri di atas bumbung asrama, sambil menangis dan menunjukkan wajah sayu. Lagi dia terkejut, bahawasanya gadis itu memang dia kenal,
"Ainatul! Apa kamu buat ni? Kamu dah gila?" jerit Iman.
Ainatul kenal suara itu, lalu dia memincingkan matanya ke arah lelaki yang pernah dihinanya itu.
"Ya, memang aku dah gila! " bentak Ainatul.
"Tapi kenapa Ainatul? Bersabar, kita boleh bincang!"
"Ah, bincang? Untuk apa? Semua orang dah tak suka aku. Semua orang dah benci aku. Aku banyak dosa, Tuhan pun benci aku! Dan aku benci pada diri aku sendiri!
"Jangan Ainatul! Awak masih ada masa untuk bertaubat. Tolonglah, bukan semua orang yang bencikan awak.." kali ini suara Iman mengendur, menghibakan keadaan. Tatkala itulah Iman menangis lalu merebahkan lututnya ke tanah.
"Tolonglah Ainatul. Saya tidak mahu menjadi saksi awak ke neraka. Saya merayu, turunlah Ainatul.. " tambah Iman dalam keadaan tersesak-esak. Melihatkan keadaan Iman yang sedemikian, orang ramai tertegun lantaran keanehan pada lelaki itu.
Ainatul juga merasa sayu melihat Iman bersungguh-sungguh menyuruh dirinya turun. Tumbuh kasihan pada lelaki itu. Walaupun rasa malunya terhadap Iman melebihi rasa kasihan.
"Untuk apa Iman? Aku sendiri pernah menghina kau! Biarlah aku menebusnya. Biarkan aku ke neraka!" jawab Ainatul, tika air matanya mencurah-curah.
"Bagaimana boleh aku biarkan kau ke neraka sedang kau berada dalam hatiku, Ainatul!?" jerit Iman sekuat-kuatnya.
Kata-kata itu membuatkan suasana menjadi diam. Termasuk anggota penyelamat yang berada di situ merasa terkejut. Apatah lagi Ainatul yang masih tidak berganjak dari bumbung asrama itu sedari tadi. Pada ketika itulah, dia teringatkan kali pertama berkenalan dengan Iman di perpustakaan. Masih dia ingat roman yang manis dari wajah Iman ketika menulis memo untuk mencadangkan buku yang harus dibaca kepadanya.
Ainatul terdiam kaku. Lalu Iman berdiri. Memuntah hasrat hatinya yang dipendam lama. "Tahukah Ainatul, sejak kali pertama saya melihat awak di perpustakaan. Bagi saya awak intan di tengah-tengah ribuan kaca. Tapi saya tidak mahu katakan kepada awak, kerana saya mahu awak kekal terhormat. "
"Tapi kenapa.. " bisik Ainatul, mukanya sugul. Kakinya kebas dan dirasakan dirinya terapung-apung sahaja.
"Ainatul, saya janji saya akan nikahi awak. Berjanjilah kepada saya dan diri awak sendiri, untuk awak kembali menjadi terhormat seperti dulu .. Saya tidak perlukan kecantikan awak untuk hidup. Cukuplah dengan kembali kepada diri awak yang dulu, itu cukup membuat hidup saya cantik.. Percayalah Ainatul!"
Kata-kata Iman itu dirasakan seperti peluru yang menembus jiwanya. Dia mahu senyum, tapi tidak mampu. Ainatul merasa pening, pernafasannya seperti tersekat. Mata terasa disembur kabus-kabus hitam. Dirasakan kakinya tidak berpijak pada apa-apa lapangan langsung. Terhuyung-hayang sambil tangan kanannya memegang dahi. Seraya untuk rebah, ketika itulah anggota penyelamat yang sedari tadi menunggu waktu untuk menangkap Ainatul meluru menariknya. Bersorak-sorailah orang ramai yang menjadi saksi kepada insiden yang cemas itu.
Apa yang bermain di sanubari Iman adalah syukur sahaja. Lalu dia kembali menjatuhkan lututnya dan melakukan sujud syukur.
"Aku bersyukur pada-Mu Ya Rabb.. Kau makbulkan doa hamba-Mu ini. Terima kasih Ya Allah! Terima kasih!
*****
Peristiwa itu menjadi sejarah yang paling diingati oleh Iman. Hatinya gembira, gadis yang dihormatinya suatu masa dahulu kini kembali terhormat. Beberapa lama Ainatul mendapat rawatan kaunseling dan psikologi. Setelah itu, dinikahi oleh Iman ..
Sejak itulah, Iman dikenali ramai oleh pelajar-pelajar di universitinya. Seterusnya, dia memanfaatkan kejadian itu sebagai alasan untuk menubuhkan gerakan bagi membela nasib wanita. Ke mana Iman pergi untuk berucap dan menceritakan pengalaman kepada junior-junior dan rakan-rakan. Isterinya itulah akan sentiasa di sisi.
" Musuh tak perlu menghantar
peluru untuk menghabiskan riwayat seorang muslimah semuanya. Tidak perlu
menghantar lelaki-lelaki bengis dari kurungan untuk merosakkannya. Tidak
dengan virus dan vaksin untuk merosakkan sistem biologi tubuhnya. Tapi
musuh cuma menggunakan sifat kewanitaan yang ada pada muslimah itu
sendiri sambil menggabungkan elemen yang muflis nilai ukhrawi. Sebagaimana ia cuba membunuh saya sendiri suatu masa dahulu. Materialisme, itulah yang membunuh spiritual manusia. Materialistik, ia membunuh cinta manusia. " tegas Ainatul dalam satu ucapannya.
"Tahniah Ainatul .. " ucap Iman sambil menguis hidung isterinya itu.